Saturday, December 29, 2012
Percutian pelancongan agro
SEEKOR cacing telah siap dipasang di mata pancing, lalu Mohd. Nor Hafizi membuat satu lontaran sebelum mata pancing itu jatuh di tengah kolam.
Tidak berapa lama menunggu dengan sabar di tebing kolam, joran tersebut sudah terlihat tanda-tanda umpannya dimakan ikan.
Lantas disambarnya joran itu lalu digulung talinya. Dia tersenyum dengan hasil tangkapan itu. Seekor ikan keli Afrika seberat 4.5 kilogram.
“Saya sama sekali tidak menyangka penantian hampir dua jam membawa kejayaan, Umpan cacing yang digunakan membawa hasil yang lumayan,” kata Mohd. Nor yang berasal dari Felda Ulu Penggeli, Kluang.
Tangkapan ikan tersebut membolehkannya memenangi wang tunai sebanyak RM3,000 sebagai juara Cabaran Memancing Joran Bagus yang dianjurkan bersama Pertubuhan Perladangan Negeri Johor (PPNJ) di Tasik Lembah Bio-Tek Peladang Johor, Kota Tinggi baru-baru ini.
Aktiviti pertandingan memancing merupakan salah satu tarikan Tasik Lembah Bio-Tek Peladang Johor sejak dibangunkan pada tahun 1996. Bagaimanapun, kawasan tersebut hanya dibuka kepada pelancong mulai Jun tahun lalu.
Terdapat empat kolam yang sesuai untuk memancing dan satu kolam khas untuk pertandingan memancing.
Pengurus Lembah Bio-Tek Peladang Johor, Omar Mohd. Uzir berkata, pihaknya menggalakkan penganjuran pertandingan memancing di kawasan tersebut yang dikenali sebagai pusat pelancongan agro.
Pilihan rekreasi
“Kawasan seluas 243 hektar ini menawarkan aktiviti pelancongan agro berasaskan alam semula jadi. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti berkhemah, meredah hutan, berakit, melawat ladang-ladang sayur yang menggunakan kaedah tanaman fertigasi, lembu dan kambing.
“Walaupun, lokasi kawasan pelancongan agro ini jauh dari bandar namun para pelancong pasti teruja dan seronok sepanjang berada di sini,” katanya.
Dikelilingi bukit-bukit dan pokok-pokok hutan yang menghijau membuatkan minda menjadi tenang malah pelancong dapat menikmati suasana malam yang sunyi.
Dengan bayaran RM30 seorang bagi satu malam, orang ramai boleh berkhemah di tengah-tengah kawasan yang dikelilingi kolam. Khemah, surau dan tandas juga disediakan.
Bayaran tersebut tidak termasuk makanan, namun anda berpeluang menikmati buah-buahan di ladang berkenaan. Antara buah-buahan yang terdapat di kawasan tersebut termasuk belimbing, nangka, kelapa pandan dan lain-lain.
Sebelah malamnya, aktiviti barbeku merupakan kegiatan yang sukar dilepaskan para peserta yang terbabit dengan aktiviti perkhemahan. Lebih menarik, mereka yang berkhemah boleh memancing ikan secara percuma di beberapa kolam yang disediakan. Hasil tangkapan boleh dijadikan santapan pada sebelah malam.
Pada waktu siang pula pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti berakit, berbasikal dan meredah hutan sekali gus membuatkan kawasan ini sesuai untuk aktiviti bina semangat.
Luangkan juga sedikit masa untuk melawat projek ternakan kambing dan lembu. Di kandang-kandang kambing dan lembu, pengunjung dapat merasa dan melihat sendiri binatang-binatang itu diternak menggunakan kaedah yang betul. Ladang-ladang sayur dan buah-buahan juga boleh dilawati.
“Kepelbagaian aktiviti pertanian dan ternakan menjadikan tempat ini sesuai untuk program latihan, lawatan dan kursus serta seminar kepada pelajar dan kakitangan agensi kerajaan dan swasta,” kata Omar.
Jika tidak mahu berkhemah, katanya, orang ramai boleh menyewa dormitori yang mampu memuatkan sehingga 50 orang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: