|
BELUM reda lagi cakap-cakap di pasaran mengenai kemunculan model Sonic dalam segmen B, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest) tidak mengambil masa lama untuk menambah satu lagi produk jenama Chevrolet ke pasaran tempatan iaitu Orlando.
Jika diamati perkembangan jenama Chevrolet sebelum kemunculan Sonic, anak syarikat Kumpulan Naza itu nampaknya rancak melakukan pembaharuan pada beberapa model sedia ada.
Misalnya, kenderaan utiliti sukan (SUV) Captiva yang varian dieselnya sudah ditawarkan dalam pasaran.
Tidak lupa juga pengenalan model naik taraf Chevrolet Cruze LTZ dan pengenalan Cruze berwajah baharu untuk tahun hadapan. Trak Colorado pula diperkenalkan sekitar bulan Mac lalu. Agresif? Mungkin itulah strategi Naza Quest.
Portfolio kenderaan Chevrolet di Malaysia sudah meliputi beberapa segmen antaranya trak pikap, SUV, model asas dan sedan.
Langkah paling rasional seterusnya adalah mengetengahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk keperluan seisi keluarga. Peranan itu didokong oleh Orlando, sebuah MPV kompak.
Model konsep Chevrolet Orlando pernah dipamerkan sewaktu Paris Motor Show kira-kira empat tahun lalu. Ia mula diperkenalkan ke pasaran antarabangsa mulai 2011.
Ada beberapa varian ditawarkan namun untuk Malaysia, hanya satu varian sahaja dibawa masuk buat masa ini iaitu LT. Tidak keterlaluan jika dikatakan Orlando memecah kepompong reka bentuk tradisi MPV sedia ada.
Kebanyakan kenderaan sebegitu mengekalkan rekaan berkotak. Namun, produk terbaharu jenama dari Amerika Syarikat itu mengetengahkan gaya Eropah.
Model yang dibangunkan berdasarkan platform Cruze sedan itu memiliki garis bumbung yang direndahkan.
Bahagian belakang pula mengadun konsep rekaan yang sedikit tirus. Sekali gus membantu meningkatkan imej mantapnya.
Identiti asal Chevrolet didokong menerusi lambang bow tie ( tali leher kupu-kupu) yang agak besar di antara dua gril yang terpisah pada bahagian hadapan jentera.
Bahagian belakang pula ditonjolkan dengan pengenaan set lampu belakang yang besar.
Bahagian kabin membuatkan anda seolah-olah berada di dalam sebuah kereta biasa. Susun atur papan pemuka Orlando mengguna pakai konsep dual kokpit yang diilhamkan daripada kereta sport Chevrolet Corvette.
Perkara itu tidak pelik kerana Orlando dibangunkan daripada platform Cruze.
Jika berada di atas tempat duduk pemandu, anda boleh mencapai semua butang fungsi kenderaan dengan mudah. Selain itu, stereng juga dipasang dengan beberapa butang kawalan untuk kemudahan pemandu. Konsol tengah diserikan dengan lampu pencahayaan latar belakang berwarna biru.
Jika mahu menyimpan barangan kecil, tekan sahaja butang pada bahagian fasia tengah (terletak di bahagian bawah skrin pada papan pemuka) dan ia akan terbuka.
Itulah satu ruang simpanan rahsia untuk anda. Tidak lupa juga dengan tambahan ruang simpanan barangan di bahagian pintu.
Susun atur tempat duduk juga mengetengahkan kelainan berbanding MPV biasa. Orlando memiliki susun atur kerusi seperti di dalam pawagam. Maknanya, format susun atur secara bertingkat.
Kerusi barisan kedua sedikit tinggi daripada barisan hadapan. Kerusi barisan ketiga pula lebih tinggi daripada barisan kedua.
Apabila kerusi barisan kedua dan ketiga dilipat, kapasiti simpanan barang mencecah 1,499 liter. Andai meletakkan barangan sehingga paras garisan tingkap, saiznya ialah 856 liter. Cukup besar.
Varian LT untuk pasaran tempatan menggunakan khidmat enjin petrol ECOTEC 1.8L. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan Shiftronic yang membolehkan anda menukar gear secara manual.
Produk keluaran kilang di Korea Selatan itu berupaya menjana kuasa kuda sebanyak 141hp @ 6,200rpm dengan catatan tork puncak 176Nm @ 3,800rpm.
Memandangkan Orlando sebuah kenderaan keluarga, maka aspek keselamatan diberi penekanan tambahan. Selain ciri ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, dua beg udara juga dipasang. Sementara keluli kekuatan tinggi digunakan pada bahagian yang diperlukan di sekeliling kenderaan.
Kunci pintu Orlando akan terbuka secara automatik jika pelanggaran berlaku. Tambahan lain ialah ABS, ESP, Traction Control dan BA.
Orlando ditawarkan pada harga RM118,888 seunit (tidak termasuk insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun atau jarak perbatuan 200,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: