Ketua Setiausaha (KSU) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pemberian insentif itu diharap dapat digunakan secara bertanggungjawab oleh para penerbit dengan menghasilkan produk yang dapat dipasarkan ke luar.
“Pengagihan insentif di bawah DIKN ini diharap dapat meningkatkan kualiti penerbitan produk TV agar dapat dipasarkan ke luar pada masa akan datang.
“Ia juga adalah tanda penghargaan kerajaan kepada para penerbit yang bertungkus-lumus meningkatkan mutu produk mereka untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Insentif DIKN (Program TV RTM) di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, petang Isnin.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan KSU Datuk Dr Rothiah Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Norhyati Ismail dan wakil-wakil syarikat produksi.
“Saya percaya para pelaku (penerbit) tahu memanfaatkan insentif ini secara bertanggungjawab untuk peningkatan mutu produk mereka dan bukan kepentingan peribadi.
“Bagaimanapun, kementerian akan memantau sejauh mana pemberian ini akan meningkatkan kualiti produk mereka pada masa akan datang,” katanya.
Kamaruddin berkata, seiring dengan matlamat RTM menuju ke era digital pada 2016, pihaknya berharap penerbit akan memanfaatkan insentif tersebut untuk menghasilkan kandungan yang bermutu tinggi menggunakan fasiliti dan teknologi terkini.
“Aspek ini perlu jika kita hendak memasarkan produk TV ke luar sama ada ke sekitar rantau ini, Amerika Selatan atau Timur Tengah sekali pun,” katanya.
Antara syarikat produksi yang menerima insentif adalah Suhan Movies & Trading, Excellent Pictures, Rumah Karya Citra, Saujana Media dan Bright Networks Sdn Bhd.
Pemberian insentif berkenaan merupakan agihan kali kedua untuk tahun ini, di mana sebanyak 23 syarikat produksi menerima sumbangan sebanyak RM1 juta pada 18 September lalu.
Penerima insentif tahun ini dipilih berdasarkan kualiti serta kadar populariti program berdasarkan jumlah tontonan ketika disiarkan di RTM pada tahun ini.
Insentif itu akan diteruskan dengan peruntukan yang sama pada 2013.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: