Wednesday, December 26, 2012

Simpulan 2012, sasaran 2013



BERTEMU mata dengan dua pemilik nama Shah Indrawan Ismail atau Tomok dan Hanifah Mohd Hanafiah (Black) di Restoran Nosh, Bangsar baru-baru ini tidak mengubah pemikiran bahawa kedua-duanya masih memiliki aura untuk menarik mata sekeliling seraya mohon bergambar bersama.
Masih jelas pesona yang dimiliki seorang juara pertandingan realiti nyanyian One In A Million dan seorang lagi juara Mentor musim ketiga tidak terhakis walau sedikit pun meski masa beredar dan sisi kehidupan kedua-duanya kian beralih fasa.
Tomok, 28, yang kini sedang meniti detik indah bersama cahaya masa sulungnya, Arrian Shah Akid, 7 bulan, tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menambah bilangan ahli keluarganya buat masa sekarang.
Katanya, fokus utama perlu diberikan untuk Arrian sehingga masa membenarkan pasangan Tomok dan Rahayu Abas betul-betul bersedia.
“Kami tidak merancang untuk menambah anak tapi jika ada rezeki kami tak tolak. Cuma buat masa sekarang biar kami besarkan Arrian sebaik mungkin memandangkan Ayu juga telah mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kariernya.
“Semahunya kami ingin menjaga Arrian dengan cara kami sendiri tanpa bantuan pengasuh atau pembantu rumah, biar dia membesar di depan mata kami dan pastinya kami lebih berpuas hati.
“Saya tidak menghalang Ayu untuk menyambung kerjayanya semula tapi syukur Alhamdulillah, rezeki saya mampu menyara kehidupan kami sekeluarga,” jelasnya.
Arrian, kata Tomok kini sudah boleh meniarap dan cuba untuk merangkak perlahan-lahan. Lebih indah, adakalanya mendengar gelak tawa Arrian sudah cukup mengubat resah dan tekanan bekerja.
Melihat perkembangan kerjayanya sepanjang tahun 2012, ujar Tomok perjalanan yang dilaluinya tidak terlalu pahit untuk ditempuh.
“Alhamdulillah, tahun 2012 tahun yang gembira buat saya. Keluarga sudah semakin berkembang begitu juga kerjaya. Senang cerita penutup tahun 2012 adalah penutup yang berjaya,” panjat Tomok bersyukur.
Rangka karier Tomok
Mengharapkan lebih banyak kejayaan dan pengalaman manis pada tahun 2013 yang bakal menyusul tidak lama lagi, Tomok mendoakan kebahagiaan keluarga dan rezeki kerjayanya.
Perkembangan terkini jelas Tomok, dia sedang dalam rangka kerja untuk menyudahkan produksi album keduanya yang dijangka keluar pada tahun depan.
“Saya baru merakamkan single terbaharu berjudul Penipu yang bakal keluar tidak lama lagi hasil komposer AG Coco dan lirik pula oleh saya sendiri.

BLACK dan Tomok, masing-masing memperkembangkan karier seni mereka daripada seorang penyanyi kepada pelakon. Mereka bakal terlibat dengan projek filem baharu pada tahun hadapan.


“Untuk album yang akan datang, saya mungkin akan memuatkan tujuh buah lagu termasuk single Aku Datang. Konsep album itu masih sama iaitu pop,” katanya.
Tidak gusar mempertaruhkan album terbaharu tahun depan ketika era perkembangan dan sambutan album penyanyi sedang berdepan krisis penjualan, Tomok ada sasarannya.
“Saya yakin masih ada pembeli dan masih ramai yang menyokong industri tempatan. Tugas berat untuk saya sebenarnya meyakinkan peminat supaya membeli album saya tapi sejujurnya, album ini berbaloi untuk dimiliki,” tambahnya yang menggunakan bajet sendiri untuk keseluruhan album ini hasil kemenangannya dalam One In A Million.
Selektif dan mahukan kualiti, Tomok mengaku dia terpaksa cerewet memilih lagu daripada para komposer terbaik supaya tidak menghampakan peminat dan dalam masa yang sama memuaskan hatinya.
Beralih kepada bidang lakonan pula, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mendedahkan dia baru disunting untuk berlakon dalam sebuah filem pada awal tahun depan.
“Ramai yang memberikan komen positif hasil daripada lakonan menerusi filem Istanbul Aku Datang dan syukur Alhamdulillah rezeki berlakon masih terbuka untuk saya tahun depan,” ujar Tomok.
Azam Tomok tahun 2013, bekerja lebih kuat dan meningkatkan kualiti dalam setiap lapangan yang diceburinya. Tidak berjaya melangkah ke pusingan akhir Anugerah Juara Lagu bukan penamat karier nyanyiannya, sasaran Tomok, memandang ke hadapan dan melangkah lebih laju.
Black ketepi kontroversi
Usai menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Longkai terbitan Metrowealth baru-baru ini, kata Black dia tidak menduga pertama kali menerima tawaran berlakon filem daripada pengarah Hashim Rejab.
“Babak saya cuma menuntut saya berada di set penggambaran selama tiga hari saja dan penampilan saya pun sebagai cameo, tapi watak bernama Ketum itu berat kerana harus memberikan impak biar sekejap.
“Saya mencuba peluang yang datang dan tidak salah rasanya, memandangkan watak itu juga kena dengan saya. Selain itu, saya turut mendapat tawaran berlakon teater muzikal Tirai Merah arahan Pat Ibrahim awal tahun depan,” kata Black membuka bicara.
Prioriti masih kepada bidang nyanyian dan tambah Black dia enggan dinilai sebagai seorang penyanyi yang cuba menyekat peluang pelakon lain cari makan.
“Keutamaan saya masih menyanyi dan untuk berlakon, rasanya masih jauh lagi. Tidak salah untuk cuba terbang tinggi tapi semahu-mahunya saya masih ingin kekal menjadi diri saya sekarang.
“Alhamdulillah karier saya masih berada di atas dan sedang meningkat naik, jadi tidak perlu saya kacau perjalanan yang sedang saya lalui kini,” ulasnya.
Black bakal tampil dengan sebuah single baharu yang menjadi runut bunyi filem Lemak Kampung Santan lakonan Hans Isaac dan Neelofa yang belum diberikan judul.
Selain itu, pelantun lagu Sofea Jane itu sedang mengumpul material untuk album terbaharunya yang bakal keluar penghujung tahun 2013.
Anugerah Juara Lagu
Ditanya mengenai persiapannya menjelang Anugerah Jura Lagu 27 pada 6 Januari nanti, kata Black dia menyerahkan tanggungjawab merancang dan membuat keputusan kepada pengurus merangkap rakan duetnya dalam lagu Teman Pengganti, RJ (Rapper Jambang).
“Mujur saya ada pembantu peribadi yang sangat memahami dan hampir keseluruhan persiapan dibuat oleh RJ.
“Sejujurnya saya melihat lagu ini memberikan impak yang sangat luar biasa pada tahun ini, pengikut saya di Twitter juga bertambah mendadak semenjak lagu ini mula popular,” tuturnya bersulam tawa.

DIHARGAI. Tomok dan Black dikelilingi peminatnya yang menghargai bakat seni mereka berdua.


Black bakal mempersembahkan lagu ciptaan Malique berjudul Teman Pengganti bersama RJ yang menggantikan tempat penyanyi asalnya iaitu Malique.
Tahun 2012 mengikut pandangan Black merupakan tahun yang mendewasakannya dalam kehidupan mahupun kerjaya.
“Saya sudah lebih bersedia untuk menghadapi lebih banyak cabaran dan kemungkinan yang akan datang pada tahun depan dan secara ringkasnya boleh dikatakan tahun 2012 mematangkan saya.
“Tapi lebih elok kalau kita selalu beringat. Seperti kata orang lama, sediakan payung sebelum hujan dan sentiasa beringat sebelum kena,” kata Black.
Menyelak kembali lembaran tahun 2012, Black tidak terlepas daripada kontroversi atau kejayaan karier. Menyertai program realiti Versus berbekalkan kudrat Black & Parallax memberikan pengalaman berharga baginya.
Tidak juga terlepas daripada kontroversi tinggal sebilik bersama teman wanita ketika bercuti pertengahan tahun ini, Black melihat isu itu memberikan tamparan hebat baginya.
Begitu pun, tahun 2013 kata Black bakal dimulakan dengan langkah yang lebih yakin dan berwaspada.
”Saya akan memulakan perniagaan servis hidraulik bersama bapa saudara saya dan hujung tahun 2013 akan muncul dengan album baharu. Saya juga sudah membelikan sebuah rumah untuk keluarga saya. Semoga tahun 2013 tidak mencacatkan landasan seni saya,” ujar Black penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: