Tuesday, December 25, 2012

Diari Krismas 3 jelitawan

pix_middle
PERTEMUAN singkat dengan tiga jelitawan ini pada petang itu diiringi keceriaan, maklumlah sambutan Hari Natal semakin hampir. Vanessa Chong, Julie Woon dan Zher Peen, bukan lagi nama asing di persada hiburan hakikatnya mereka bertiga adalah antara pengacara yang berbakat besar di gelanggang masing-masing.
Sekadar bermula sebagai pengurus kepada adiknya iaitu Vince Chong, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Vanessa misalnya tidak pernah menoleh ke belakang lagi selepas popular sebaik menjuarai rancangan realiti berpengaruh, Amazing Race Asia.
  • Foto VANESSA...wajib memasak sehari sebelum Krismas.
  • Foto JULIE...meraikan Natal di kota London.
  • Foto ZHER...bertugas di konti pada hari ini.
  • Foto MERIAH...tiga jelitawan ini ceria dengan mood Krismas.
Sedari bakatnya cukup tertumpu pada bidang pengacaraan, suri kepada DJ terkemuka, Moots itu melangkah yakin berbekalkan kepetahannya berkata-kata menelusuri dunia itu sehinggalah beroleh ruang di program bual bicara wanita, Bella.

Petang itu, sekali dia membuka mulutnya, banyak yang diceritakan mengenai kerjayanya dan ternyata pengacaraan cukup dekat di hatinya.

“Semakin saya menerima banyak tawaran pengacaraan, semakin dalam kecintaan saya pada bidang ini. Namun, saya paling berterima kasih terpilih menjadi hos Bella kerana menerusi rancangan ini, saya dapat melihat perubahan ketara pada diri saya.

“Mengendalikan rancangan sebegini ada cabarannya tersendiri kerana skop topik terlalu luas daripada yang senang hinggalah isu-isu sensitif dan serius. Paling utama, saya mempelajari banyak benda baru.

“Cara beginilah yang saya amat gemari kerana bukan saja saya kena bercakap secara langsung dan bertanya soalan semata-mata kepada tetamu jemputan namun harus meneliti serta membuat kajian menyeluruh terlebih dulu. Apatah lagi jika topik berkenaan menyentuh mengenai isu berat, kena betul-betul ada ilmu yang kuat sebelum membincangkannya,” katanya yang kini lebat menerima tawaran mengacarakan pelbagai majlis korporat.

Pernah membabitkan diri dalam pentas lakonan, Vanessa yang berlakon dalam Cinta Lelong, 30 Hari Mencari Cinta, filem Talentime dan bakal muncul dalam filem Darah Panas tahun depan kini mengintai pula peluang berlakon muzikal.

“Saya sangat sukakan muzikal dan itu antara impian saya selama ini. Belum pernah ditawarkan membintangi mana-mana karya sebegitu, saya mengidamkan untuk melakukan sebuah cerita komedi muzikal.

“Seronok rasanya dapat menyanyi dan berlakon pada masa sama meskipun saya bukanlah seorang penyanyi yang hebat. Namun, unsur muzik itu sendiri cukup menguatkan lagi cita-cita saya membabitkan diri tidak kisah teater, drama ataupun filem. Saya sukakannya!” katanya.

Teruja berbicara mengenai sambutan Krismas, perkara wajib yang akan dilakukannya setiap kali menjelang perayaan itu adalah menghambakan dirinya di dapur. Siapa sangka wanita berusia 33 tahun itu pakar memasak.

“Itulah rutin wajib setiap kali Krismas. Seperti biasa, malam sebelumnya, kami akan mengadakan makan malam bersama seisi keluarga dan di situlah peranan saya sebagai tukang masak bermula.

“Saban tahun, saya akan memasak juadah wajib iaitu German Shepherd Pie yang mana seharian jugalah saya terperuk dalam dapur. Bukan itu saja, terdapat beberapa lagi menu wajib akan saya masak, biarpun letih, saya seronok melakukannya. Saya terbayang wajah kegembiraan ahli keluarga menikmati hidangan itu di meja makan nanti,” katanya.

Bagi pengacara Quickie 8TV, Julie, 28, sambutannya kali ini ternyata berbeza kerana tanpa kehadiran bapa tercinta malah dia meraikannya di kota London.

Buat pertama kali tidak menyambut di negara sendiri, biarpun hanya bersama abang dan ibunya, Julie masih lagi merasakan keseronokan untuk menikmati perayaan itu. Malah, dia juga sudah ada perancangan sendiri setibanya di ibu kota England itu.

“Agak sedih juga kerana sambutan kali ini tidak lengkap tanpa bapa. Tapi saya memahami kesibukannya yang terikat dengan komitmen kerja di sini. Apapun, saya amat teruja untuk berjumpa dengan ahli baru keluarga kami, anak buah saya buat pertama kali.

“Selepas abang berhijrah ke London, kami belum berpeluang lagi bertemu sendiri bayi lelakinya yang berusia 11 bulan. Selain itu, teman-teman saya juga ramai di sana dan mahu mengambil kesempatan untuk keluar bersama mereka,” kata pelakon siri Blogger Boy itu.

Meskipun sibuk mengacarakan Petronas Motorsports (Astro) dan Quickie 8TV, Julie juga sudah terfikir untuk merancang sebuah perniagaan hasil perbincangan bersama ibunya. Mengakui ia satu projek yang penting demi jaminan pendapatan jangka masa panjang, dia tidak menolak suatu hari nanti dia akan beralih bidang pula.

“Bukan bosan mengacara namun saya mahu mencuba cabaran baru menerusi bisnes pula. Sedari jaminan dalam bidang hiburan tidak tentu, disebabkan itu saya terfikir lebih baik membuat sesuatu yang boleh berpanjangan memberi pulangan buat keluarga saya.

“Perniagaan yang saya maksudkan adalah pengurusan hotel. Saya dan ibu sudah mengenal pasti satu kawasan bangunan lama di sekitar Melaka dan bercadang untuk menjadikannya sebuah hotel. Paling awal pun kami laksanakan projek ini adalah penghujung tahun depan,” katanya.

Manakala pengacara serta DJ Fly FM, Zher pula tidak teruja sangat dengan sambutan Krismas seperti yang lain. Bekerja di konti hari ini, gadis bertubuh kecil berusia 26 tahun ini memilih untuk bersederhana saja kerana hakikatnya dia sudah tidak menyambut perayaan itu.

“Seingat saya, kali terakhir merasai kemeriahan Natal adalah sewaktu berusia 11 tahun. Seperti biasa, menjelang perayaan itu, paling seronok adalah apabila sudah berkumpul ramai-ramai dan seorang ibu saudara saya memasak pelbagai juadah lazat.

“Apapun, saya mengambil keputusan untuk memilih haluan kepercayaan sendiri namun saya tetap menemani ibu bapa membeli-belah kerana mereka masih menyambutnya. Walaupun bekerja di hari Krismas, saya masih akan mengambil kesempatan meluangkan masa pulang untuk makan malam nanti,” kata wanita berusia 27 tahun itu.

Empat tahun berlalu, Zher sangat bersyukur diberikan tempat dalam program Quickie 8TV. Ternyata perubahan terbesar yang berlaku padanya adalah keyakinan untuk berada biar di depan kamera mahupun di luar sekalipun.

“Saya memang suka bercakap depan kamera namun seperkara yang menjadi penghalang buat saya menyerlah di awal-awal dulu adalah tahap keyakinan itu sendiri. Bagaimanapun, semakin lama terbabit dalam program secara langsung sebegini, saya semakin yakin dan perkara itu juga terbawa sehingga ke luar set.

“Bukan saja pengalaman itu mengajar saya untuk mengendalikan program itu dengan bagus, kini apabila berjumpa dengan kenalan baru, saya sudah ada keyakinan berbual bersama mereka,” katanya yang akan tampil pula mengacarakan rancangan mengenai wanita, G-Thong di 8TV pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: