KAFTAN...rekaan ala kaftan sesuai untuk semua wanita.
Terjemahan daya imaginasi pereka dapat dilihat apabila kebanyakan mereka menggunakan flora dan fauna atau hidupan sebagai latar rekaan.
Jika sebelum ini, dia mengambil konsep daripada budaya masyarakat Sarawak, untuk himpunan musim panas dan bunga 2013, Rico mengambil inspirasi daripada keunikan kehidupan ular kerana ingin menyampaikan mesej tersendiri dengan menonjolkan nilai estetika penuh terperinci menerusi corak reptilia paling berbisa di dunia itu.
Koleksi Ratu Berbisa ini bakal menjadi salah satu karya Rico ditujukan kepada penggemar fesyen tempatan mahupun dunia.
Bagi menyerlahkan lagi pemakaian, setiap helaian dilakarkan pada fabrik khas yang direka untuk menonjolkan kesempurnaan. Teknik percetakan silkscreen dan digital digunakan pada fabrik berkualiti seperti sifon, bulu dan kapas.
Menurut Rico, pemilihan fabrik bermutu bukan saja mampu menonjolkan gaya
si pemakai, malah memberikan keanggunan tatkala disalut pada tubuh wanita.
“Saya amat mementingkan kualiti dalam pemilihan fabrik kerana setiap helaian akan memberikan persepsi berbeza pada wanita,” katanya.
Tampil dengan 10 rekaan gaun labuh, blaus dan skirt, jaket serta gaun ala kaftan dipadankan dengan perincian manik seperti batu halus dan kristal, ia menjadikan rekaannya lebih kaya dan mewah. Malah, Rico berani menggabungkan unsur tradisi dan moden menjadikan busana tampil kontemporari. Ini dapat dilihat pada jaket dipadankan skirt labuh begitu juga kaftan pendek yang memberikan imej berbeza.
Selain itu, anak muda ini juga bijak memilih rona dengan mengetengahkan coklat, kelabu, putih dan hitam dipadankan dengan warna terang seperti merah, kuning, biru, oren dan hijau bagi memberi perlambangan dramatik dan berbeza.
“Warna pastel memberikan kesan lebih menyerlah serta tampil mewah bagi wanita yang menyukainya manakala rona terang serta ceria sesuai digayakan ke pejabat atau majlis kasual. Rekaan Ratu Berbisa ditujukan kepada mereka yang bukan saja ingin tampil dengan gaya mewah, tetapi elegan dan berada dalam kelas tersendiri,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: