|
SEPANJANG tahun ini, kita sudah tentu melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit. Kita mungkin telah mencapai kejayaan yang mungkin tidak dicapai orang lain.
Ada segelintir daripada kita mungkin terpaksa berhadapan dengan musibah yang besar sehingga berasa putus asa dan kecewa untuk meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, rata-rata manusia lebih mudah mengingati pengalaman buruk yang mereka hadapi sehinggakan menutup pengalaman indah yang dilalui.
Sehubungan itu, keupayaan individu untuk menangani isu psikologikal adalah sangat penting. Mereka yang menghidap penyakit fizikal mempunyai peluang untuk sembuh dengan rawatan tertentu.
Begitupun, mereka yang berhadapan dengan isu psikologikal pula lebih cenderung untuk menjadi manusia tidak waras jika tidak ditangani segera.
Dalam konteks ini, kita jarang mengambil berat mengenai isu kesihatan psikologikal tetapi hakikatnya kita perlu memberikan perhatian yang serius dengan perkara tersebut.
Teruskan kehidupan
Pada kebiasaannya, mereka yang mengalami masalah psikologikal cenderung melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri seperti membunuh diri.
Tindakan itu dilihat jalan mudah. Walau bagaimanapun, dalam kes ini, individu tersebut perlu berjuang untuk meneruskan kehidupan dan bukannya melarikan diri daripada masalah yang hadapi.
Menyentuh mengenai tekanan, secara psikologikalnya, ia boleh bersifat perangsang (stimulus) atau gerak balas (response).
Perangsang ialah apa sahaja yang boleh menjadi punca kepada tekanan yang kita alami. Misalnya masalah rumah tangga, konflik percintaan, beban pekerjaan dan hutang.
Ia seperti pisau yang boleh melukakan. Kita boleh mengatasi masalah yang dihadapi dengan menyingkirkan puncanya.
Tekanan yang dihadapi mungkin disebabkan kegagalan individu untuk menyesuaikan dengan punca masalah tadi. Ia adalah kesan masalah yang dihadapi.
Ia muncul dalam pelbagai bentuk misalnya kemurungan, kebimbangan, runsing, tidak tidur malam dan bercakap seorang diri.
Dalam kedua-dua keadaan tersebut, pada akhirnya tekanan itu sendiri hanyalah tafsiran individu terhadap masalah yang dihadapi.
Ada individu yang hanya mengalami ujian kecil tetapi mereka melihatnya sebagai sesuatu yang tidak dapat dibendung. Ada pula yang diuji dengan musibah yang sangat besar tetapi mereka melihatnya sebagai perkara yang mampu diatasi.
Sebab itulah, apabila kita dihadapkan dengan musibah atau ujian dalam hidup adalah lebih baik untuk kita menamakannya sebagai ‘isu’ dan bukannya masalah. ‘Masalah’ sering kali menyukarkan kita tetapi isu ialah sesuatu yang boleh ditangani.
Setiap kali dilanda dengan ujian, baik besar mahupun kecil, kita perlu berfikiran positif untuk menanganinya.
Kaedah yang paling mudah ialah dengan membuka sepuluh jari tangan dan kemudian menutup salah satu daripada jari tadi. Lihatlah, sebagai manusia kita masih mempunyai sembilan lagi isu lain untuk difikirkan.
|
|
Perubahan watak
Dalam pada itu, jika memberikan fokus yang keterlaluan terhadap sesuatu masalah yang dihadapi, ia akan merosakkan penumpuan kepada perkara lain. Lebih buruk, masalah lain pula yang akan muncul.
Biasanya, perubahan individu yang dilanda dengan masalah boleh dikesan dengan mudah seperti perubahan watak asal individu.
Misalnya, seseorang yang mungkin bersosial, kini lebih banyak mengurung diri di dalam bilik. Mereka yang seorang periang bertukar menjadi seorang yang pendiam. Seseorang yang penyabar sebelum ini menjadi pemarah.
Pada peringkat awal, biasanya mereka akan bersikap menafikan masalah yang mereka hadapi. Seolah-olahnya mereka tidak percaya bahawa mereka telah dipilih untuk ujian tersebut.
Mereka akan bertanya kepada diri sendiri ‘mengapa masalah itu memilih mereka, dan bukan orang lain’.
Pada peringkat itu, biasanya seseorang itu tidak mudah percaya dengan pandangan orang lain. Mereka merasakan bahawa merekalah satu-satunya manusia yang mengalami masalah yang paling berat dalam hidup.
Hakikatnya, jika kita dilanda masalah, maka akan ada jutaan lagi manusia yang ditimpa masalah yang lebih buruk.
Jadi, sekiranya kita mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang mengalami masalah seperti ini, kita perlu membantu mereka.
Kita perlu meyakinkan mereka bahawa masalah yang dihadapi itu boleh diselesaikan. Paling penting ialah untuk memberikan mereka keyakinan bahawa masalah yang terjadi itu telah berlaku dan ia mesti dihadapi.
Sebagai manusia, walaupun sebaik manapun kita berhati-hati, kadangkala kita tidak mampu mengelakkan diri daripada menerima ujian.
Ujian itu bakal mematangkan kita sebagai manusia. Semakin berat ujian yang kita terima, ia bakal menjadikan kita manusia yang lebih hebat pada masa hadapan.
Semuanya bergantung sejauh mana kekuatan psikologikal kita untuk mengatasinya.
Selamat menempuh cabaran tahun baru!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: