Friday, December 28, 2012

Reka bangunan ikonik bandar dunia



DUNIA mengenali Edison Arantes do Nascimento atau Pele sebagai seorang legenda bola sepak.
Kemahiran dan kehebatannya beraksi di atas padang sememangnya dicemburui kawan dan lawan. Pele bukan sahaja berjaya mengangkat nama Brazil di pentas bola sepak dunia malah penyumbang kepada kejayaan pasukan negaranya menjulang Piala Dunia sebanyak tiga kali pada tahun 1958, 1962 dan 1970.
Bagaimanapun, Brazil juga mempunyai seorang lagi legenda yang turut tidak kurang hebatnya, Oscar Niemeyer, seorang arkitek.
Jika Pele dikurniakan kaki emas yang telah meledakkan ribuan gol sepanjang kariernya, Niemeyer pula memiliki tangan emas yang mempunyai sentuhan menakjubkan dan melangkaui imaginasi manusia.
Namakan apa sahaja, bandar masa depan Brasilia, ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan ratusan bangunan ikonik di Rio de Janeiro, Sao Paulo, London, Paris dan Berlin, rekaannya sememangnya terkenal di seluruh dunia.
Tidak hairanlah beliau diangkat sebagai salah seorang arkitek terhebat pada abad ke-20.
Pada 5 Disember lalu iaitu 10 hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-105, Niemeyer disahkan meninggal dunia di Hospital Samaritano akibat jangkitan saluran pernafasan.
Niemeyer dimasukkan ke hospital sejak 2 November lalu termasuk beberapa kali sepanjang tahun ini selepas menderita akibat penyakit buah pinggang, pneumonia dan penyahhidratan.
Kematian beliau mengejutkan banyak pihak di dunia termasuk Presiden Brazil, Dilma Rousseff.
Dalam kenyataannya Rousseff berkata, Niemeyer berjaya meletakkan apa yang dilihat sebagai mimpi kepada sebuah realiti.
"Beliau seorang pejuang revolusi, mentor bagi seni bina moden pada hari ini iaitu kecantikan, logik dan seperti yang beliau sering takrifkan, kebolehan mencipta," katanya.
Menyusuri kisah tokoh terhebat itu, Niemeyer atau nama sebenarnya, Oscar de Almeida Soares dilahirkan pada 15 Disember 1907 di Rio de Janeiro.
Membesar dalam sebuah keluarga kelas atasan, beliau tidak pernah membayangkan dirinya bakal menjadi seorang arkitek biarpun meminati bidang lukisan sejak dari kecil.
"Ketika bayi, ibu memberitahu saya sering menggerakkan jari ke udara seolah-olah sedang melukis.
"Apabila saya berusia 10 tahun saya mula melukis dengan pensil. Saya akan melukis apa sahaja objek yang terlintas di depan mata," katanya.
Selepas menamatkan pengajian di Barnabitas College pada tahun 1923, beliau mengahwini Annita Baldo, wanita dari Itali. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Anna Maria Niemeyer.
Demi mengejar cita-citanya sebagai seorang arkitek, Niemeyer menyambung pelajaran di National School of Fine Arts dan berjaya memperoleh ijazah sarjana muda pada tahun 1934.
Kariernya bermula selepas beliau bekerja di bawah firma Lucio Costa serta bekerjasama dengan Charles-Edouard Jeanneret-Gris atau lebih dikenali dengan nama penanya, Le Corbusier, arkitek terkenal Switzerland.

KREATIVITI Niemeyer dalam menghasilkan setiap rekaannya membolehkan namanya tersenarai sebagai antara arkitek terhebat pada abad ke-20.


Projek pertama Niemeyer ialah membina pejabat Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Brazil yang kini menjadi mercu tanda di bandar raya itu.
Tumpuan dunia
Sebaik siap, ia menjadi bangunan awam pertama di Brazil yang mengetengahkan konsep moden dalam rekaan dan binaannya sehingga mencuri tumpuan masyarakat dunia.
Pada tahun 1941, Niemeyer memulakan kariernya secara solo selepas ditugaskan merancang dan membangunkan kawasan baharu di Pampulha, pinggir bandar raya itu.
Sejak itu, beliau mula dikenali dengan siri rekaan bangunan unik termasuk penggunaan konkrit berat dan kecenderungan terhadap konsep berkeluk yang dianggap masih baharu dalam teknologi pembinaan ketika itu.
"Sudut kanan tidak menarik perhatian saya. Bukan juga garisan lurus, keras dan tidak fleksibel seperti yang sering kita lihat sebelum ini," katanya dalam memoir tulisannya, The Curves Of Time yang diterbitkan pada tahun 1998.
"Apa yang menarik perhatian saya ialah rekaan yang bebas dan mempunyai bentuk. Ia mungkin berada di sekeliling kita tanpa disedari, misalnya bentuk gunung-ganang, ombak di lautan atau bahagian tubuh wanita yang kita sayangi."
Status Niemeyer sebagai arkitek bertaraf dunia terserlah selepas beliau terpilih dalam pasukan khas yang bertanggungjawab mereka bentuk ibu pejabat baharu PBB di New York pada tahun 1953.
Reka bentuk akhir bangunan itu dipilih berdasarkan ideanya, yang turut menerapkan beberapa elemen yang dipelajari daripada idola beliau, Corbusier.
Pada tahun 1956, Juscelino Kubitschek, Presiden Brazil yang juga rakan baik Niemeyer, melantiknya sebagai ketua arkitek untuk merangka pembinaan Brasilia, sebuah metropolis moden yang bakal menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan menggantikan Rio de Janerio.
Daya imaginasi
Dibantu rakan baiknya, Costa, beliau menyahut cabaran itu menggunakan daya imaginasinya bagi menghasilkan rekaan yang luar biasa dan melangkaui zamannya.
Pembinaan bangunan Metropolitan Cathedral misalnya, dibentuk melengkung seakan-akan sebuah khemah kaum Red Indian dengan ditutupi mozek di sekelilingnya.
"Saya tidak mahu membina gereja ini seperti bentuk gereja lama, gelap seolah-olah seseorang itu telah berdosa. Saya mahu pengunjung berasa ceria," katanya.
Sesiapa yang pernah berkunjung ke Brasilia akan mengakui magis Niemeyer. Dengan dataran yang luas dan bangunan yang dibina di kawasan terbuka seakan-akan arca gergasi, sukar untuk membayangkan ia merupakan sebuah bandar hidup.
Dari zaman remaja, Niemeyer cenderung kepada fahaman komunis dan menjadi ahli Parti Komunis Brazil sejak tahun 1945.
Selepas pemerintah digulingkan pada tahun 1964, beliau dianggap sebagai satu ancaman menyebabkan pejabatnya diselongkar. Kecewa dengan apa yang berlaku, beliau melarikan diri ke Perancis setahun kemudian.

SALAH satu rekaan Niemeyer iaitu BEMGE yang terletak di Belo Horizonte, Brazil.


Biarpun menjadi pelarian, beliau aktif berkarya di Perancis, malah sempat mencurahkan idea mereka bentuk ibu pejabat Parti Komunis Perancis. Di samping itu, beliau juga banyak menghasilkan rekaan di sekitar Eropah dan Afrika Utara.
Pada tahun 1985, pada usia 70-an, Niemeyer kembali semula ke Brazil selepas kerajaan tentera digulingkan.
Beliau dianugerahkan Pritzker Architecture Prize pada 1988, anugerah tertinggi dalam profesionnya, kerana rekaan Cathedral of Brasilia atas kecemerlangannya.
Pada usia 100 tahun, Niemeyer masih aktif meneruskan minatnya itu. Antara bangunan yang sempat direka ialah Pusat Kebudayaan Antarabangsa Oscar Nimeyer yang terletak di Aviles, Sepanyol dan Perpustakaan Arab-Amerika Selatan di Algeria.
Alfredo Brillembourg, seorang profesor arkitek dari Universiti Columbia yang pernah melawat Niemeyer pada tahun 2009 berkata, lelaki itu lebih bersemangat untuk mengetahui mengenai projek-projek terkini berbanding apa yang pernah direkanya dahulu.
"Lazimnya, kebanyakan kritikan seni bina dilihat dari Barat. Bagaimanapun, hasil kerja beliau yang mengagumkan menyebabkan aliran ini berubah bagi membolehkan kita memahami Brazil sebagai pusat kebudayaan global," katanya.
Kini Nemeyer yang diiktiraf sebagai Bapa Arkitek Moden telah pergi untuk selama-lamanya.
Apa yang tinggal kini hanyalah buku-buku dan artikel mengenainya dan lebih 500 bangunan yang pernah dihasilkannya. Lebih membanggakan, separuh daripadanya terkenal di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: