|
FILEM tempatan hanya untuk tontonan penonton berumur 18 tahun ke atas. Itu fakta utama filem berjudul Kahwin 5. Ia mengisahkan tentang seorang usahawan kaya bernama Dr. K yang telah berkahwin empat orang dan secara tidak langsung terlibat dengan komplot seorang gadis bernama Fara yang memaksanya untuk berkahwin lagi seorang.
Apabila judulnya sudah memaparkan perkataan kahwin, sudah pasti isi kandungannya meliputi isu-isu berkaitan alam perkahwinan dan rumah tangga.
Konteks yang lebih jelas, tentunya akan ada dialog atau aksi yang memaparkan hubungan intim atau romantis antara suami dan isteri.
Disebabkan itu, klasifikasi filem Kahwin 5 juga diletakkan di bawah 18sx iaitu untuk tontonan 18 tahun ke atas.
Menjawab mengenai keberanian mempertaruhkan sebuah filem tempatan berbahasa Melayu yang adakalanya dilihat melanggar norma penonton di Malaysia, kata pengarahnya, Nizam Zakaria, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan selepas ini.
"Saya akan menjawab sejujur mungkin dan bertanggungjawab atas tindakan ini. Mengambil kira pandangan pengkarya sebelum ini, saya berpegang pada prinsip jika kita tidak berani mencetuskan polemik janganlah berani berkarya kerana dari situ datangnya idea," jelasnya yang ditemui ketika tayangan perdana filem Kahwin 5 di Cineleisure, E@Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Tambah Nizam, dia tidak melihat klasifikasi yang diberikan untuk filem kedua arahannya itu sebagai masalah atau suatu isu yang perlu diperbesarkan.
"Sasaran saya adalah penonton golongan dewasa yang merasakan diri mereka terpinggir apabila kita selalu menerbitkan filem-filem yang fokusnya hanya untuk golongan remaja sahaja.
"Saya tidak pernah fikirkan filem arahan saya untuk mendapat pulangan berlipat kali ganda atau dialog yang bersifat kontroversi, asalkan mampu menghiburkan penonton yang membeli tiket wayang," katanya yang kecewa dengan lambakan filem bercorak klise di pasaran semasa tempatan.
Katanya, pelakon dan penerbit telah bersetuju mengenai skrip dan aksi yang terkandung dalam Kahwin 5 sebelum memulakan penggambaran sekitar awal tahun ini.
|
Biarpun tiada dialog yang secara langsung menyebut perkataan lucah atau terlalu sensitif, masih ada antara dialognya terkandung mesej dwi makna.
Jelas Nizam, kebanyakan dialog yang dituturkan oleh barisan pelakon Kahwin 5 bersifat tokok tambah walaupun tiada dalam skrip agar babak tidak terlalu kaku dan mendatar.
"Kalau kita letakkan kekangan dalam karya seni, sudah pasti daya kreativiti kita akan tersekat dan mesej tidak sampai kepada penonton. Jadi saya berikan kebebasan kepada para pelakon untuk mempersembahkan hasil terbaik. Sefaham saya tiada langsung dialog lucah yang dituturkan dalam filem Kahwin 5," ujar Nizam lagi.
Menyokong hujah yang diberikan Nizam, kata Norish Karman yang merupakan salah seorang pendukung watak utama filem itu, Kahwin 5 merangsang orang luar untuk melihat mutu kerja pengkarya tempatan.
"Tidak perlu timbul isu 18sx kerana filem ini dikhususkan untuk golongan ibu bapa yang akan masuk ke pawagam untuk menonton tanpa anak-anak dan pulang ke rumah menceritakan semula kepada anak-anak mereka," celahnya.
Menarik mengenai filem Kahwin 5, pengarahnya turut mengetengahkan empat dialek berbeza dari negeri Kelantan, Perak, Sabah dan Negeri Sembilan bagi memperlihatkan kepelbagaian.
Kahwin 5 menampilkan barisan pelakon seperti Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Sofi Jikan, Anzalna Nasir, Dian P.Ramlee, Adrea Abdullah, Norish Karman dan Marsha Milan Londoh.
Filem terbitan Showbiz Productions itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini, 27 Disember 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: