TINGKAT...usaha bersepadu dilakukan bagi meningkatkan lagi minat dan pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik.
Negara turut mencatat peristiwa yang menjadi ingatan semua termasuk warna-warni yang menghiasi dunia pendidikan tanah air.
Mereka berpendapat, AUKU menyekat kebebasan bersuara serta berpolitik lantas menjadikan tindakan itu sebagai platform yang kononnya memberi ruang menyuarakan kehendak dan pendapat tanpa sekatan.
Mereka turut melontarkan tuduhan bahawa universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seolah-olah ‘mencabul’ hak mereka sebagai warganegara bebas bersuara.
Biarpun begitu, kerajaan serta pihak terbabit tetap menunjukkan sikap prihatin, cuba memahami dan bertolak-ansur.
Selepas ‘berkonfrontasi’ sejak sekian lama, akhirnya AUKU Seksyen 15C (3) dipinda, sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa untuk berpolitik. Bagaimanapun, politik kepartian masih tidak dibenarkan di dalam kampus bagi menjaga keamanan bersama.
Masalah dunia pendidikan tinggi negara juga tercalit lumpur apabila kemudahan melanjutkan pengajian yang diberikan kerajaan kepada pelajar asing disalahgunakan dengan pembabitan pelbagai gejala sosial.
Seramai 777 pelajar asing ditahan pihak berkuasa sejak 2011 hingga Ogos lalu kerana pelbagai kesalahan termasuk mendatangkan kecederaan, mencuri dan penyalahgunaan dadah selain jenayah komersial.
Ini sekali gus memaksa kerajaan memperketatkan proses kemasukan pelajar asing bagi memastikan hanya yang layak dan berkemampuan sahaja melanjutkan pengajian di negara ini.
Dunia pendidikan tinggi juga menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah membabitkan penganugerahan termasuk kecemerlangan penyelidikan serta sumbangan demi mempertingkatkan kehidupan sejagat.
Antaranya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Felo Kehormat The London Royal College of Physicians hasil kejayaannya dalam bidang pembedahan endokrin dan penerbitan jurnal tempatan dan antarabangsa.
Penganugerahan itu adalah pengiktirafan tertinggi diberikan Royal College of Physicians kerana anugerah Felo Kehormat pusat pengajian terkemuka itu terhad kepada 20 orang setahun.
Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula mencipta perisian permainan jawi pada peranti mudah alih (PSP) dan komputer tablet bagi memartabatkan semula tulisan jawi dalam kalangan generasi muda.
Bagaimanapun, sasaran untuk kementerian mencapai bilangan siswa sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebanyak 60 peratus masih belum tercapai.
Sektor pendidikan negara juga menyaksikan anjakan berani dan baru apabila Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 diperkenalkan.
Ia menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara, sekali gus melonjakkan lagi standard sedia ada ke arah penambahbaikan seiring keperluan global.
Antaranya, pelajar pintar akan menyelesaikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam lima tahun dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun, sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah, penjenamaan semula tingkatan enam, bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai tahun empat pada 2014 manakala kelas peralihan dimansuhkan pada 2017 dan insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun dan laluan pantas kenaikan pangkat.
Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan dimansuhkan pada 2014 dan kerajaan menggantikannya dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).
Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) diperkenalkan sebagai syarat pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh.
Sistem itu mengambil kira pencapaian cemerlang pelajar sepanjang sesi persekolahan termasuk aktiviti kokurikulum dan latar belakang keluarga.
Keprihatinan terhadap permintaan tenaga kerja berkemahiran untuk jangka panjang menjadi penanda aras kepada kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TEVT).
Oleh itu, langkah menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional mula diperkenal dan diperkasakan, sekali gus diharap mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh mahir.
Sebanyak 15 sekolah vokasional dipilih untuk dijadikan program rintis Kolej Vokasional dan selebihnya akan dinaik taraf secara berperingkat pada 2015.
Pengenalan baru itu akan membolehkan semua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional ini mengikuti pengajian selama empat tahun, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik.
Pelajar yang menamatkan pengajian di kolej ini akan mendapat diploma vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun) manakala pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga tiga yang mengikuti peringkat Program Asas Vokasional (PAV) akan diberi sijil tahap dua.
Bagaimanapun, di tengah-tengah kerancakan usaha pelbagai pihak memperkasakan sistem pendidikan sedia ada, keputusan kejatuhan bagi beberapa subjek terutama membabitkan Sains dan Matematik menimbulkan kebimbangan.
Dianggap antara subjek penting dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya, kemerosotan pencapaian pelajar dalam dua subjek berkenaan dalam peperiksaan utama dikatakan kerana kurangnya minat mengikuti aliran sains berbanding sastera.
Kajian turut memperlihatkan kebanyakan pelajar, baik di bandar mahupun di luar bandar dan pedalaman gagal mengikuti proses pengajaran serta pembelajaran untuk dua subjek ini dengan baik.
Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) juga memperlihatkan pencapaian pelajar Malaysia untuk Matematik menjunam dari tempat ke-10 pada 2003 ke tempat ke-20 pada 2007.
Begitu juga pencapaian dalam Sains yang memperlihatkan kemerosotan membimbangkan menjadikan ia pada masa sama sebagai ‘senjata’ sesetengah pihak mengaitkannya dengan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pelbagai suka duka dunia pendidikan negara pada 2012 bakal ditinggalkan dan menjelang 2013, diharap sektor pendidikan negara mampu membawa dimensi baru yang mampu melonjakkan lagi pencapaian dan kegemilangannya.
Selamat datang 2013 dan selamat tinggal 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: