|
SAYUP-SAYUP kedengaran bait-bait lirik lagu Cinta Muka Buku yang dipopularkan penyanyi kelahiran laman sosial video, YouTube, Najwa Latif memecahkan kesunyian kawasan resort yang terletak di Batu. 19, Hulu Langat itu.
Kelihatan sekumpulan remaja lelaki berusia belasan tahun berkumpul sambil berdiri tegak di dalam sebuah kolam kecil.
“Jangan berhenti, kena nyanyi sampai habis, nanti saya suruh ulang semula,” kedengaran lantang suara seorang lelaki di satu sudut kolam.
Ibrahim Mohamed Rashid hanya memerhatikannya dari jauh. Hatinya sedikit terhibur melihatkan teletah kumpulan remaja berkenaan.
Dalam keadaan tubuh basah kuyup, mereka tampak bersungguh-sungguh menyanyikan lagu tersebut.
“Kumpulan remaja itu sedang bermain aktiviti mencari harta karun. Pasti, mereka sedang 'didenda' oleh fasilitator sebab gagal menyelesaikan masalah yang diberikan,” katanya kepada Kosmo! pada pertemuan di Nur Lembah Pangsun pada pagi itu.
Ibrahim ialah Pengarah Urusan Nur Lembah Pangsun Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menguruskan rangkaian resort pusat latihan di bawah Kumpulan Nur Eco Resort.
Penglibatan Ibrahim dalam perniagaan yang berkonsepkan resort, program bina diri dan latihan itu bermula kira-kira 15 tahun lalu ketika bertugas di Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Salah satu tugas saya ketika itu ialah mencari kem-kem atau pusat latihan di negara ini untuk melatih dan memberi motivasi kepada para pelajar kolej.
“Apa yang saya perhatikan, kebanyakan pelajar yang mengikuti modul dan program ini mengalami perubahan positif yang membawa kepada kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik malah perlakuan serta sikap mereka.
“Misalnya, jika dahulu pelajar itu malas, dia akan berubah menjadi rajin. Jika dia suka melawan, dia akan mula menghormati orang lain. Di situ timbul kepercayaan dalam diri saya bahawa sesiapa sahaja boleh berubah sekiranya diberi peluang,” katanya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.
Percaya potensi
Menyedari potensi yang ada, Ibrahim nekad meletakkan jawatan dan memberi tumpuan terhadap konsep perniagaan yang agak asing dalam kalangan usahawan-usahawan Melayu ketika itu.
Bersama seorang rakan kongsi, beliau memberanikan diri membuka resort pusat latihan pertama, Nur Lembah Pangsun di kawasan seluas 7.3 hektar di Hulu Langat, yang berlatarbelakangkan alam semula jadi dan suasana desa.
Katanya, tema sedemikian sengaja dipilih bagi mewujudkan kelainan kepada setiap peserta di samping membolehkan mereka beraktiviti dalam suasana yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kota.
“Selain menawarkan pelbagai jenis penginapan dari jenis calet, vila, dormitori dan tapak perkhemahan, kami juga menyediakan kemudahan seperti bilik seminar, dewan, surau dan dewan makan.
“Lebih penting, resort pusat latihan seperti ini menyediakan aktiviti lengkap untuk semua peringkat umur sama ada di darat atau air, lasak atau bersifat permainan kekeluargaan atau berpasukan,” jelasnya.
Tambah Ibrahim, pada peringkat awal dahulu mereka terpaksa berhadapan pelbagai kesukaran dan rintangan terutama dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan di samping memasarkan konsep perniagaan sedemikian.
Bagaimanapun, berkat kesabaran dan komitmen tinggi selain mengutamakan keselesaan dan kepuasan pelanggan, Nur Lembah Pangsun terus menjadi sebutan sebagai salah sebuah resort pusat latihan terkenal di negara ini.
“Ketika ia mula-mula dibuka dahulu, kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti.
“Namun dalam tempoh beberapa tahun sahaja, kami mula mendapat tempahan dalam kalangan syarikat-syarikat korporat terkenal,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Permintaan yang sentiasa tinggi dan berterusan mendorong pembinaan beberapa buah resort pusat latihan lain seperti di Nur Bukit Unggul (Sepang), Nur Sungai Merab (Kajang), Nur Lembah Lenggong (Perak) dan Nur Laman Bestari (Hulu Yam) yang diletakkan di bawah Kumpulan Nur Eco Resort.
“Setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri dengan kepelbagaian penginapan dan aktiviti yang ditawarkan serta suasana dan kumpulan sasaran yang berbeza.
“Sama ada untuk seminar, pembinaan pasukan, hari keluarga, hari terbuka dan sebagainya, kami bersedia menerima kehadiran para tetamu, sesuai dengan moto kami iaitu Dekat Di Mata, Lekat Di Hati,” katanya sambil memberitahu sebuah resort yang sama bakal dibina di Marang, Terengganu tahun hadapan.
Katanya, berdepan dengan ratusan malah ribuan manusia saban hari menyebabkan pihak pengurusan begitu menitikberatkan aspek keselamatan di setiap resort pusat latihannya.
“Kami mempunyai syarikat Nur Adventurer yang bertanggungjawab menyelenggara dan menyelia peralatan serta aktiviti lasak yang disediakan.
“Pada masa yang sama, setiap peserta di bawah rangkaian kami juga dilindungi perlindungan insurans bermula dari saat mereka menaiki bas ke sini sehingga pulang ke destinasi masing-masing,” ujarnya.
Mendamaikan jiwa
Sementara itu, Muhammad Zulfaqar Mohd. Isa, 29, penyelia program Kem Tahsin al-Quran anjuran Pusat Pendikan Al Barakah di Nur Lembah Pangsun berkata, dia sangat berpuas hati dengan kerjasama dan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pengurusan di situ.
Katanya, sejak berkampung di situ hampir enam minggu lalu, dia mengakui selesa mengendalikan kem berkenaan, biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah peserta yang datang dari seluruh negara.
“Suasana di sini sangat tenang dan mendamaikan jiwa dengan dikelilingi alam semula jadi seperti hutan dan sungai yang mengalir yang sesuai untuk para peserta kami beraktiviti sambil mempelajari teknik dan hafazan al-Quran yang betul,” katanya.
Dia yang baru pertama kali diberi peluang mengendalikan kem itu berkata, selain keselesaan penginapan untuk peserta dan fasilitator, kemudahan yang disediakan juga agak lengkap dan mencukupi.
“Kami tidak perlu berebut ke dewan makan atau ke dewan, begitu juga ketika melakukan aktiviti-aktiviti luar biarpun terdapat kumpulan lain yang turut sama beraktiviti di sini.
“Paling penting ialah kebajikan dan keselamatan peserta begitu dititikberatkan. Setiap aktiviti yang dilakukan sentiasa dipantau oleh mereka yang berpengalaman dan mahir tentang teknik menyelamat dan bantuan kecemasan,” katanya yang juga merupakan seorang guru yang mengajar di Kuala Terengganu.
Bagi Jordan Kong, 39, dari Persatuan Amitabha Kepong pula, pihaknya memilih Nur Lembah Pangsun sebagai lokasi aktiviti kerana kedudukannya yang tidak jauh dari ibu negara.
“Pada masa yang sama, ia juga terletak berdekatan dengan kemudahan awam seperti klinik kesihatan, balai polis dan sebagainya bagi memudahkan sebarang tindakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Tambah Jordan, program selama tiga hari dua malam yang melibatkan kira-kira 80 peserta itu lebih tertumpu kepada program bina diri yang menitikberatkan aspek kepimpinan, keyakinan diri dan jati diri.
Atas alasan tersebut, pihaknya memilih untuk berkhemah kerana ia dapat membantu peserta untuk berdikari
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: