Saturday, December 22, 2012

Wanita berleher panjang Thailand


PASAR Warorot, Chiang Mai merupakan tempat yang sesuai untuk membeli barangan berkualiti dengan harga yang murah.


PENGALAMAN mengikuti rombongan bersama Majlis Guru Besar Daerah Rompin selama tiga hari dua malam ke Chiang Mai dan Chiang Rai, Thailand merupakan satu pengalaman yang amat berharga.
Saya tidak menyangka akan sampai ke sebuah perkampungan kaum Karen di kawasan Mae Hong Son, barat laut Thailand. Perkampungan ini juga dikenali sebagai Perkampungan Leher Panjang Karen.
Kaum wanitanya menjadikan amalan menghias diri yang unik dan pelik iaitu menggunakan gelang tembaga di leher, lengan dan kaki.
Tujuan amalan itu bagi menonjolkan keindahan dan status adalah wanita kaum berkenaan. Gelang leher dipakai dari tulang selangka hingga ke bawah dagu. Perhiasan di leher mula dipakai sejak mereka berumur lima atau enam tahun.
Setelah dipakai ia tidak pernah ditanggalkan menyebabkan leher memanjang mengikut ketinggian gelang tersebut.
Saya cuba memakai gelang leher untuk tujuan bergambar namun terasa agak ketat dan mencekik. Justeru, saya terfikir, bagaimanakah kaum wanita mereka mampu memakainya dalam tempoh yang lama?
Rombongan kami sampai di perkampungan berkenaan ketika hari sudah malam. Penduduknya menggunakan pelita minyak tanah dan lilin bagi menerangi rumah masing-masing.
Dalam pada itu, saya dapat melihat dan merakamkan beberapa keping gambar aktiviti penduduk pada waktu malam. Kaum lelaki menghidupkan unggun api sekali gus menerangi kawasan berkenaan.
Menerusi cahaya daripada unggun api itu, rombongan kami dapat melihat persekitaran kampung kaum Karen berkenaan dengan lebih jelas.
Pada waktu itu, mereka menyambut kami dengan satu tarian yang unik. Persembahan mereka berjaya menghiburkan rombongan kami yang turut diajak menari bersama-sama mereka.
Sulam manik
Salah satu kelebihan kaum Karen ialah mereka mempunyai kemahiran menyulam manik di atas kain. Hasil sulaman ini dijual kepada para pelancong sebagai cenderahati.
Kami juga sempat membeli pelbagai cenderamata hasil kraf tangan wanita Karen seperti ukiran kayu wanita berleher panjang, kain tenunan, penanda kunci dan perhiasan gubahan butiran manik. Barang-barang ini disusun cantik di rumah kayu binaan atap nipah.

ROMBONGAN dari Malaysia ini berkesempatan menyusuri Sungai Mekong yang terletak di Segi Tiga Emas iaitu sempadan tiga buah negara Thailand, Myanmar dan Laos.


Para pelancong juga ada yang memberi sumbangan kepada wanita Karen yang membuat persembahan atau ketika bergambar. Ketika hendak balik, saya sempat menderma beberapa syiling 100 bath (RM1) kepada kanak-kanak Karen yang mengiringi kami pulang menuju ke arah bas.
Mereka kelihatan begitu ceria dan gembira menerima kedatangan kunjungan rombongan kami. Sebenarnya, itulah sumber pendapatan kaum Karen ini, kunjungan pelancong memberi sedikit hasil pendapatan untuk perbelanjaan harian mereka.
Pasar popular
Sementara itu, tarikan lain yang terdapat di Chiang Mai ialah Pasar Warorot atau dikenali sebagai Kad Luang oleh masyarakat tempatan.
Di pasar yang terletak dekat dengan Sungai Ping itu, rutin jual beli harian orang tempatan dapat disaksikan. Pelbagai barangan dijual dan pelancong asing boleh menemui sesuatu barangan kenangan pada harga yang murah.
Sebelum itu, dari Chiang Mai kami terus menaiki bas selama empat jam menuju Chiang Rai. Ketika dalam perjalanan kami dapat melihat persekitaran bumi Thailand yang melalui kawasan sawah padi, kebun getah dan jagung serta hutan-hutan simpan tropika yang masih kekal cantik.
Keadaan lalu lintas juga tidaklah terlalu sesak. Saya dan rombongan singgah sebentar di Kolam Air Panas Chiang Rai. Kelihatan ramai pengunjung dari Eropah dan negara Asia membeli-belah di situ.
Rendam kaki
Ada yang mengambil kesempatan merendam kaki, tidak kurang yang meredam telur ayam atau puyuh. Telur-telur tersebut masak dalam beberapa minit sahaja.
Pengunjung juga boleh membeli barangan cenderamata, ukiran kayu, pakaian, gubahan dan anyaman di beberapa buah kedai di sekitar kolam air panas itu.
Thailand mempunyai banyak kuil. Kami turut mengambil kesempatan mengunjungi sebuah kuil iaitu Kuil Putih atau dikenali juga sebagai Taj Mahal Thailand.
Seni bina Kuil Putih ini unik dan menarik dengan dipenuhi pelbagai bentuk ukiran, malah semua bahagian bangunan ini berwarna putih. Kami tidak melepaskan peluang bergambar sebagai kenang-kenangan.

GELANG leher dipakai oleh kaum wanita Karen sejak mereka berumur lima tahun.


Ketika sampai, hujan renyai-renyai namun kami tidak mempedulikannya kerana ingin merakam gambar terbaik. Keadaan di sini terasa seumpama berada di Taj Mahal, India.
Gajah melukis
Selepas menikmati keindahan seni bina Kuil Putih kami meneruskan perjalanan untuk menyusuri Sungai Mekong. Lokasi tersebut terletak di Segi Tiga Emas yang menjadi sempadan tiga buah negara iaitu Thailand, Myanmar dan Laos. Kami diberi taklimat oleh pemandu pelancong bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan pengeluar candu terbesar suatu masa dahulu.
Satu lagi tempat yang menarik perhatian para pengunjung ialah di Ladang Gajah Maesa Taeng. Di situ kita boleh melihat pelbagai aksi menarik yang ditunjukkan oleh gajah-gajah. Antaranya melakukan urutan badan, melukis, bermain bola jaring, menendang bola ke arah gol, menyusun balak-balak, menari dan bermain alat muzik.
Kemahiran gajah melukis dengan cantik mengundang rasa kagum hinggakan ramai pelancong terutama pelancong Eropah sanggup membelinya. Sebelum itu, lukisan gajah-gajah itu dipamerkan dan dijual kepada pengunjung pada harga 3,000 baht (RM300) setiap satu.
Sememangnya pengalaman berkunjung ke Negara Gajah Putih itu meninggalkan seribu satu kenangan manis kepada kumpulan kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: