Saturday, December 29, 2012

Cheng Ho wira samudera



SEJAK di bangku sekolah menengah, Arina Abdul Ghani, 23, sering mendengar pelbagai kisah mengenai Laksamana Cheng Ho, panglima laut yang tersohor di China.
Melalui pembacaannya dalam buku-buku teks, dia diberitahu Cheng Ho pernah memainkan peranan penting dalam sejarah silam negara.
Namun, jauh di sudut hati, dia tidak pernah teruja untuk mengetahui siapa sebenarnya Cheng Ho. Kepada Arina, Cheng Ho yang disebut Zheng He dalam bahasa Mandarin hanyalah pelayar biasa yang mengembara dari sebuah negara ke sebuah negara lain.
Persepsinya berubah sebaik Arina memasuki alam universiti. Selaku pelajar jurusan politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Arina banyak didedahkan mengenai kehebatan tokoh-tokoh Islam termasuk Cheng Ho.
"Cheng Ho sememangnya sangat dekat dengan masyarakat kita khususnya ketika era Kesultanan Melayu Melaka sekitar kurun ke-15.
"Kejayaan beliau melakukan penjelajahan merentasi beberapa lautan dan benua di sekitar Asia, Asia Barat dan Afrika bersama armadanya serta teknologi navigasi yang digunakan ketika itu cukup luar biasa.
"Malangnya, kisah kehebatan beliau tenggelam berikutan agenda Barat menjaja kehebatan Christopher Columbus, Vasco da Gamma atau Ferdinand Magellan," katanya.
Keinginan memartabatkan wira samudera agung itu mendorong Arina menyertai Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Ia merupakan sebuah pertubuhan yang dicetuskan bagi meneladani jatuh bangun sesebuah tamadun dunia kira-kira dua tahun lalu.
Di bawah Grup Cheng Ho, dia dan tiga ahli kumpulan yang terdiri daripada Nor Sakinah Ya'cob, 23, Abdul Hakim Shahbuddin, 26, dan Halariyani Kampun, 20, melakukan kajian termasuk mengadakan pelbagai program mengenai Cheng Ho.
Antaranya Kem Bahasa Mandarin dan Jejak Kamus Cina-Melayu Cheng Ho bersama Dr. Yang Quee Yee di Singapura.
Kemuncaknya, kata Arina ialah misi Jejak Laksamana Cheng Ho di China yang diadakan pada 26 Ogos hingga 7 September lalu.
"Matlamat kami ialah untuk menjejaki peninggalan sejarah Cheng Ho di tempat kelahirannya di Kunming, Yunnan di samping melawat masjid-masjid dan madrasah serta melihat perkembangan syiar Islam di negara itu.

REPLIKA armada Cheng Ho ini turut menjadi tarikan pengunjung ke Zheng He Park.


"Biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, namun semuanya diketepikan bagi memastikan misi ini berjalan lancar," katanya.
Bercerita mengenai misi itu, rakannya, Nor Sakinah menjelaskan, pengembaraan mereka bermula di Guangzhou sebelum menaiki kereta api ke Kunming yang memakan masa hampir 26 jam.
Layanan mesra
Biarpun melalui perjalanan panjang dan memenatkan, namun ia sedikit terubat apabila mereka diberi layanan mesra oleh kakitangan Konsulat Malaysia yang sedia menanti.
"Disebabkan kebanyakan hotel telah habis ditempah, kami terpaksa menumpang di rumah seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Pak Jam, kakitangan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) yang sudah lapan tahun menetap di Kunming.
"Pertemuan itu nyata ada hikmahnya, rupa-rupanya Pak Jam sememangnya rapat dan mengenali keturunan Cheng Ho ke-20 bernama Ma Ni yang juga bekerja di MAS," katanya.
Ma Ni, 20, fasih berbahasa Inggeris. Perwatakannya juga santai dan ceria. Dia merupakan anak perempuan tunggal di dalam keluarganya. Biarpun berasal daripada keturunan tokoh terkenal, Ma Ni tetap merendah diri dan menjalani kehidupan biasa seperti gadis-gadis seusianya.
"Saya tahu Cheng Ho sangat terkenal dan begitu dihormati di Malaysia, malah terdapat sebuah muzium khas yang dibina bagi memperingati jasa dan sumbangannya di sana.
"Sebagai salah seorang keturunannya, saya amat berbesar hati dengan pengiktirafan tersebut," kata Ma Ni yang pernah melawat Malaysia beberapa tahun lalu.
Ma Ni turut mengajak mereka bertemu datuknya, Zheng Ng Liang, 78, yang menetap di Jinning, kira-kira 60 kilometer dari Kunming.

CHENG HO sangat dekat dengan masyarakat kita khususnya ketika era Kesultanan Melayu Melaka sekitar kurun ke-15.


"Sepanjang perjalanan, dia banyak bercerita mengenai kisah Cheng Ho sejak kecil sehingga bergelar pelayar, laksamana, diplomat dan pengembara terkenal pada zamannya.
"Kami diberitahu, sepanjang hidupnya Cheng Ho tidak pernah berkahwin dan mempunyai zuriat.
"Keturunan Cheng Ho yang ada pada hari ini ialah daripada anak angkatnya, Zheng Ng Lai yang juga merupakan anak saudaranya. Selain di China, keturunannya juga dipercayai berada di Thailand," jelasnya.
Ma Ni juga menceritakan bahawa setiap keturunan Cheng Ho diwajibkan menulis semula buku riwayat hidupnya dengan tangan.
Selain menyimpannya sebagai bahan rujukan, dengan cara itu juga kisah Cheng Ho dapat dihayati dengan lebih mendalam di samping dapat disebarkan daripada satu generasi ke generasi lain.
Seperti dijanjikan, Ng Liang, yang merupakan keturunan Cheng Ho ke-18 sudah siap sedia menanti di Jinning.
Bersama Ma Ni yang bertindak sebagai penterjemah, mereka dibawa ke Zheng He Park, taman peringatan Cheng Ho seluas 250 hektar terletak tidak jauh dari situ.
"Itulah Cheng Ho. Di sinilah beliau dilahirkan dan dibesarkan suatu ketika dahulu," kata Ng Liang, sambil menunjukkan sebuah replika patung lelaki gergasi yang berdiri megah di hadapan pintu masuk ke taman itu.
Dibina pada tahun 1980, sempena meraikan sambutan ulang tahun pelayaran Cheng Ho ke-580, Ng Liang berkata, taman peringatan itu turut menempatkan muzium, replika kapal, replika sauh, makam dan arca yang menceritakan kisahnya daripada kecil sehingga bergelar laksamana.
Kisah kehidupan
"Kini ia merupakan antara tarikan pelancongan utama di Jinning. Pada 11 Julai setiap tahun iaitu sempena Hari Peringatan Cheng Ho, kawasan sekitarnya meriah dengan karnival jualan, acara hiburan dan bermacam-macam lagi," cerita pesara kerajaan itu.
Tambah Nor Sakinah, tarikan utama di situ ialah Muzium Cheng Ho yang menempatkan pelbagai senjata, pakaian, peta pelayaran dan dokumen yang menceritakan kisah kehidupan dan pelayarannya satu ketika dahulu.

QUEE YEE menyatakan penjelajahan Cheng Ho turut mengembangkan kosa kata Cina-Melayu ke rantau ini.


"Kami diberitahu kebanyakan bahan-bahan bersejarah yang tersimpan di situ disumbangkan oleh waris-waris keturunan Cheng Ho termasuk Ng Liang," katanya.
Sementara itu, Arina pula memberitahu, selain berpeluang bertemu waris keturunan Cheng Ho, mereka juga sempat melihat dan meninjau kehidupan masyarakat Islam di sekitar Guangzhou dan Yunnan.
"Di Guangzhou misalnya, Islam sangat subur dengan kehadiran banyak masjid yang bukan sekadar menjadi tempat ibadat semata-mata, malah punca rezeki kepada peniaga-peniaga kecil.
"Kami juga sempat menemui beberapa imam masjid di sana di samping melawat makam salah seorang sahabat Rasulullah SAW, Sa'ad ibn Abi Waqqas," katanya.
Sa'ad merupakan bapa saudara Nabi Muhammad di sebelah ibunya iaitu Aminah Wahab, suku kaum Bani Zuhrah dan berasal dari kota Mekah. Sa'ad memeluk agama Islam ketika berumur 17 tahun.
Ketika pemerintahan Khulafa al-Rasyidin ketiga, Uthman bin Affan, Sa'ad dilantik mengetuai rombongan umat Islam ke tanah besar China untuk menyebarkan agama Islam. Sa'ad dikenali sebagai perintis kepada tamadun Islam di China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: