Sunday, December 30, 2012

Eksperimen taman tanpa tanah


MENURUT Faizal, elemen taman tidak semestinya perlu sarat dengan pasu bunga sebaliknya gabungan idea warna dan ornamen sudah cukup untuk membina ilusi taman di dalam rumah.


IDEA untuk menjadikan elemen seni hias landskap sebagai subjek utama gaya penataan hiasan dalaman sememangnya sudah lama diidamkan Faizal Zain, 34.
Selain mencabar kemampuan kreativitinya dalam menata rias kediaman sendiri, bapa kepada dua anak ini mengakui bahawa dia seorang yang suka bereksperimen.
Apa tidaknya, apabila disebut gaya taman moden, pasti ramai menganggap konsep ini hanya sesuai diaplikasikan di rumah yang mempunyai tanah.
Namun, sentuhan lelaki ini menggarap elemen taman di dalam unit pangsapurinya yang hanya memiliki keluasan 244 meter persegi itu ternyata menjadi.
Dalam mencari titik imbang hiasan dalaman di sebalik persekitaran rumah yang terhad, Faizal ternyata cermat dalam memilih warna dan perabot.
“Saya perlu memastikan perabot dan ornamen yang dipilih itu mempunyai gaya ringkas tetapi formula itu harus mampu membangkitkan elemen taman moden,” katanya.
Lantaran itu, Faizal memilih perabot hiasan laman yang biasa digunakan untuk gaya eksterior untuk ditempatkan dalam unit pangsapurinya.
Gabungan rona hijau dan putih yang mendominasi keseluruhan kediaman menyerlahkan lagi konsep taman selain menyuntik keselesaan serta mampu merangsang minda serta emosi isi rumah.
“Untuk menaikkan mood taman di ruang pojok, ruang tamu, ruang makan dan langkan, saya pilih untuk gunakan perabot logam berwarna putih susu.
“Tidak sukar untuk saya mendapatkan perabot berwarna putih, namun untuk kemasan sofa dan barangan elektrik berwarna putih, saya terpaksa menempah barangan edisi terhad.
“Bagi membangkitkan kesan lembut, saya gunakan kemasan sofa dan jambangan bunga hiasan dari rona sama. Di bahagian dinding pula, saya memilih foto kanvas berkonsep rimba selain karpet polos rona hijau.
“Bagi kemasan dinding di ruangan terbuka seperti ruang tamu dan ruang makan, saya memilih kertas dinding dengan konsep jalinan daun dan batu bata untuk menimbulkan lagi kesan taman,” ujar Faizal.
Melihat keseluruhan ruang tamunya, ternyata jumlah perabot dan ornamen yang minimum serta potongan ringkas menjadikan ruangan ini kelihatan luas, kemas dan santai.
Sistem pengudaraan dan pencahayaan semula jadi pula dialirkan masuk menerusi pintu gelangsar yang menghubungkan ruang tamu dengan langkan ternyata mampu menyuntik elemen segar.

KONSEP kertas dinding batu-bata berjaya menaikkan elemen landskap taman di ruang penjuru pangsapuri ini.


Buaian putih
Sesuai dengan ilham taman moden, unsur hijau, biarpun bukan daripada tumbuhan asli, gaya seni hias di bahagian langkan patut diberi pujian.
Kreativiti Faizal menghias balkoni sebagai ruang santai memang terserlah terutama melalui penggunaan buaian rotan, deretan bunga hiasan dan lampu taman dalam rona putih.
Untuk membawa imej taman tanpa hiasan sarat, Faizal tidak membawa masuk pokok yang besar sebaliknya memilih tumbuhan hiasan renek bersaiz sederhana.
“Selain itu, saya hanya menggunakan tumbuhan hiasan daripada warna hijau dan putih sahaja untuk menaikkan elemen taman moden,” katanya.
Gemar dengan rekaan polos, dia turut mengenakan langsir tanpa corak di seluruh bilik sebagai penghadang terik matahari. Hanya pintu gelangsar di ruang tamu dibiar tanpa langsir bagi membenarkan cahaya matahari menembusi rumah pada waktu siang.
Pangsapuri tiga bilik ini pada asalnya mempunyai ruang tamu yang luas namun kerana inginkan ruang yang lebih privasi, Faizal membina dinding sebagai pemisah antara ruang tamu dan ruang makan.
Meninjau ruang makan dan bahagian dapur, Faizal mengenakan hiasan yang cukup ringkas. Begitupun, paduan warna hijau lumut dan putih yang diterapkan di dua ruangan ini mampu menonjolkan konsep taman kegemarannya.
Untuk bilik anak-anaknya, Faiz al-Haikal, 7, dan Binafsha Ahadiya, 6, Faizal memberi kelonggaran kepada si cilik itu untuk memilih sendiri warna kegemaran mereka.

WARNA hijau dan putih mendominasi keseluruhan rumah yang berkonsepkan taman moden ini.


Permintaan
“Faiz memang sukakan warna hijau, jadi saya memilih untuk mengecat dan memasang kertas penghias dinding berwarna hijau di biliknya.
“Corak kertas penghias dinding sengaja dipilih daripada tema berjalur berbanding tema kanak-kanak. Cara ini lebih selamat dan ia boleh digunakan lebih lama. Jika dipasang dengan corak kartun, mungkin ia perlu lebih kerap ditukar, selari dengan perkembangan umur anak-anak.
“Binafsha pula lebih gemarkan gabungan pink terang dan pink lembut. Konsep kertas penghias dinding yang digunakan masih sama, ceria, tapi tidak keanak-anakkan,” kata Faizal yang menggunakan enam konsep kertas penghias dinding di kediamannya.
Bagi kamar utama pula, perabot dan hiasan ringkas dari rona hijau dan kuning pastel menjadi pilihannya. Kata Faizal, dia sengaja memilih warna lembut dan terang bagi menonjolkan dimensi luas di kediaman comelnya.
Berpuas hati dengan hasil kreativiti sendiri, sebenarnya ramai rakan-rakan Faizal yang tertarik dengan kebolehan lelaki itu menghias rumah.
“Saya memang minat menghias rumah. Bermula sebagai hobi, saya mula berjinak-jinak memberi khidmat rundingan kepada pelanggan yang ingin mengubah penampilan kediaman.
“Selain bereksperimen di rumah sendiri, saya juga jadikan rumah ini sebagai rumah contoh bagi pelanggan yang ingin mencuba konsep yang sama.
“Sebelum ini, saya memilih gaya hiasan ala spa yang banyak menggunakan rona redup dan gelap. Untuk perancangan masa depan pula, saya sedang mengkaji idea pink maskulin pula,” katanya yang turut berkongsi tips menghias dan merapi rumah di zaldeco.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: