|
TAHUN 2012 membuka pentasnya dengan kebimbangan segelintir pihak di Barat bahawa peradaban manusia akan berakhir 21 Disember lalu berdasarkan pengiraan kalendar kaum Maya.
Apa pun ia hanyalah mitos semata-mata. Tumpuan masyarakat dunia, khususnya umat Islam lebih terarah kepada kisah kekejaman berterusan tentera Israel terhadap penduduk Palestin, perang saudara di Syria, penindasan di Rohingya serta penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Bagaimanapun, amarah yang memuncak itu diredakan dengan pembelaan nasib umat Islam di selatan Filipina di samping pengiktirafan kuasa terhadap ikon pro demokrasi, Aung San Suu Kyi di Myanmar.
Kuasa alam nyata tidak mengenal mangsa. Taufan Sandy selaju 281 kilometer sejam membadai dan memusnahkan beberapa bahagian Caribbean, tengah Atlantik dan timur laut Amerika Syarikat.
Episod suka dan duka juga turut mewarnai dalam negara. Imej Kuala Lumpur yang tercalar melalui perhimpunan Bersih 3.0 sebelum ini pulih seketika selepas menerima kunjungan pasangan diraja popular Britain, Putera William dan Kate Middleton.
Sistem Penguatkuasaan Automatik yang dilaksanakan di seluruh negara pada 12 Ogos lalu juga turut mencetuskan kontroversi di samping mengundang ketidakpuasan hati rakyat.
Kanak-kanak juga terus menjadi sasaran mudah penjenayah seperti kes penculikan di Kampung Baru serta penculikan seorang kanak-kanak warga Belanda.
Episod sukan negara juga seakan-akan kelam tahun ini apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei gagal membawa pulang pingat emas, manakala skuad Harimau Malaya juga seakan-akan hilang taringnya dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF buat kali kedua berturut-turut.
Gaza diserang 1 Muharam
UMAT Islam di seluruh dunia yang bersiap sedia meraikan sambutan Maal Hijrah pada 15 November lalu dikejutkan dengan serangan udara besar-besaran oleh rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di wilayah Genting Gaza.
Konflik itu dikatakan bermula selepas pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas wilayah Israel yang membunuh tiga rakyatnya bagi menuntut bela atas pembunuhan Ketua Ketenteraan Gaza, Ahmed Jabari sehari sebelumnya.
Serangan udara yang disifatkan terburuk dalam tempoh empat tahun lalu telah meragut nyawa enam rakyat Israel dan 164 penduduk Gaza termasuk 38 kanak-kanak.
Selepas lapan hari pertempuran, satu gencatan senjata telah diadakan di antara kedua-dua pihak pada 22 November lalu hasil usaha yang dilakukan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Indet tumpaskan Bujang Sebelak
KONFLIK manusia dan buaya tercetus lagi di Sarawak yang melibatkan buaya ganas, Bujang Sebelak. Terbaharu, buaya jantan seberat 200 kilogram dan sepanjang lima meter itu mengorbankan tiga mangsa di sekitar Sungai Sebelak termasuk isteri ketua rumah panjang Nanga Sungai Anak, Roban, Siah Munsong, 42.
Bujang Sebelak yang buta di sebelah mata kirinya dan menjadi buruan selama 14 hari akhirnya berjaya ditumpaskan oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong, 49, dengan menggunakan mantera dan umpan khas daging anjing putih.
Filem kontroversi hina Nabi
FILEM anti-Islam, Innocence of Muslims telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila filem tersebut didakwa menghina Nabi Muhammad.
Filem arahan Sam Bacile, 52, itu disiarkan dalam laman YouTube itu menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem tersebut.
Seorang lelaki dari negeri California, Nakoula Basseley Nakoula, 55, mengaku membekalkan logistik untuk produksi pembikinan filem tersebut.
Chong Wei kempunan emas Olimpik
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kempunan untuk melakar sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik selepas tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir yang diadakan di Arena Wembley.
Dalam perlawanan itu, Chong Wei menang set pertama 21-15 tetapi tewas 10-21 dan 19-21 pada set kedua dan ketiga.
Beliau hanya membawa pulang pingat perak untuk kontinjen negara.
Drama penculikan di Kampung Baru
DUA kes penculikan menggemparkan negara menarik perhatian masyarakat sepanjang tahun ini. Selepas gagal dipujuk oleh pihak polis selama enam jam supaya melepaskan kanak-kanak perempuan yang menjadi tebusannya, Fifi Ramadhani Syafrudin, 10, seorang lelaki bogel ditembak mati oleh polis. Kejadian berlaku pada awal Januari lalu di sebuah rumah di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Suspek yang berusia 34 tahun itu yang hanya meminta air dan dadah meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur.
Putera William, Kate kunjungi Malaysia
BUAT julung-julung kalinya, rakyat di negara ini berpeluang melihat dengan lebih dekat Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton yang melakukan kunjungan rasmi selama tiga hari sempena meraikan ulang pemerintahan ke-60 Ratu Elizabeth II pada September lalu.
Selain Malaysia, pasangan diraja itu turut melawat Singapura, Kepulauan Solomon, Melanesia dan Tuvalu.
Peserta Bersih 3.0 gagal kawal emosi
PERHIMPUNAN anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada 29 April lalu yang kononnya mahu menuntut pilihan raya yang adil bertukar ganas.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga mengakui pihaknya gagal mengawal emosi peserta demonstrasi hingga memaksa polis mengambil tindakan menembak meriam air dan gas pemedih mata.
Antara yang menyertai Bersih 3.0 ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Nayati selamat ke pangkuan keluarga
NEGARA sekali lagi gempar dengan penculikan seorang kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, pada 27 April lalu.
Selepas enam hari diculik, di sekolahnya di Mont Kiara International School, Kuala Lumpur itu berjaya ditemui semula di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Buloh pada 3 Mei lalu. Keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 kepada penculik di satu lokasi di Cheras.
Saham Felda terbesar di Asia
TARIKH 31 Mei merupakan hari bersejarah buat warga Felda apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) yang terbesar di Asia pada tahun ini.
Tawaran tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook yang membabitkan 2.19 bilion saham.
FGV merupakan syarikat perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di dunia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lalu.
Suu Kyi menang pilihan raya
SELEPAS hampir 25 tahun berjuang menentang pemerintahan junta tentera di Myanmar, pejuang kemerdekaan yang juga pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi, Aung San Suu Kyi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya kecil pada April lalu.
Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: