UNIK...barisan finalis AJL27 ketika dibawa berarak dengan bas dua tingkat atas bumbung di sekitar bandar Ayer Keroh.
Insiden terbabit terlihat beberapa minit selepas finalis AJL27 tiba dari Kuala lumpur untuk menjayakan Jelajah AJL27 bertemakan Rasai kehangatan Ekspresi Seni di Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka, petang Ahad lalu.
Difahamkan, peminat berkenaan terpaksa diberi bantuan kecemasan dengan alat pernafasan oleh kakitangan paramedik yang ada. Ia dikatakan berpunca daripada terlalu ramai peminat yang datang dan mengerumuni ruang depan pentas.
Semuanya gara-gara ribuan penonton mahu melihat persembahan artis finalis AJL27 seperti Stacy, Black & Rapper Jambang (RJ), Aweera Mojo, One Nation Emcees (ONE) & Jimmy Palikat, Azlan & Typewriter, Amir Jahari dan Hazama.
Mimie ONE ketika ditemui Rap terkejut apabila mendengar berita ada peminat yang pengsan pada petang itu.
“Panik sekejap kami dibuatnya, maklum sajalah keadaan ini jarang berlaku dalam mana-mana konsert promosi jelajah hingga ada peminat yang pengsan. Namun syukurlah keadaan kembali pulih dan konsert tetap diadakan seperti mana yang dirancangkan.
“Keadaan ini membuktikan AJL memang gah dan ia acara yang paling ditunggu-tunggu peminat hiburan. Memandangkan hanya satu program promosi jelajah diadakan, tidak hairanlah ramai peminat di Melaka yang turun pada hari ini,” katanya.
Sebelum itu, artis yang terbabit ke Melaka diarak mengelilingi bandar Ayer Keroh bersama wakil media dan kru AJL27 dengan bas klasik dua tingkat yang tidak berbumbung.
Masing-masing gembira kerana ia peluang untuk mengambil angin di sekitar bandar itu memandangkan sudah lama tidak berkunjung ke Melaka.
Bagi Amir Jahari, selaku finalis yang pertama kali bertanding untuk AJL, dia sungguh terharu melihat ribuan peminat datang dengan besar hati.
“Pertamanya, saya bersyukur kerana pihak Media Prima Berhad sudi mengundang saya bersama rakan artis untuk datang ke Melaka. Memang sambutan sungguh hangat di sini dan ternyata orang Melaka sangat ‘sporting’.
“Bagi saya, promosi jelajah sebegini adalah cara terbaik bagi TV3 membawa finalis AJL27 bertemu peminat masing-masing,” kata Amir yang juga artis pertama yang membuka tirai pertandingan jelajah itu dengan lagu ciptaannya, Tanpamu.
Bagi Black pula, dia sungguh seronok dapat ke Melaka lagi dan kali ini bergandingan bersama RJ untuk lagu Teman Pengganti.
“Sambutan sungguh hebat di sini. Apabila datang ke Melaka saya terasa lain mungkin ia masih ada aura bandar raya bersejarah. Bagi saya sejarah Melaka juga ada kaitan dengan sejarah seni di negara kita.
“Apatah lagi ini kali pertama kami merasa dibawa menaiki bas dua tingkat untuk mengambil angin dan sampai ke lokasi konsert, saya rasa agenda yang disusun cukup unik.
“Apa yang penting, kami berkongsi pengalaman baru bersama peminat yang tidak henti-henti mahu bergambar dan menandatangani autograf. Saya rasa empat jam macam pantas dan tidak cukup!” ujarnya.
Bagi Jimmy Palikat yang bergabung dengan ONE, dia sangat terharu dapat menyampaikan lagu Anak Kampung, Sayang Kinabalu, Cek Mek Molek & Goyang Inul.
“Sejak menjadi artis, inilah kali pertama saya menjayakan konsert jelajah AJL,” kata Jimmy.
Hazama pula antara artis paling sibuk melayan kerenah peminat sebelum mendendangkan lagu Simetri dan Majnun.
Rakannya, Aweera Mojo, tampil menghiburkan peminat dengan lagu Gemuruh dan Andai Ku Bercinta Lagi.
“Saya bangga kerana pencapaian Mojo memberangsangkan selepas ditubuhkan setahun lalu. Saya akui masih mentah dan banyak perlu dipelajari kerana nama Mojo masih cukup gah seperti mana artis ‘senior’ lain.
“Peluang berada dalam jelajah AJL27 saya manfaatkan dengan sebaik-sebaiknya. Sekalipun perasaan gemuruh ada, saya sangat teruja untuk bersaing bersama 11 finalis lain pada pada 6 Januari depan. Saya harap pertaruhan Mojo dengan muzik ‘synth-rock’ dapat diterima peminat,” katanya.
Penampilan Stacy antara yang menarik perhatian peminat remaja. Beberapa peminat tidak melepaskan peluang menari bersama artis terkenal dengan tarian lincah itu sewaktu dia menyampaikan lagu Pelangi Senja dan Kasanova.
Petang itu tubuh Azlan nyata dibasahi peluh gara-gara melayan peminat. Bagaimanapun, dia tidak kurang hebatnya melontarkan vokalnya menerusi lagu Tanda Tanya dan Idola.
“Selalunya saya muncul sebagai artis jemputan dalam AJL. Sekarang saya dan Typewriter pula akan bersaing dan sudah tentu kami mahu memberi persembahan terbaik.
“Latihan rapi akan dibuat beberapa hari sebelum final. Kami masih memikirkan cara terbaik menonjolkan konsep persembahan dengan ‘props’ yang sesuai.
“Apapun, sasaran utama kami adalah menonjolkan genre rock kami. Saya gembira kerana dibantu barisan pemuzik yang matang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: