Friday, December 28, 2012

Bandung Jokers mahu fasih bahasa Melayu


BANDUNG JOKERS gagal untuk meneruskan langkah ke peringkat final.


SETELAH tiada penyingkiran yang dilakukan pada minggu kelima, saingan Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) yang berlangsung minggu lalu menyaksikan kumpulan Bandung Jokers gagal meneruskan saingan.
Melihat kepada persembahan peserta kumpulan yang berasal dari Bandung, Indonesia itu, sudah dapat dijangka jodoh mereka bersama rancangan tersebut tidak bertahan lama.
Dengan tema rancangan TV yang ditetapkan pada minggu tersebut, Bandung Jonkers yang memilih untuk meniru rancangan Betul Ke Bohong bagi aksi komedi mereka ternyata gagal memikat juri dan penonton.
Walaupun terpaksa bekerja keras memandangkan sebelum saingan mereka sudah berada di kedudukan terbawah, namun usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil serta persembahan mereka juga kelihatan hambar.
Dengan penyingkiran tersebut bermakna ia merupakan kali kedua mereka gagal ke saingan akhir setelah percubaan pada musim pertama turut menerima nasib yang sama ketika bertanding dengan menggunakan nama Bawel tahun lalu.
Salah seorang anggota kumpulan Bandung Jokers, Amin yang ditemui sewaktu sidang akhbar berkata, mereka bertiga akur dengan penyingkiran tersebut dan mengakui saingan daripada kumpulan lain amat sengit.
"Meskipun tidak dapat lagi meneruskan saingan dalam pertandingan ini, tetapi ia sudah cukup membuatkan kami berasa bangga. Penyingkiran ini bukan bermakna kami sudah gagal kerana ia memberikan semangat untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.
"Apa yang perlu dilakukan sekarang kami akan mempertingkatkan lagi prestasi dan kualiti komedi yang dipersembahkan. Berpeluang menyertai pertandingan ini telah memberikan pengalaman yang sangat berharga," jelasnya yang terpaksa akur dengan penyingkiran kumpulannya itu.
Ketika ditanya sama ada mereka akan menyertai lagi pertandingan MLM pada masa akan datang setelah dua kali gagal, Amin menyatakan mereka tidak mahu mengalah dan sedia menyahut cabaran sekiranya kembali bertanding.

LAWAK kumpulan Boboi semakin menyerlah.


Menurutnya, jika berpeluang dapat kembali menyertai MLM pada musim yang seterusnya, mereka berazam untuk lebih bersedia dengan persembahan yang lebih bermutu dan menghiburkan.
"Bahasa merupakan salah satu faktor yang membuatkan kami sukar untuk bersaing. Jadi, salah satu langkah yang akan kami lakukan adalah belajar bahasa Melayu sehingga fasih supaya penonton lebih mudah memahami persembahan yang ditampilkan," ujarnya.
Sementara itu, secara keseluruhannya kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Yus dan Taukeh dilihat sebagai peserta yang paling menonjol pada saingan minggu keenam.
Bagaimanapun, kumpulan Jozan masih terus mengungguli carta teratas dengan markah sebanyak 16 peratus dan diikuti Jambu (14 peratus), Shiro (13 peratus), Saywho (13 peratus), Boboi (12 peratus), Sabon (11 peratus), R2 (11 peratus) dan Bandung Jonkers (10 peratus).
Tiada tarikan
Mengulas lebih lanjut mengenai penyingkiran Bandung Jonkers, salah seorang juri tetap iaitu Najip Ali menjelaskan mereka tidak mempunyai sebarang tarikan tersendiri sehingga menyebabkan tidak ramai yang mengundi mereka.
Berbanding dengan peserta lain seperti Jozan, Jambu, Saywho dan Boboi yang kelihatan semakin menyerlah setiap minggu, kumpulan tersebut juga masih lagi tercari-cari bentuk persembahan yang mampu memikat juri dan penonton.
"Memandangkan pertandingan ini sudah memasuki minggu keenam, setiap peserta semakin bekerja keras untuk menampilkan persembahan yang lebih menarik dan bermutu, kecuali Bandung Jonkers masih di tahap yang sama tanpa sebarang peningkatan," jelasnya lagi.
Salah seorang lagi juri tetap iaitu Awie pula terus mengingatkan para peserta terutama yang berada di atas supaya tidak berada dalam zon yang selesa.
Ujarnya, dia menganggap semua peserta yang bertanding dalam MLM 2012 merupakan pelawak yang terbaik dan menganggap setiap penyingkiran yang berlaku sebagai adat pertandingan.
"Tidak bermakna peserta yang tersingkir itu menandakan mereka tidak bagus dan saya mahu melihat kebangkitan peserta yang kini sedang berada di kedudukan paling bawah untuk persembahan minggu hadapan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: