Sunday, December 30, 2012

Endoskopi bantu cegah kanser



KAEDAH endoskopi adalah proses rawatan yang mudah, cepat dan selamat. - Gambar hiasan



KEBELAKANGAN ini Azrul Akmal Syahid, 32, sering mengalami pedih hulu hati. Mulanya dia menyangka ia gejala gastrik memandangkan kepedihan itu cepat surut setelah dia memakan ubat gastrik yang dibeli dari farmasi.
Begitu pun, baru-baru ini, keadaan Azrul semakin teruk. Selain perutnya selalu meragam, muntah-muntah dan cirit-birit, dia juga berdepan dengan masalah najis berdarah.
Selepas berjumpa dengan doktor, dia dinasihatkan supaya melakukan prosedur endoskopi, satu kaedah terkini untuk meneropong rongga badan manusia bagi mengenal pasti sebarang kejanggalan pada sistem penghadaman.
Menerusi kaedah ini, doktor boleh melihat bahagian-bahagian tertentu di dalam badan melalui satu tiub yang kecil dan fleksibel. Alat yang turut dilengkapi lampu dan kanta itu membolehkan doktor melihat bahagian dalam esofagus, perut, usus kecil serta usus besar.
Prosedur ini juga membolehkan pengambilan biopsi atau contoh tisu dan mengeluarkan objek asing seperti ketumbuhan yang lebih dikenali sebagai polip.
“Selepas menjalani prosedur endoskopi, doktor berjaya mengeluarkan sejumlah polip dari saluran usus besar. Walaupun ia kecil, namun jika dibiarkan, ketumbuhan tersebut boleh menyebabkan kanser,” ujarnya yang mengakui rawatan endoskopi ialah prosedur rawatan yang mudah, cepat dan selamat.
Sementara itu, menurut Perunding Gastroentrologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Dennis Khoo Yeap Teng, terdapat dua kaedah endoskopi yang biasa dijalankan iaitu kaedah endoskopi untuk salur penghadaman boleh dilakukan melalui teknik esophagogastroduodenoskopi (OGDS) ataupun kolonoskopi.
“Prosedur OGDS menggunakan tiub yang dimasukkan melalui rongga mulut untuk menyiasat struktur saluran penghadaman seperti esofagus, perut dan sebahagian daripada usus kecil yang dikenali sebagai duodenum.
“Satu lagi teknik dikenali sebagai kolonoskopi. Ia turut menggunakan tiub yang dimasukkan melalui rektum untuk meneliti struktur sistem penghadaman dan sebahagian daripada usus besar.
“Setakat ini, untuk melihat struktur usus kecil pakar akan kaedah enteroskopi, namun kaedah ini jarang dilakukan kerana usus kecil sangat panjang, sekitar 6 hingga 7.5 meter.
“Hanya pakar yang terlatih sahaja yang boleh melakukan prosedur ini tanpa mencederakan usus pesakit. Begitu pun, sudah ada teknologi terbaharu yang boleh menyiasat struktur usus kecil dan mendiagnosis masalah di bahagian tersebut dengan menggunakan kapsul endoskopi, namun kosnya tinggi dan tidak banyak hospital yang menawarkan perkhidmatan ini,” jelasnya.
Tidak berdarah
Tambah Dennis, antara penyakit yang boleh didiagnosis melalui kaedah endoskopi ialah ulser, radang perut, gastrik, buasir, ketumbuhan dan kanser.
“Prosedur ini juga membolehkan pakar perubatan menjalankan pembedahan secara langsung sebaik keganjilan pada struktur usus atau saluran penghadaman ditemui,” katanya.
Tambah Dennis, kaedah itu menyakitkan, tidak berdarah, tidak meninggalkan parut, rendah risiko dan mengambil masa yang singkat untuk dilakukan.
“Prosedur kolonoskopi mengambil masa lebih panjang berbanding prosedur OGDS. Kolonoskopi mengambil masa sehingga 30 minit berbanding 5 minit jika melakukan OGDS.
“Bagaimanapun, masa yang diambil untuk melakukan endoskopi bergantung kepada keadaan pesakit. Jika pesakit mempunyai polip yang banyak, prosedur akan mengambil masa lebih panjang.
“Untuk membuang polip, gelungan yang berada dihujung tiub endoskopi akan memegang bonjolan pada polip.
“Selepas itu, polip akan dipotong menggunakan wayar kabel halus dengan menggunakan cas elektrik sebelum ia disedut keluar.
“Proses ini hanya memerlukan berapa saat untuk disempurnakan tanpa mengeluarkan darah atau pun meninggalkan sebarang parut,” katanya yang melakukan sekitar 60 prosedur endoskopi sebulan.
Menurut Dennis lagi, golongan yang kerap berdepan masalah najis berdarah perlu segera berunding dengan pakar perubatan bagi mengelak risiko sakit yang lebih teruk.
“Ramai mengandaikan najis berdarah sebagai sembelit, hakikatnya, ia adalah gejala yang boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius seperti kanser perut dan kanser usus.
“Kanser usus bermula daripada ketumbuhan yang muncul pada mana-mana bahagian usus. Ketumbuhan ini pula biasanya hadir tanpa meninggalkan rasa sakit sehinggalah berlaku keganjilan pada selnya yang merubah ketumbuhan tersebut kepada kanser.
“Ada beberapa jenis ketumbuhan atau polip pada usus yang boleh bertukar menjadi kanser. Oleh itu, jangan ambil mudah masalah najis berdarah kerana ia mungkin gejala kanser.
“Berbincanglah dengan doktor anda dan lakukan prosedur endoskopi untuk memastikan bahawa anda benar-benar bebas daripada sebarang ketumbuhan yang boleh membawa kepada kanser,” katanya.
Dennis turut menambah, golongan lelaki yang berusia 50 tahun ke atas sangat disarankan menjalani ujian endoskopi walaupun mereka tidak pernah berdepan dengan masalah najis berdarah, gangguan perut atau sebagainya.
“Apabila umur lelaki melepasi 50 tahun, risiko untuk mendapat ketumbuhan yang berisiko bertukar kepada kanser usus dan kanser prostat lebih tinggi.
“Disebabkan itu, mereka digalakkan mengambil ujian endoskopi bagi memastikan mereka benar-benar tiada masalah kesihatan.
“Prosedur ini bukan sahaja boleh menyelesaikan masalah ketumbuhan tetapi boleh mencegah kanser pada peringkat awal lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: