Saturday, December 29, 2012

Koleksi mewah sultan


BAHAGIAN dalaman kubah yang menakjubkan.


EMPAYAR Uthmaniyah di Turki yang berkuasa pada tahun 1300 hingga 1922 telah memainkan peranan penting dalam perkembangan agama Islam. Kerajaan tersebut dipimpin oleh seramai 36 sultan.
Dalam sejarah pemerintahan empayar tersebut Istana Topkapi di Istanbul turut menjadi bukti kecemerlangan terutama dalam bidang seni bina.
Istana yang terletak di titik pertemuan Selat Bosphorus, Tanjung Tanduk Emas (Golden Horn) dan Laut Marmara ini mempunyai taman-taman indah yang menghubungkan antara satu bangunan dan bangunan lainnya. Kompleks Istana Topkapi terletak di belakang bangunan Hagia Sophia.
Topkapi dalam bahasa Turki bermaksud Pintu Meriam, pernah didiami 24 sultan Turki Uthmaniyah. Kini, bangunan bersejarah itu telah berubah fungsi iaitu dijadikan muzium atas arahan presiden pertama Turki, Mustafa Kemal Ataturk pada tahun 1924.
Istana Topkapi merupakan kediaman rasmi kesultanan Uthmaniyah selama lebih 400 tahun (1465 hingga 1856). Ketika itu, pelbagai urusan kerajaan turut dilakukan di istana berkenaan termasuk majlis-majlis perayaan. Dibangunkan pada tahun 1459 atas perintah Sultan Mehmed II dan siap pada tahun 1478 iaitu 19 tahun kemudian.
Kompleks Istana Topkapi ini mempunyai empat lapangan utama serta banyak bangunan-bangunan kecil. Didirikan di kawasan seluas 700,000 meter persegi dan dikelilingi tembok sepanjang lima kilometer.
Bab-I Humayu merupakan salah satu pintu masuk ke istana bersebut dan ia dibina menghadap Hagia Sophia. Di pintu masuk ini terdapat kaligrafi hasil tulisan Ali Yahya al Sufi.
Pada zaman pemerintahan empayar tersebut, hanya bahagian laman di pintu masuk tersebut dibenarkan orang ramai memasukinya. Laman itu menjadi lokasi bagi acara-acara berkaitan ketenteraan. Terdapat juga taman air pancut di bahagian ini.

PENGUNJUNG memasuki Istana Topkapi yang menyimpan pelbagai artifak berharga.


Selepas memasuki pintu tengah, terdapat laman yang dipanggil Babusselam. Di kiri kanan pintu tersebut terdapat dua menara. Pintu ini menjadi pintu masuk pelawat-pelawat pada zaman dahulu.
Artifak muzium
Menjejak kaki ke istana itu, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai artifak termasuk peninggalan sejarah Islam termasuk barang-barang peribadi milik Nabi Muhammad SAW.
Para pengunjung seakan-akan dibawa ke zaman Rasulullah dan para sahabat. Pelbagai peninggalan itu ditempatkan di dalam suatu ruang khusus yang terpisah dari Istana Topkapi.
Antara barang-barang Rasullulah termasuk pedang hitam (Pedang Nabawi), mantel, gigi, tasbih kayu, bendera, cambuk, segenggam janggut, sejadah, tongkat, busur panah, sabuk dan lain-lain. Terdapat juga pedang-pedang milik sahabat Baginda antaranya pedang Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali Abi Talib.
Peninggalan penting adalah manuskrip al-Quran yang pertama. Sebelum al-Quran disatukan menjadi kitab, manuskrip pertama al-Quran dituliskan di atas lembaran kulit binatang. Salah satu yang tersimpan di Istana Topkapi menyuratkan Surah al-Qadr.

ANTARA artifak peninggalan sejarah Islam yang tidak ternilai harganya ini turut dipamerkan di Istana Topkapi.


Terdapat juga koleksi barangan kemas atau barang-barang bersadur atau diperbuat daripada emas yang merupakan milik sultan-sultan berkenaan. Antaranya ialah basin, paip air, kipas, set pinggan mangkuk dan pemegang cawan. Artifak berkenaan juga ada yang bertatahkan berlian, delima, zamrud, mutiara, jed dan batu kristal.
Muzium tersebut juga memiliki 2,000 koleksi barangan perak yang dihasilkan pada kurun ke-16 dan ke-19. Barang-barang perak ini merupakan koleksi sultan-sultan yang dihadiahkan diplomat Eropah.
Bahagian porselin dan kaca pula mempamerkan pelbagai koleksi dari Eropah. Antara artifak hasil kerja tangan itu ialah kaca kurun ke-17 yang dihasilkan menggunakan teknik Bohemia. Terdapat juga bahagian yang memuatkan kira-kira 2,000 unit porselin dan kaca hasil kerja tangan tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: