Sunday, December 2, 2012

Peluang dalami ilmu muzik

BERKAMPUNG...peserta Akreditasi Muzik II berkampung empat hari di Felda Trolak.
BERKAMPUNG...peserta Akreditasi Muzik II berkampung empat hari di Felda Trolak.
MAJORITI peserta daripada institusi berbeza. Ada dari UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), Kombo SUK Negeri (Pahang), Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia) dan perseorangan.
Rata-rata tidak mengenali sesama sendiri, namun dikumpulkan lalu dipecahkan menjadi tujuh kumpulan. Berlatih selama dua hari bagi mencari keserasian sebelum beraksi pada malam penilaian.
  • Foto SANTAI...peserta melakukan senaman ringan bagi mengelak stres.
  • Foto DISKUSI...fasilitator (dari kiri) Acun, Ruslan, Shah dan Isyam serius sebelum mencurah ilmu.
  • Foto TEKUN...Shah gigih membimbing peserta.
  • Foto LINCAH...beraksi untuk kumpulan Seven ‘N’ F.
Nama kumpulan tidak kurang komersialnya seperti The Buskerz, Horns Ensemble, Gangster Robin, Seven ‘N’ F, Menhajj, Fantastic Four dan 4 Days.

Untuk hari pertama latihan, masing-masing kekok menyesuaikan diri menjelang sesi latihan penuh, menyebabkan ada yang berlatih sehingga jam 1 pagi.

Berdentum dentam lima bilik Alamanda pada sesi bengkel, untungnya lokasi jauh daripada penginapan, justeru tiada rungutan daripada penghuni.

Hakikatnya, bukan mudah bagi peserta yang baru mengenali apa itu bass clef dan treble clef. Ini kerana rata-rata peserta harus ada ilmu berkaitan muzik sebelum mereka dinilai oleh juri bagi mendapat pengiktirafan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Inilah antara cabaran perlu direntasi 55 peserta yang menyertai program Akreditasi Muzik Siri II pada 18 hingga 21 November lalu.

Program anjuran Bahagian Muzik KPKK bersama Karyawan dengan kerjasama Aswara ini memilih Felda Residence Trolak sebagai lokasi, berbanding Siri I yang berlangsung di Aswara saja.

Pemilihan program jauh dari Lembah Klang antara strategi bagi mengelak ada yang ponteng sesi bengkel dan motivasi oleh penceramah jemputan. Semua peserta pula tidak digalakkan memandu sendiri, sebaliknya dikehendaki menaiki bas disediakan serta berkampung di Felda Residence saja.

Program Akreditasi Muzik yang diluluskan jemaah menteri pada Oktober 2007 menjadi tanda aras penting atau ‘bench-marking programme’ dalam pembangunan seni muzik dan seni suara di tanah air.

Ia bertujuan memberi peluang kepada artis tempatan mempertingkatkan karier mereka, khususnya dengan adanya Sijil Akreditasi yang akan membolehkan mereka bekerja (berkarya) di hotel dan kelab tempatan.

Sebelum peserta dipecahkan menjadi kumpulan, mereka diberi taklimat dan perasmian oleh Setiausaha Bahagian Muzik KPKK, Salehhuddin Md Salleh.

Untuk sesi motivasi, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez bercakap perihal komunikasi, Aizul Rohan (Perundangan), Helmy & The Gimmick (cabaran artis), Nurasyiqin Abdullah (Tatarias, Penampilan & Koreografi) dan Syed Al Faidzal Syed Ahmad Al Shahad dari Holiday Villa Subang.

Penilaian persembahan diadili Dekan Fakulti Muzik, Aswara, Ayob Ibrahim dan Penolong Setiausaha Bahagian Muzik KPKK, Haniah Hassan.

Ibarat mengajar anak yang bertatih, semua peserta mendapat bimbingan fasilitator berpengalaman dalam muzik seperti Acun Shamsul Kamal, Azman Mustaffa, Isyam Swardy Daud, Ahmad Shah, Azizi Abdul Rahman, Ijat Aisunam dan Syed Jalaludin Hassan, sementara Ruslan Imam selalu ketua fasilitator. Modul pembelajaran bersistematik disediakan Aswara, di mana setiap kumpulan dikehendaki mempersembahkan dua lagu.

Ketika ditemui, Ruslan menyifatkan tiga hari membentuk satu kumpulan bukan tugas mudah, tetapi dia berpuas hati dengan pencapaian peserta.

“Melalui ilmu dan kepakaran yang ada, saya dan fasilitator lain berusaha mencurahkan yang terbaik buat peserta. Masa singkat, tetapi saya nampak penghasilannya kerana apa yang kami mahu daripada peserta ialah kerjasama, komunikasi, menerima dan memberi idea, disiplin dan pengurusan masa.

“Program Akreditasi Seni bagi saya perlu diteruskan bagi memberi nafas pada pemuzik tanah air supaya kerjaya seni mereka terus hidup,” katanya.

Setiap pemuzik dibimbing untuk fokus pendengaran, memahami serta mencatatkan dalam skor. Pembelajaran asas teori penting bagi peserta untuk memahami kandungan dalam lagu. Carta kod diberikan pada setiap kumpulan dan mereka perlu merancang pengisian dalam gubahan.

Peserta, Ahmad (Haziq) Ramli berkata, program Akreditasi Muzik memberi peluang kepada pemuzik muda untuk menambah ilmu.

“Ilmu muzik ini tidak pernah cukup, justeru kita kena gali untuk menajamkan lagi kemahiran bakat seni kita,” katanya.

Haziq, pemegang diploma Seni Persembahan Aswara, berkata dia meminati muzik atas dorongan guru sekolahnya yang melihat dia suka beraksi ala pemain drum.

“Saya sempat bertemu Datuk Ramli MS dan beliau beri tips untuk saya jadi pemuzik berjaya. Teringin saya bermain muzik dengannya,” katanya.

Peserta, Kartina Shahardin berkata, sekalipun hanya bermain keyboard, peranannya juga penting untuk berkomunikasi dengan penonton.

“Lazimnya pemain keyboard hanya pandang ‘score’ muzik. Memandang audiens penting untuk mereka menghayati muzik yang kita mainkan,” katanya.

Kartina yang pernah mengiringi persembahan Azlina Aziz dan Lan Typewriter menyifatkan program Akreditasi Muzik membina keyakinannya.

Bagi Shazroul Fazlie Zahari, sekalipun berpengalaman menyertai Akademi Fantasia dan mempunyai album, dia tidak kekok menyertai program itu.

“Saya lihat industri muzik kita rapuh, dalam erti kata lain, sukar untuk kita ramal apa bakal terjadi dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Saya menyertai program ini bagi mendapatkan sijil daripada KPKK. Mana tahu selepas memperoleh sijil, saya beralih kepada menyanyi di kelab dan hotel di tanah air,” katanya.

Jika Sharoul ada album, Amelia Amir Husin pula berpengalaman sebagai penyanyi kelab. Namun, dia sanggup mengorbankan masa untuk Akreditasi Muzik.

“Saya didedahkan kepada nyanyian oleh ayah saya yang bertugas sebagai anggota TUDM. Sekalipun majoriti peserta program ini masih menuntut, saya tidak kekok sesuaikan diri dengan mereka. Kumpulan yang baru kami bentuk sekejap saja sudah serasi,” katanya.

Peserta, Mohd Mazlan Setapa berkata, dia minat muzik sejak berusia 11 tahun dan banyak dipengaruhi idolanya, Man Kidal dan Sam Kamikaze.

“Satu hari nanti, saya ingin mengikuti jejak Man Kidal, Sam mahupun arwah Samad dari Lefhanded. Bagi saya, bakat saja tidak memadai, justeru saya masuk Aswara untuk mengambil diploma Persembahan Muzik selama tiga tahun,” katanya.

Peserta, Mazlina (Maz) Abdul Manan berkata, asalnya dia eksekutif hotel di Johor Bahru dan didedahkan kepada seni sebagai penyanyi jemputan saja.

“Saya cuma menyanyi suka-suka di hotel tempat saya bekerja. Tidak sangka ada kumpulan berminat mengajak saya menganggotai mereka. Saya masih menuntut di Aswara, tetapi pada waktu sama menyanyi malam bersama Soul Revue dan Frenz.

“Akreditasi Muzik ini boleh menjadi medan untuk kami pemuzik dan pelajar berkongsi idea demi kebaikan industri muzik kita,” kata anak polis ini yang meminati Datuk Sheila Majid dan Alicia Keys.



PROFIL 1:

NAMA: Ahmad (Haziq) Ramli
TARIKH LAHIR: 19 Mac 1990
ASAL: Kampung Tengah, Kuantan, Pahang
KERJAYA: Kombo SUK Negeri (Pahang)


PROFIL 2:

NAMA: Mazlina (Maz) Abdul Manan
TARIKH LAHIR: 15 Januari 1982
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi kelab


PROFIL 3:

NAMA: Anuar Borhan
TARIKH LAHIR: 21 September 1982
ASAL: Mantin, Negeri Sembilan
KERJAYA: Pemuzik UPSI


PROFIL 4:

NAMA: Amelia Amir Husin
TARIKH LAHIR: 12 Januari 1978
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi kelab


PROFIL 5:

NAMA: Mohd Mazlan Setapa
TARIKH LAHIR: 11 Julai 1986
ASAL: Larkin, Johor Bahru
KERJAYA: Penuntut Aswara


PROFIL 6:

NAMA: Kartina Shahardin
TARIKH LAHIR: 13 September 1985
ASAL: Ipoh, Perak
KERJAYA: Pemuzik UPSI

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: