CEMAR... air bah bukan saja rosakkan harta benda, juga bawa kekotoran ke rumah.
Ia tertumpu di kawasan rendah, misalnya Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Kedah. Selain memusnahkan harta benda, musim tengkujuh turut mengakibatkan banjir.
Namun, masih ramai kurang mengambil berat mengenai penyakit ketika banjir dan selepas banjir, malah ada ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain ketika hujan serta berselut.
Sebenarnya banyak penyakit boleh berlaku ketika musim berkenaan, terutama di kawasan luar bandar. Kurang prihatin antara punca masyarakat tidak sedar ia boleh mengundang bahaya.
Antara penyakit yang biasa berlaku ketika banjir adalah jangkitan usus, taun, demam kepialu, hepatitis A, kencing tikus serta jangkitan kudis pada kulit kaki.
Manakala penyakit yang berpotensi menular selepas banjir reda ialah demam denggi dan malaria. Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashi- run, berkata ibu bapa perlu mengawasi anak, terutama pada musim tengkujuh, bagi mengelakkan penyakit berbahaya.
“Jangkitan usus atau gastroenteritis, taun, kepialu dan hepatitis A mempunyai simptom yang hampir sama. Kuman akan merebak melalui najis individu yang dijangkiti kuman berkenaan, seterusnya mencemari air.
“Manakala air yang tercemar menjangkiti individu lain melalui makanan dan minuman air yang tidak dimasak atau diproses dengan sempurna.
“Pesakit akan mengalami loya, sakit perut, muntah dan cirit-birit disebabkan kuman yang kurang berbahaya dan akan berhenti selepas tiga hingga lima hari,” katanya ketika ditemui di hospital itu di Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berbeza dengan penyakit taun, demam kepialu dan hepatitis A, simptom seperti cirit-birit akan berterusan disertai demam panas dan keadaan bertambah teruk serta lesu disebabkan dehidrasi.
“Leptospirosis pula ialah jangkitan disebabkan kencing tikus. Berbeza dengan jangkitan lain, kuman ini hanya merebak menerusi air kencing tikus yang dijangkiti kuman Leptospira.
“Air kencing ini mencemari air dan menjangkiti manusia jika menggunakannya. Bukan saja melalui mulut, kuman ini juga boleh menjangkiti manusia melalui kulit yang luka atau lapisan mukosa seperti mata,” katanya.
Simptom awal leptospirosis sukar dibezakan dengan demam biasa iaitu demam, sakit sendi, sakit perut, muntah dan cirit-birit tetapi jika tidak dikenal pasti seawal mungkin, ia akan menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kadangkala hati.
Jangkitan kudis pula biasanya berlaku pada kaki. Ia bermula dengan luka kecil disebabkan tercalar atau terpijak objek tajam ketika mengharungi banjir.
Menjadikan situasi lebih teruk, air banjir yang penuh dengan kuman menjangkiti luka itu.
Katanya, bukan hanya kanak-kanak perlu diawasi, malah orang dewasa juga berisiko jangkitan jika tidak berjaga-jaga.
“Bukan hanya ketika banjir, selepas banjir juga ada penyakit yang mudah dihidapi orang ramai, misalnya demam denggi dan malaria.
“Ia disebabkan jangkitan virus denggi yang dibawa nyamuk aedes. Antara simptomnya seperti demam berpanjangan disertai sakit sendi badan, sakit belakang mata, hilang selera makan, ruam pada keseluruhan badan, muntah, cirit-birit, gusi dan hidung berdarah. Jika tidak dirawat, ia menyebabkan berlaku pendarahan teruk, dehidrasi dan beberapa organ penting gagal berfungsi,” katanya.
Bagi malaria pula, nyamuk anopheles membawa kuman plasmodium dan menjangkiti manusia. Kuman ini akan menyerang hati dan juga merebak ke seluruh badan melalui darah merah.
Simptom awal ialah demam berpanjangan sehingga berminggu, sakit sendi, cirit-birit, muntah, sakit perut, kekuningan, bengkak hati dan limpa (kura).
Tambahnya, bagi mengelak penyakit berbahaya berkenaan, kebersihan adalah aspek utama yang perlu dititikberatkan. Penggunaan dan kebersihan tandas sangat penting, terutama di pusat penempatan semula.
“Semua air yang digunakan untuk makan dan minum hendaklah dimasak sehingga mendidih supaya kuman mati dan tidak berjangkit.
“Individu juga digalakkan meminum air mineral untuk mengurangkan risiko penggunaan air yang tercemar. Gunakan kasut atau alas kaki untuk mengelakkan kaki terluka atau tercedera.
“Bagi kawasan yang selalu mengalami banjir, penduduknya digalakkan mengambil imunisasi untuk Hepatitis A dan suntikan anti-tetanus bagi menghalang jangkitan kudis yang teruk,” katanya.
Rawatan terbaik untuk penyakit berjangkit ialah menggantikan semula cecair yang hilang supaya tidak mengalami dehidrasi.
Ini dapat dilakukan dengan memasukkan cecair intravena. Jika dehidrasi berlaku, tekanan darah menjadi rendah dan diikuti organ badan gagal berfungsi yang akhirnya membawa maut.
Bagi jangkitan tertentu, suntikan dan ubat antibiotik yang sesuai akan diberi berdasarkan jenis kuman dihidapi pesakit. Ini berdasarkan keputusan makmal yang dilakukan.
Bagi jangkitan virus seperti Hepatitis A dan demam denggi, tiada rawatan khas untuk jangkitan ini, akan tetapi rawatan cecair intravena sangat penting.
Langkah perlu diambil ketika banjir:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: