Sunday, December 2, 2012

Mampu saing jenama import

pix_middle
PADA pandangan mata kasar, perniagaan burger kelihatan sungguh mudah dikendalikan, apatah lagi ruang diperlukan untuk menghasilkan makanan itu hanya sedepa orang dewasa.
Yang perlu disediakan hanya kuali leper berserta gas memasak untuk menggoreng daging dengan sedikit ruang meletakkan bahan burger lain seperti roti, telur, salad, sos, mentega dan keju, di samping bagi tujuan pembungkusan.
   
  • Foto
  • Foto
Mungkin ada yang beranggapan seorang pun cukup untuk mengendalikan perniagaan ini kerana sekadar menghasilkan burger tanpa menu lain, dan jika mahu melancarkan urusan jual beli bersama pelanggan, memadai dengan mengupah seorang pembantu.

Keuntungan hasil perniagaan ini juga dianggap tidak seberapa dan pengusaha burger kerap dikaitkan dengan ketiadaan kelayakan pendidikan tinggi, menyebabkan aktiviti menjual burger dipilih untuk menampung hidup.

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, persepsi ini mungkin hanya sesuai menggambarkan peniaga burger puluhan tahun dulu, bukan sekarang.

Jika dulu majoriti penjual burger adalah lelaki bujang yang baru saja menamatkan persekolahan dan menjalankan perniagaan ini di tepi jalan mahupun kawasan pinggir bandar, kini kewujudan mereka boleh dilihat di tengah ibu kota Kuala Lumpur sekalipun.

Sama ada di kawasan kediaman, komersial, pejabat, pusat beli-belah, pasar malam serta berhampiran institusi pengajian tinggi, burger bukan lagi makanan yang sukar atau bermasalah untuk diperoleh.

Penjualnya kini membabitkan pelbagai kumpulan masyarakat, malah bapa kepada dua anak serta isteri turut turun padang menyediakan sajian burger mengikut kehendak pelanggan.

Sedangkan pemilik ijazah sarjana muda dalam bidang profesional pun sanggup memilih perusahaan burger sebagai kerjaya tetap, semuanya kerana pendapatan diperoleh hasil perniagaan ini dikatakan lebih lumayan berbanding makan gaji dengan orang lain.

Lebih menarik pada masa kini, kreativiti peniaga burger semakin terserlah apabila wujudnya variasi burger seperti burger sosej, burger kukus, burger oblong dan terbaru, burger bakar atau panggang yang mencetuskan fenomena buat penggemar burger di negara ini.

Variasi burger ini mungkin sudah biasa bagi kebanyakan negara lain di dunia, khususnya negara Barat yang memperkenalkannya dalam pilihan sajian di negara ini, namun itu bukan bermakna Malaysia ketinggalan.

Hakikatnya, burger bakar misalnya, sudah lama dijual di kafe dan restoran terkemuka dari luar yang ada di negara ini, namun harganya lebih mahal.

Bayangkan, harga bagi satu hidangan burger bakar di restoran seumpama ini boleh mencecah sehingga RM30 yang mampu menampung perbelanjaan makan selama tiga hari bagi golongan biasa di Kuala Lumpur.

Keunikan burger di pasaran ketika ini memberi lebih pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan sajian terbaik dan pada masa sama menjana ekonomi serta peluang pekerjaan.

Cuma sehingga kini, perniagaan makanan ini masih lagi seperti sebelumnya, yang mana ia lebih aktif dilakukan pada waktu malam berbanding siang.

Ada juga peniaga burger cuba menjual produk makanan ini seawal waktu siang, namun ternyata malam lebih menjadi waktu pilihan di kalangan majoriti pelanggan untuk menikmatinya.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan harga burger yang dijual di tepi jalan juga sama meningkat sehingga mencecah puluhan ringgit bergantung kepada jenis dan saiz.

Dalam situasi ini, peniaga burger bukan pihak yang sepatutnya dipersalahkan kerana mereka turut menghadapi kenaikan harga ketika membeli bahan membuat burger seperti roti dan daging.

Sebaliknya, kita perlu lebih bersyukur kerana kadangkala ada burger dijual sungguh murah sehingga terdetik di hati berapalah agaknya untung diperoleh bagi setiap burger dijual.

Yang pasti, percambahan peniaga burger kini memberi persaingan kepada burger jenama import yang turut sama berlumba dalam menghasilkan burger terbaik demi memenuhi selera orang ramai, sekali gus membuktikan kemampuan rakyat Malaysia menghasilkan menu berasal dari Barat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: