
NAZA Bikes Sdn. Bhd. (Naza Bikes) baru-baru ini memperkenalkan dua varian baharu dalam rangkaian produk motosikal sport Naza Blade TBR 2013 Edition hasil daripada kerjasama dengan TBR Asia Sdn. Bhd. (TBR Asia).
TBR Asia merupakan pengedar rasmi produk keluaran Two Brothers Racing Inc. (TBR Inc.) di Amerika Syarikat untuk pasaran Malaysia. TBR Inc. terkenal dengan sistem ekzos aftermarket berprestasi tinggi dan aksesori motosikal.
Untuk makluman, Naza Blade TBR 2013 Edition dibangunkan bersama TBR Inc. dan Naza Bikes untuk pasaran tempatan serta ASEAN. Ia melibatkan varian bersesaran 250cc dan 650cc.
Pembaharuan utama yang dilakukan adalah pada sistem ekzos berprestasi yang membantu meningkatkan kuasa Naza Blade sehingga lima peratus, di samping mengurangkan berat jentera sebanyak tiga kilogram.
Solekan pada tubuh motosikal sport itu dibuat menerusi pelekat-pelekat TBR yang menyerlahkan lagi penampilannya.
![]() |
|
TEMPAT duduk yang bergaya dengan jalur berwarna merah.
|
Bagi varian 650cc, keupayaan membrek atau memperlahankan jentera diserahkan kepada sistem brek cakera keluli tahan karat berprestasi tinggi dengan Red Protective Sleeve.
Naza Blade TBR 2013 Edition ditawarkan pada harga atas jalan RM17,817.75 untuk varian 250cc dan RM26,102.05 bagi jentera 650cc. Jaminan yang diberikan adalah selama satu tahun.
Naib Presiden Naza Two Wheel Division Kumpulan Naza, Nik Danial Nik Mahmood berkata, sejak varian naik taraf Naza Blade diperkenalkan pada September lalu, pihaknya sudah berjaya menguasai segmen motosikal 250cc dengan pegangan hampir 50 peratus.
Secara ringkas, jualan purata Blade 250cc adalah sebanyak 120 unit sebulan. Sehingga November lalu, Naza Bikes berjaya mencatat jualan terkumpul sebanyak 1,000 unit model asas motosikal sport itu.

SISTEM ekzos daripada TBR ini meningkatkan kuasa Naza Blade dengan signifikan.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berkata, kilang Naza Bikes di Shah Alam, Selangor bakal memiliki saluran pengeluaran baharu untuk produk Naza Blade. Ia sebagai persediaan untuk menampung jumlah pengeluaran untuk aktiviti eksport ke Kemboja dan Indonesia.
Nilai pelaburan dikatakan berjumlah RM500,000 dan dijangka siap menjelang Mac 2013. Eksport ke Kemboja membabitkan varian 250cc, manakala untuk Indonesia, ia melibatkan kedua-dua model berkenaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: