
REKAAN kemas Audi terserlah pada model wagon berkuasa tinggi ini.
MEREKA yang berada di Eropah mengambil serius mengenai kereta wagon. Pasaran di sana besar sehinggakan wajib untuk kebanyakan pengeluar kenderaan mempunyai model wagon.
Kebanyakan kereta jenis itu dibangunkan berasaskan model sedan, tetapi dengan bumbung yang dipanjangkan dan ruang bonet lebih besar. Baru-baru ini saya sempat memandu uji sebuah wagon buatan Sweden. Ya, wagon sememangnya praktikal.
Jika disebut wagon, mungkin ramai yang membayangkan Nissan AD Resort. Namun sebenarnya banyak lagi model jenis itu di atas jalan raya Malaysia. Misalnya, Volvo V50, Subaru Forester atau Mitsubishi Lancer Evolution Wagon.
Selain itu, Perodua Alza, Nissan Grand Livina, Honda Stream dan Toyota Wish sebenarnya juga boleh dikategorikan sebagai wagon. Cuma bezanya model-model tersebut mempunyai tempat duduk tambahan di barisan ketiga.
Untuk wagon yang dipaparkan kali ini, saya tidak pasti apakah label yang sesuai untuk digunakan kerana kuasanya sangat tinggi. Memetik laporan agensi berita Newspress, RS 6 Avant buatan Audi hanya mengambil masa 3.9 saat untuk memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j).
Jika kereta yang laju digelar supercar, maka layaknya RS 6 Avant digelar superwagon. Masakan tidak kerana enjin yang digunakannya bersesaran 4.0 liter V8 TFSI dengan turbo berkembar! Output kuasanya pula ialah 560PS dengan tork setinggi 700Nm.
Sememangnya RS 6 Avant bukan wagon untuk kaum ibu menghantar dan mengambil anak ke sekolah. Kelajuan maksimum standard model itu ialah 249.45 km/j.
Ia boleh ditingkatkan kepada 280 km/j melalui pilihan pakej Dynamic. Jika itu masih tidak memadai, pakej Dynamic plus membolehkan pemandu memecut sehingga 304 km/j.
Teknologi COD
Saya tidak pasti siapa yang akan berani memandu selaju itu dengan sebuah wagon. Pastinya ia suatu yang tidak terjangkau dek akal jika difikirkan fungsi asal sebuah wagon sebagai kenderaan yang praktikal.

RUANG kabin yang agak 'sibuk' dengan butang-butang kawalan.
Walaupun dengan kelajuan maksimum yang sangat tinggi, Audi masih lagi mementingkan ciri-ciri ekonomikal. Bagi mencapai matlamat tersebut, enjinnya dipasang teknologi Start/Stop dan pengurusan terma yang inovatif.
Namun, harus tahu bahawa penyumbang terbesar penggunaan minyak yang ekonomikal adalah teknologi cylinder on demand (COD). Pada kelajuan rendah, sistem tersebut akan menutup injap kemasukan dan ekzos pada silinder kedua, ketiga, kelima, dan kelapan.
Enjin 4.0 liter TFSI tersebut hanya menggunakan empat silinder. Baki empat lagi silinder akan diaktifkan semula apabila kereta dipandu laju. Dakwa Audi, penukaran silinder tersebut mengambil masa yang pantas. Proses itu tidak akan disedari oleh pemandu kecuali menerusi isyarat penukaran yang dipaparkan pada gugusan meter.
Bagi menampung kuasa yang tinggi, enjin superwagon itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan tipronic. Gear-gear rendah diaplikasikan untuk prestasi optimum.
Sementara gear tinggi iaitu kelapan pula untuk ’cruising’ yang lebih menjimatkan minyak. Demi memenuhi keperluan corak pemanduan yang pelbagai, pemandu boleh memilih tiga mode iaitu Drive, Sport dan Manual.
Bagi memastikan kawalan dan pengendalian yang sepadan dengan prestasi enjin, RS 6 Avant teknologi adaptive air suspension diaplikasikan.
Talaan tersebut menjadikan badan kereta 20 milimeter (mm) lebih rendah. Teknologi itu juga mengawal kesesuaian peredam (damping) berdasarkan permukaan jalan, corak pemanduan dan mode yang dipilih secara pintar.

ENJIN 4.0 liter V8 yang cukup berkuasa.
Tugas menghentikan superwagon itu diserahkan kepada brek cakera depan bersaiz 390mm bersama angkup enam omboh dengan warna pilihan hitam atau merah. Sebagai opsyen tambahan, pembeli boleh memesan cakera brek seramik gentian bersaiz 420mm berwarna kelabu (anthracite grey). Menutup arca roda ialah roda bersaiz 20 inci, selain rim opsyen bersaiz 21 inci.
Badan kenderaan memainkan peranan penting dalam pengendalian. Justeru, dianggarkan 20 peratus material badan RS 6 Avant diperbuat daripada aluminium. Sementara sejumlah besar komponen pula diperbuat daripada besi kekuatan tinggi.
Dengan penggunaan material ringan, jurutera Audi berjaya mengurangkan berat produk mereka itu kira-kira 100kg lebih ringan berbanding model sebelumnya. Kesannya, nisbah kuasa dan berat dapat menyumbang kepada prestasi, penjimatan dan kelincahan kenderaan.
Harga yang dianggarkan untuk sebuah RS 6 Avant ialah GBP 77,000 atau kira-kira RM379,000. Jika dibawa masuk ke pasaran tempatan, pasti harganya berlipat kali ganda. Sesuai dengan kuasanya yang berlipat kali ganda berbanding wagon biasa.
Baru-baru ini saya terserempak dengan RS 4 dan RS 6 lama, nampak bersahaja tetapi sebenarnya adalah musang yang menyamar sebagai biri-biri!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: