|
PENGENALAN dan kemasukan kenderaan jenama Hino di negara ini bermula seawal tahun 1973 menerusi pelantikan Sarawak Motors Industries Sdn. Bhd. (Sarawak Motors) sebagai pemegang francais. Pada ketika itu, entiti perniagaan tersebut terlibat dalam aktiviti pemasangan dan pemasaran produk Hino.
Empat tahun kemudian, satu usaha sama telah diadakan di antara Sarawak Motors dan dua syarikat Jepun untuk menubuhkan Hino Malaysia Sdn. Bhd. (Hino Malaysia). Syarikat yang dimaksudkan ialah Hino Motors Ltd. dan Toyo Menka Kaisha Ltd.
Untuk makluman, Hino Motors Ltd. ialah pengeluar kenderaan tertua di negara matahari terbit itu. Kini, ia merupakan antara syarikat peneraju segmen kenderaan diesel saiz sederhana dan tahan lasak di dunia. Jenama itu sudah bertapak di 140 pasaran antarabangsa.
Hino Malaysia memindahkan operasi pentadbiran ke Petaling Jaya, Selangor pada 1982 dan mula aktif melancarkan trak-trak, lori dan bas baharu. Kini, Hino merupakan peneraju dalam segmen kenderaan komersial di negara ini.
Saiz pasaran kenderaan komersial Malaysia agak kecil. Ia turut dikongsi oleh beberapa jenis kenderaan lain seperti pikap, van, trak, kenderaan berat dan bas. Apa yang pasti, kek pasaran terbesar didominasi oleh produk trak pikap.
Sejak kebelakangan ini, wujud satu trend yang mana pengeluar kenderaan komersial mula menyuntik elemen keselesaan ke dalam produk komersial mereka. Pendekatan itu dapat dilihat dengan jelas pada model-model pikap baharu.
Baru-baru ini, Hino Malaysia mengambil langkah sama apabila meletakkan aspek keselesaan dan keselamatan sebagai pembaharuan utama pada dua rangkaian produk trak keluarannya iaitu siri Hino 500 dan Hino 700.

TANAKA (kiri) bersama Pengarah
Eksekutif Hino Malaysia, Johnny Chan bergambar bersama varian kenderaan
berat naik taraf di Subang, Selangor baru-baru ini.
Hino 500
Pengarah Urusan Hino Motors, Nobuyuki Tanaka memberitahu kedua-dua rangkaian itu dilengkapi inovasi baharu. Ini sekali gus menunjukkan keazaman pihaknya untuk terus mengekalkan kedudukan dalam pasaran menerusi produk yang canggih.
Hino 500 merupakan trak 18 tan. Ia melibatkan tiga model iaitu GH1JRPA (trak kargo), GH1JLPD (lori jongket) dan GH1JMPA (trak penyendat).
Pembaharuan dilakukan membabitkan aplikasi sistem brek angin sepenuhnya, berbanding model sebelumnya yang mengguna pakai sistem brek angin hidraulik. Kelebihannya, ia membantu mengurangkan kos penyelenggaraan.
Tambahan lain melibatkan pemasangan brek letak kenderaan pada roda belakang untuk ketiga-tiga model. Sebelum ini, brek letak kenderaan pada transmisi aci keluaran (transmission output shaft) digunakan pada varian lama.
Model GH1JRPA ditambah dengan sistem brek antikunci (ABS). Teknologi itu membantu meningkatkan kestabilan trak apabila terpaksa membrek secara mengejut di jalan raya, lebih-lebih lagi dalam keadaan jalan basah.
Enjin yang digunakan pada rangkaian Hino 500 adalah jenis EURO 2. Hino Malaysia mendakwa ia membantu pihaknya mengekalkan legasi sebagai trak paling berkuasa dengan penggunaan bahan api yang efisien.
Hino 700
Bagi siri Hino 700 pula, kerja naik taraf melibatkan dua model iaitu SH1EERG dan SH1EERA. Piawaian industri khususnya aspek keselesaan dan keselamatan juga diberi penekanan kali ini.
Contohnya, model SH1EERG sudah dilengkapi sistem suspensi belakang jenis udara. Ciri itu penting untuk penghantaran kargo sensitif seperti petroleum dan barangan elektronik.
Selain itu, aspek keselesaan khususnya ruang kabin diberi perhatian oleh Hino Malaysia. Kabin jenis apungan penuh digunakan pada siri berkenaan supaya dapat mengurangkan keletihan pemanduan, selain berperanan membantu pemandu sentiada berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Ciri itu sememangnya penting bagi pemandu-pemandu trak kerana mereka lazimnya membuat penghantaran jarak jauh. Tambahan lain membabitkan pemasangan beg udara SRS pada stereng trak dan cermin pandang belakang yang boleh dikawal secara elektrik.

TANGKI minyak Hino 700 diperbuat daripada material aluminium.
Sama seperti Hino 500, keupayaan brek trak 55 tan itu ditingkatkan menerusi pemasangan sistem brek letak kenderaan pada setiap roda jentera berkenaan. Sebelum ini, sistem itu hanya melibatkan brek belakang sahaja.
"Hino Malaysia mahu berada di hadapan apabila mempromosikan keselamatan jalan raya. Ini adalah misi kami untuk menyokong inisiatif kempen keselamatan jalan raya oleh kerajaan.
"Sebelum menentukan tahap keselamatan tertinggi untuk jentera naik taraf kami, syarikat sebenarnya sudah melakukan pelbagai kaji selidik dan ujian melibatkan pengguna serta syarikat-syarikat pengangkutan terlebih dahulu. Saya percaya penanda aras untuk industri berjaya ditingkatkan," kata Tanaka.
Rancangan pengembangan Hino Malaysia seterusnya adalah untuk membuka kilang pengeluaran trak dan bas pertamanya di negara ini. Lokasinya sudah dikenal pasti iaitu di Sendayan, Negeri Sembilan. Keluasan kilang itu kira-kira 170,000 meter persegi.
Nilai pelaburan awal untuk fasiliti tersebut adalah sebanyak RM78.8 juta. Fasiliti itu dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2014 dengan kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada tahun hadapan. Kilang berkenaan berupaya menghasilkan sebanyak 10,000 unit kenderaan setahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: