|
|
DEMI anak, Nabil terpaksa membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen radio Suria FM biarpun sudah menerima tawaran daripada stesen radio itu sejak bulan Oktober yang lalu.
Menerima tawaran ‘lebat’ untuk membuat program televisyen daripada dua stesen iaitu Astro dan TV3, akui Nabil, dia tidak mampu untuk melakukan kedua-dua kerja serentak dan akhirnya melepaskan tugasnya sebagai penyampai radio. Dia memilih untuk memberi fokus kepada bidang lakonan dan pengacaraan bermula tahun depan.
Jelas Nabil, dengan keputusan yang dibuatnya itu, dia juga dapat meluangkan banyak masa untuk puterinya, Naira Mikayla selain keinginannya untuk lebih kerap muncul di kaca TV.
Kepada Kosmo! Nabil berkongsi pengalamannya sebagai bapa dan bercerita mengenai kerjayanya.
Bagaimanakah pengalaman pertama kali menjadi bapa?
Sangat teruja dan ia merupakan pengalaman baharu bagi saya. Sekarang, waktu sedang bekerja, saya ada perasaan mahu cepat balik ke rumah untuk jumpa dengan dia (Naira Mikayla). Bila mahu keluar kerja rasa berat hati sangat untuk tinggalkan dia.
Sudah mula melakukan tugas sebagai seorang bapa?
Sejak anak kami lahir beberapa minggu lalu, saya sudah beberapa kali tukar lampin, tetapi masih belum berani mandikan dia. Naira agak kerap juga terjaga pada waktu malam iaitu sebanyak lima atau enam kali. Jadi, setiap kali dia bangun saya akan bangun dan angkat untuk diberi kepada isteri saya, Zira. Zira tidak boleh banyak bergerak kerana luka pembedahannya masih baharu. Suami mithali tak saya?
Jika anda mendapat tawaran bekerja luar daripada Kuala Lumpur, adakah anda terima?
Buat masa ini saya tidak terima apa jua tawaran yang memerlukan saya keluar daripada Kuala Lumpur. Tunggulah sehingga isteri betul-betul sihat. Lagipun masih banyak lagi rawatan susulan yang perlu kami pergi.
Zira (isteri) berpantang di mana?
Zira pantang di rumah mak mertua saya di Klang. Saya kini berulang alik daripada Kuala Lumpur ke Klang.
Beralih pada soal kerjaya, kenapakah Nabil menolak tawaran untuk menyambung kontrak sebagai penyampai radio Suria FM?
Pada saya, komitmen sebagai penyampai radio sangat tinggi. Walaupun saya hanya ke udara selama empat jam untuk segmen Breakfast@Suria bersama Halim Othman serta Kencana Devi, tetapi banyak perkara lain yang perlu dibuat seperti merancang segmen sebelum ke udara atau menghadiri mesyuarat. Jadi saya perlu buat keputusan demi komitmen masa dengan keluarga dan muncul semula di kaca TV. Kebetulan juga saya dapat banyak peluang untuk terbabit dengan program TV.
|
|
Adakah pendapatan yang anda peroleh di kaca TV lebih lumayan berbanding di radio?
Bayaran dengan Suria FM sangat okey. Saya juga ada pendapatan setiap bulan, tetapi saya akui jika kerap muncul di TV, saya memperoleh pendapatan lebih banyak bergantung kepada jumlah tawaran.
Setakat ini, berapa banyak tawaran yang anda dapat untuk program TV?
Buat masa ini saya sudah terima 11 tawaran untuk program TV. Antaranya program Meletop, Kan Dah Kena Dah dan program bersama dengan Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Osom. Saya juga ada menerima tawaran untuk mengendalikan satu program bercorak permainan, tetapi masih belum diputuskan lagi. Dalam masa yang sama, saya juga menerima beberapa tawaran untuk telefilem.
Anda mendapat banyak tawaran daripada pihak Astro, bagaimana pula dengan tawaran sebagai penyampai radio Era?
Saya tidak akan ke stesen radio lain buat masa terdekat ini. Saya hanya ingin fokus pada program TV sahaja.
Apakah pengalaman yang anda peroleh selama menjadi penyampai radio Suria FM?
Apa yang saya dapat dengan Suria FM sangat berharga. Banyak perkara yang saya timba selama setahun bersama dengan mereka. Rakan-rakan di sana banyak mengajar saya cara berkomunikasi yang berkesan dan selok-belok sebagai penyampai radio. Memang sukar untuk buat keputusan tinggalkan Suria FM kerana saya perlu menjaga hati banyak pihak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: