|
|
MEMAKAI sut hitam dipadan kemeja ungu, seorang lelaki yang boleh dipanggil datuk melambaikan tangannya kepada peminat sewaktu berada di atas pentas. Sebaik beliau memetik piano mengalunkan lagu-lagu indah yang selama ini menjadi siulan, khalayak mula terlupa bahawa usia penyanyi antarabangsa Elton John sudah mencecah 65 tahun.
Staminanya masih tinggi, biar harus diakui kadang terlihat lelah. Namun ia disembunyikan di sebalik semangatnya untuk menghiburkan peminat setianya di Malaysia.
Ini bukan kunjungan kali pertama Elton ke Malaysia. Sebaliknya, beliau pernah menghiburkan peminatnya di sini pada tahun lalu. Tahun ini, beliau kembali dalam satu konsert yang diadakan di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang.
Kunjungan kali kedua penyanyi berkenaan ke negara ini adalah sempena dengan Konsert Elton John 40th Anniversary Of The Rocket Man yang berlangsung pada 29 November lalu.
Biarpun ada beberapa pihak yang tidak mengalu-alukan kehadiran penyanyi yang memperjuangkan perkahwinan sejenis itu, namun konsert pada malam tersebut berlangsung dengan lancar serta dihadiri 5,000 peminatnya.
Ternyata dengan kehadiran peminatnya yang cukup ramai, tidak hairanlah penyanyi yang turut terkenal sebagai pemain piano berkelas dunia itu masih berminat membuat persembahan di negara ini.
“Hello Malaysia, tidak sangka dalam tempoh setahun saya telah kembali semula untuk menghiburkan anda semua. Sudah tentu saya berasa teruja dapat menghiburkan peminat saya di sebuah negara yang sangat menarik.
“Bagi saya Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup hebat dan banyak pengalaman yang diperoleh semasa kunjungan saya kali pertama ke sini dahulu,” ujarnya sebelum memulakan persembahan.
Tepat pukul 8.30 malam, penyanyi yang memiliki nama sebenar Reginald Kenneth Dwight itu membuka acara dengan lagu berjudul The Bitch Is Back sehingga mendapat tepukan gemuruh peminat yang memang menantikan kemunculannya.
Kemudian persembahan diteruskan pula dengan lagu-lagu popular penyanyi itu seperti Bennie And The Jets, Grey Seal, Levon, Tiny Dancer, Believe, Tiny Dancer, Mona Lisa, Rocket Man, Honky Cat, Nikita dan Candle In The Wind.
Menariknya, kebanyakan lagu yang dipersembahkan adalah gabungan lagu-lagu menerusi album yang diterbitkan pada era 70-an, 90-an dan album yang terbaharu seperti Caribou (1974), Madman Across The Water (1971), Honky Chateau (1972), Made In England (1995) dan The Union (2010).
|
|
Bagaimanapun, terdapat sedikit kekecewaan apabila Elton tidak mempersembahkan beberapa buah lagunya yang sentiasa menjadi siulan peminat seperti Something About the Way You Look Tonight dan Sacrifice.
Masih bertenaga
Dalam persembahan yang berlangsung selama lebih dua jam itu, ternyata Elton yang sudah mencapai usia 65 tahun masih mampu lagi menyanyi sebanyak 24 buah lagu.
Biarpun sudah mula keletihan selepas menyampaikan lagu ke-12 yang berjudul Hey Ahab, namun penyanyi berkenaan dilihat masih terus bertenaga untuk menghiburkan peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan.
“Apa yang paling penting saya mahu anda semua terus terhibur dan dapat menikmati setiap lagu-lagu yang saya persembahkan pada malam ini," ujarnya.
Lebih menarik lagi, ketika menyampaikan dua buah lagu terakhir, Elton turut mengajak peminat untuk berdiri beramai-ramai di hadapan pentas sebelum menamatkan persembahan dengan lagu berjudul Your Song yang ditujukan khas kepada mereka yang hadir.
Selepas mengadakan konsert di Genting Highlands, Elton dijadualkan mengadakan persembahan seterusnya di Araneta Coliseum, Filipina pada 8 Disember ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: