|
FESTIVAL Fesyen Islam (IFF) yang dianjurkan pada 5 hingga 9 November lalu tidak hanya memberi kesan positif kepada peningkatan fesyen berteras Islamik tempatan. Ia juga menjadi medan kepada penganjur dan organisasi yang terlibat menjalankan kutipan amal untuk disumbangkan kepada tabung kemanusiaan Palestin.
Kira-kira RM150,000 berjaya dikumpul IFF bersama beberapa organisasi dan badan bukan kerajaan pada IFF Charity Brunch yang diadakan pada 7 November lepas. Acara itu merupakan slot istimewa minggu fesyen tersebut dalam mengumpul dana demi memberi sedikit keceriaan kepada rakyat Palestin.
Penaung dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah mewakili IFF menyerahkan sumbangan tersebut dalam bentuk replika cek kepada duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughosh di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Beramal merupakan antara elemen asas dalam IFF dan kami telah menjalankan tanggungjawab ini sejak dahulu. Tahun ini, IFF telah menetapkan Palestin sebagai penerima kutipan amal, sebelum krisis di Gaza tercetus.
"Kami percaya menerusi sumbangan ini dapat membantu mengurangkan penderitaan yang sedang dialami rakyat Palestin," ujar beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Rezza.
Rakan kerjasama IFF juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan seperti Persatuan Bencana Alam Kedah yang menyumbangkan RM20,000. Ia disampaikan oleh Toh Puan Bendahara Kedah, Datuk Noor Suzanna Abdullah.
YTL Corporation Berhad, The Zon Duty Free and The Zon Hotels dan Kelab Sukan Artis Malaysia pula masing-masing menyumbangkan RM10,000 manakala Kelab Mutiara Putrajaya memberikan sumbangan bernilai RM5,000
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: