Saturday, December 22, 2012
Menara Gajah kebanggaan Thailand
GAJAH sememangnya memainkan peranan penting dalam budaya dan sejarah masyarakat Thailand.
Sebagai haiwan darat terbesar di dunia, ia dianggap sebagai makhluk suci yang melambangkan kekuatan, kekuasaan dan kemegahan.
Gajah putih, misalnya, dianggap sebagai lambang diraja negara itu malah haiwan itu juga pernah digunakan sebagai simbol bendera dan mata wang Thailand suatu ketika dahulu.
Ketaksuban rakyat Thailand terhadap gajah juga membawa kepada pembinaan Elephant Tower yang terletak di pertemuan Paholyothin Road dan Ratchadaphisek Road iaitu di tengah-tengah Chatuchak, daerah komersial terulung di Bangkok.
Menjadi satu-satunya bangunan yang berbentuk seumpamanya di dunia, tidak hairanlah ia berjaya mencuri perhatian sesiapa sahaja dan kini menjadi salah satu mercu tanda di Bangkok.
Ia merupakan idea pemiliknya Arun Chaiseri, seorang ahli politik, jurutera dan jutawan hartanah dan pemilik syarikat kejuruteraan, Arun Chaiseri Consulting Engineers Company Ltd.
Bersama arkitek Ong-ard Satrabhandhu, Arun, lulusan kejuruteraan University of Illinois, Amerika Syarikat (AS) bergabung tenaga untuk menyiapkan Elephant Tower pada tahun 1997.
Gabungan kompleks
Elephant Tower merupakan gabungan kompleks pejabat, pusat beli-belah, kondominium mewah setinggi 32 tingkat. Ia turut mempunyai ruang parkir yang mampu memuatkan 1,200 kenderaan pada satu-satu masa.
Berbentuk kiub, binaan setinggi 102 meter itu menyerupai bentuk seekor gajah yang sedang berdiri. Bahagian telinganya dihasilkan daripada ruang balkoni kaca bertingkat berkeluasan 170 meter panjang dan 40 meter lebar manakala matanya pula merupakan sebuah tingkap besar.
Sementara itu, bahagian ekornya pula terdiri daripada bilik berkaca setinggi 20 tingkat yang kini menjadi ruang pejabat pengurusan bangunan.
Biarpun dianggap sinis pada awal pembinaannya, Elephant Tower pantas mengundang perhatian ramai pihak termasuk pelancong asing yang berkunjung ke negara itu.
Sementara ramai yang memuji keunikannya, tidak kurang juga yang mencela dan mengiktirafnya sebagai antara bangunan terburuk di dunia.
Bagaimanapun, Arun mempunyai alasannya yang tersendiri. Melalui pembinaannya, beliau mahu mendidik masyarakat Thailand untuk menyayangi gajah yang kini diancam kepupusan akibat penerokaan hutan, pembalakan dan pembunuhan haram.
Selaku pencinta haiwan itu, Arun turut mempunyai muzium yang menyimpan lebih 2,000 artifak dan objek yang berkaitan dengan gajah.
Pada 2011, CNNGo TV, rangkaian berita kabel (CNN Travel) menganugerahkan Elephant Tower tempat keempat daripada senarai 20 bangunan pencakar langit paling ikonik di dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: