Saturday, December 22, 2012

Spirometri kesan penyakit COPD

ANTARA contoh alat spirometer yang digunakan untuk mengesan pesakit COPD.


KIRA-KIRA 210 juta manusia di seluruh dunia sedang menderita penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) tetapi sebahagian besar daripada mereka langsung tidak mengetahui mereka sedang berdepan penyakit tersebut.
Contohnya, hanya tujuh peratus pesakit COPD di China didiagnosis manakala seorang daripada empat orang di Korea Selatan menjalankan ujian mengesan COPD.
Bagi seorang penghidap, Sairi Ajir, 68, dia mula mengalami kesukaran bernafas pada tahun 2001 sehingga tidak larat untuk melakukan aktiviti rutinnya.
Dahulu, lelaki yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu seorang perokok. Dia terpaksa berulang-alik ke hospital antara dua hingga tiga bulan sekali untuk mendapatkan bantuan pernafasan.
Profesor Perubatan, Universiti Malaya, Prof. Dr. Liam Chong Kin berkata, COPD ialah penyakit progresif yang membuatkan pesakit mengalami kesukaran bernafas.
COPD menjadikan aktiviti yang mudah seperti memakai baju, berjalan dan mandi sukar dilakukan. menghisap rokok merupakan faktor utama meningkatkan risiko menghidap COPD.
"Hanya 20 peratus pesakit COPD merupakan bukan perokok sepanjang hayat. Mereka dijangkiti atas faktor-faktor lain seperti pendedahan terhadap asap rokok.
"Menghirup udara persekitaran yang tercemar dengan asap kenderaan dan bekerja di tempat yang berhabuk serta dipenuhi bahan kimia juga mejadi antara puncanya," terang Chong Kin.
Hampir tiga juta orang mati setiap tahun di seluruh dunia disebabkan COPD lantas menjadikan ia penyakit nombor empat penyebab utama kematian.
Satu dalam 10 orang lelaki dewasa berumur 40 tahun dan ke atas mungkin menghidap COPD.
Pemeriksaan bagi mengesan COPD diperlukan apabila seseorang itu mengalami simptom-simptom seperti batuk pada tahap kronik, berkahak dan sedutan nafas yang pendek.
Seseorang itu harus cepat mendapatkan pemeriksaan pengesanan awal COPD apabila terdedah pada persekitaran yang meningkatkan risiko seperti keadaan tempat kerja, udara tercemar ataupun perokok.
"Pengesanan awal amat penting kerana dengan berhenti merokok dapat mengurangkan penurunan fungsi paru-paru," kata Chong Kin.
Senaman
Tindakan awal dengan memberikan rawatan yang efektif dapat meningkatkan status kesihatan seseorang.
Selain rawatan perubatan, penghidap akan dibimbing untuk meningkatkan toleransi tubuh dalam membuat senaman. Ia sekali gus dapat melegakan simptom seperti batuk serta sukar bernafas.
Selain itu, diagnosis awal dapat mengurangkan risiko seperti memperlahan perkembangan penyakit, mengelakkan atau mengubati sebarang komplikasi dan kematian.
Selepas Sairi didiagnosis menghidapi COPD melalui pengesanan awal yang hanya boleh disahkan dengan spirometri, dia mula mendapatkan rawatan sewajarnya. Hari ini, dia sudah mampu berjalan dengan mudah.
Klinik spirometri awam pertama di Malaysia terletak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Selayang.
"Spirometri penting untuk memudahkan pengesanan awal COPD sekali gus membolehkan mereka bertindak tepat pada masanya," kata Pakar Perunding Respiratori. Fakulti Perubatan, UiTM, Prof. Madya Dr. Tengku Saifudin Tengku Ismail.
Klinik itu dibuka pada hari Selasa dan Jumaat pagi kepada orang ramai dengan bayaran RM15 manakala kakitangan kerajaan boleh menjalani pemeriksaan secara percuma.
Ujian spirometri menggunakan spirometer iaitu sejenis alat yang digunakan untuk mengukur keberkesanan dan kepantasan paru-paru dapat dikosongkan.
Ia dapat menilai fungsi paru-paru kepada penghidap penyakit paru-paru obstruktif atau restriktif.
Ujiannya mudah, individu hanya menghela nafas pada corong yang bagi mengesan kelajuan pernafasan.
Bagi membezakan COPD dan asma, individu akan diberi alat sedut dan bacaan helaan nafas berikutnya diambil bagi melihat perbandingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: