Maria Tengku Sabri
Maria Tengku Sabri
Sebut sahaja Jalan-jalan Cari Makan (JJCM), pasti ramai yang akan mengaitkan program itu dengan selebriti Maria Tengku Sabri yang merupakan pengacara pertama program televisyen popular itu.
Biarpun pengacara bagi program tersebut sudah silih berganti, namun tidak dinafikan impak yang diberikan oleh Maria yang mengacarakan program tersebut untuk 12 musim sehingga kini masih segar dalam ingatan penonton setianya.
Mengakui rindu untuk kembali mengacara program itu, Maria kini menghasilkan buku keduanya Jalan-jalan Cari Makan Bersama Maria Tengku Sabri berkongsi informasi mengenai lokasi dan makanan istimewa sekitar  kawasan Lembah Klang.

“Semua orang tahu saya bekas pengacara program JJCM dan sehingga kini saya masih menjadi rujukan sesetengah pihak untuk memilih lokasi mencari menu popular.

“Jadi saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk berkongsi pengalaman dan informasi kepada orang ramai dengan menghasilkan buku yang mungkin akan memudahkan mereka untuk mencari destinasi yang menarik," katanya.

Maria berkata, isi kandungan buku keduanya itu berbeza daripada yang terdahulu di mana dia lebih fokus kepada lokasi dan keistimewaan menu di sekitar Lembah Klang.

“Buku pertama, saya keluarkan pada bulan puasa tahun lalu di mana ia mengandungi lokasi dan menu popular di seluruh negara khas untuk Ramadan.

“Manakala untuk buku kedua ini, saya berkongsi 385 lokasi menarik sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” jelasnya.

Pelancaran buku Jalan-jalan Cari Makan Bersama Maria Tengku Sabri turut dilancarkan dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ng Yen Yen, hari ini.

Rindu mengacara

Maria turut mengakui perasaan rindu dan mahu berkongsi informasi adalah pendorong utama buat dirinya terus menghasilkan buku tersebut.
“Saya ambil masa setahun untuk menyiapkannya. Walaupun sekarang saya sibuk dengan tugasan sebagai penerbit dan pengacara, namun saya masih teruja menghasilkan buku ini.
“Untuk menebus rasa rindu mengacara program JJCM, saya ambil inisiatif dan pengalaman yang ada menghasilkan buku ini,” katanya.
Apabila ditanya sama ada mahu kembali mengacara program tersebut, Maria dengan berbesar hati tidak mahu menolaknya.

"Jika diberi peluang, saya mahu kembali mengacarakan program itu, tetapi  bergantung kepada  syarikat," katanya yang tampil dengan filem Adik Manja pada 20 Disember ini.