SIAPA yang tidak kenal lagu hit kumpulan Spring
seperti Bourgeinvilla yang begitu popular suatu ketika dahulu dan
sehingga kini menjadi siulan peminatnya.
Sekitar awal 2000, kumpulan ini mula senyap dan akhirnya dikhabarkan berpecah dan membawa haluan masing-masing.
Namun, awal tahun lalu, Spring dikatakan sudah kembali ke industri seni
setelah hampir 10 tahun menyepi tetapi mereka tampil dengan ahli baru.
Pemain gitarnya, Zaha 'menghidupkan' kembali kumpulan itu dengan
penyanyi dan pemain muzik baru iaitu Kimi, Adeen, Mizal dan Faizal.
"Pada awalnya, saya dah tak berminat tetapi selepas berbincang dengan Kimi, saya merasa perjuangan Spring itu perlu diteruskan.
"Jadi saya ajak pemuzik-pemuzik yang saya rasa berpotensi untuk
bersama-sama saya meneruskan perjuangan ini," katanya kepada Sinar
Harian Online.
Ketika ditanya soal genre kumpulan ini, menurut Zaha, "sekarang ini
Spring lebih matang dan kami masih mengekalkan genre lama kerana konsep
Spring itu kami memang tak boleh lari kerana itu identiti Spring."
"Cuma, lebih ‘upgrade’ supaya muzik itu lebih sedap didengar kerana itu
saya agak cerewet juga dalam memilih pemuzik dan juga penyanyi,"
katanya.
Zaha berkata: "Apa yang saya ada sekarang inilah yang terbaik yang saya dapat kumpul."
Berdepan dengan cabaran penerimaan peminat berikutan vokalis baru
menggantikan tempat Ameng, Spring akui sukar untuk mengikis keadaan itu.
"Ya, memang (sukar). Senario industri muzik di negara kita bukan
seperti di negara Barat. Di negara Barat, kalau sebuah band itu sudah
mempunyai 'trademark', orang akan kenal daripada pemain drum ke pemain
gitar, tetapi di Malaysia, senarionya kalau sebuah band itu, orang akan
tekankan pada penyanyinya sahaja.
"Jadi, saya memang tak dapat nak elak perkara itu. Kenapa saya pilih
Kimi dalam banyak-banyak penyanyi yang saya dah lihat? Dia ada suara dia
tersendiri. Saya rasa suara dia itu sesuai untuk bawa lagu-lagu Spring
dalam satu bentuk yang lebih baru. Sebab manusia ini akan mahukan
sesuatu pembaharuan," jelasnya.
Spring sudah mengeluarkan single pertama mereka selepas kembali ke industri, 'Sinar Kelam' dengan harapan ia diterima peminat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: