Taktik menyamar warga asing
Anggota Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas warga asing.
SENAI - Tindakan anggota Imigresen menyamar menjadi warga asing yang berpura-pura hendak pulang ke negara asal akhirnya berjaya menjerat kegiatan penyeludupan tersebut di sebuah ladang, Kota Tinggi, di sini, awal pagi semalam.

Modus operandi yang digunakan adalah dengan menghubungi seorang tekong dan memaklumkan ingin pulang secara gelap ke negara asal.

Hasil perbincangan menerusi telefon itu, pembayaran RM300 dikenakan setiap seorang.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen yang juga Ketua Operasi, Abdul Razak Atan berkata, anggota penyamaran itu diambil dari Stesen Bas Larkin yang kemudiannya dibawa ke sebuah stesen minyak di Bandar Penawar oleh seorang lelaki warga asing menaiki sebuah kereta.

“Setibanya di situ, seorang lelaki tempatan menghantar anggota yang menyamar ini dengan menaiki sebuah kenderaan ke gerai buah berhampiran lalu mengarahkan membuat pembayaran seterusnya dibawa ke rumah transit di bandar terbabit.

“Dia (anggota menyamar) ditempatkan bersama 17 warga asing lain yang dipercayai ingin pulang ke negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2 pagi itu dilakukan sebaik mendapat kepastian bahawa penjaga di rumah transit terbabit tidur.

Menurutnya, anggota operasi terpaksa memanjat pagar berduri memandangkan pintu pagar berkunci.

"Keadaan menjadi kelam kabut apabila anggota operasi terpaksa melalui celah pokok rambutan yang dikawal kira-kira 10 ekor anjing berkeliaran.

"Dua lelaki warga asing menyedari kehadiran pegawai Imigresen melarikan diri ke arah semak dan gagal dikesan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, kebanyakan mereka sedang tidur keletihan.

"Terdapat beg yang sudah siap dibungkus dengan plastik hitam untuk mengelakkannya daripada basah semasa menaiki bot.

“Seramai 20 lelaki warga asing berusia 20 hingga 39 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Kesemua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka di bawa ke depoh tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.