Thursday, December 13, 2012

Komitmen menanam 'benteng' semula jadi


ANAK pokok bakau yang ditanam turut diikat pada pancang sokongan.


SEPATUTNYA acara penanaman pokok bakau di Pulau Burung, Pantai Cahaya, Port Dickson bermula sekitar pukul 8 pagi tetapi manusia hanya merancang, hujan lebat telah merencatkan program itu.
Hampir semua atur cara yang dirancang pada hari itu tidak dapat dianjur, malah program menanam pokok bakau juga sudah dibatalkan pada mulanya.
Barangkali oleh kerana niat dan usaha yang murni itu tidak mahu disia-siakan, hujan beransur reda seterusnya acara menanam pokok bakau dapat dilakukan lebih kurang tiga jam kemudiannya.
Tetamu kehormat pada acara yang dianjurkan oleh Landskap Malaysia (LM) itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah turut kembali ke lokasi untuk sama-sama menanam pokok yang menjadi benteng semula jadi itu.
Program yang bertemakan Hutan Kita itu merupakan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan disokong Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Umum mengetahui mengenai peri pentingnya tanaman bakau di tebing sungai terutamanya selepas kejadian tsunami pada tahun 2004.
Kesan daripada gesaan para cerdik pandai dan bencana alam itu maka, banyak pihak yang turun padang untuk cuba menyelamatkan alam sekitar dengan menanam pokok.
Berdepan ancaman
Pokok bakau merupakan pokok yang sukar untuk membesar kerana banyak ancaman dihadapi sepanjang proses ia tumbuh menjadi dewasa dan kuat.
Jika ditanam dengan menggunakan kaedah lama iaitu dengan cara mencucuk anak benih, kebarangkalian pokok yang dapat hidup adalah sebanyak 20 peratus.
Apabila air pasang, ombak akan membawa anak-anak benih pergi menjadi penyebab peratusan amat rendah.
Dalam program Hutan Kita, anak-anak pokok bakau yang sudah mencapai ketinggian lebih kurang 30 sentimeter ditanam.
Kemudian, anak pokok diikat pada pancang kayu dan dibiarkan sehingga betul-betul membesar pada saiz yang dirasakan sudah cukup kuat untuk berdiri sendiri tanpa sokongan.
“Namun, kaedah yang digunakan ini masih kecil peratusan untuk semuanya hidup dan membesar. Hanya 40 peratus yang mampu hidup dan matang,” kata Pengurus Besar LM, Othman Sulieman pada acara itu.
Terangnya, antara ancaman yang boleh ada walaupun anak pokok yang agak besar ditanam ialah teritip yang hidup melekat pada batang pokok bakau.
Selain itu, hutan bakau juga merupakan habitat pelbagai fauna dan antaranya monyet. Anak bakau atau pucuknya amat digemari oleh haiwan tersebut untuk dijadikan sebagai makanan sekali gus boleh mengurangkan kadar bilangan pokok yang boleh membesar.

PARA peserta yang menanam anak bakau berkejar dengan masa kerana bermula lewat.


Hutan pokok bakau bukan sahaja menjadi penahan ombak besar daripada menghakis gigi pantai tetapi ia juga boleh bertindak menjadi penapis semula jadi.
Sampah-sarap yang dibuang ke pantai boleh dikumpulkan di persekitaran pokok bakau apabila terperangkap pada celah-celah akarnya.
Disebabkan program tersebut bermula agak lewat, para sukeralawan yang terdiri daripada kakitangan OUM, LM, AEON, MPPD dan Sekretariat Malaysia Prihatin harus bertungkus-lumus mempercepatkan kerja sebelum air laut mula kembali pasang.
Pada acara tersebut, sebanyak 1,000 batang pokok bakau berjaya ditanam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: