Thursday, December 13, 2012

Kanak-kanak lebih selamat berinternet



KECANGGIHAN teknologi masa kini menyebabkan anak-anak kecil juga terkena tempiasnya. Buktinya mereka semakin celik teknologi maklumat (IT) dan pandai menggunakan alat-alat komunikasi yang ada.
Malah, situasi anak-anak melayari laman web melalui komputer riba, tablet atau telefon pintar boleh dilihat di mana-mana sahaja seperti pusat beli-belah, restoran makanan atau di tadika.
Bagaimanapun, kemudahan internet yang mudah dilayari tanpa sebarang batasan mampu memberi kesan negatif kepada perkembangan minda anak-anak. Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam menyediakan pendidikan siber terbaik buat si kecil.
Bagi ibu bapa yang tercari-cari laman sosial yang sesuai untuk anak-anak, wilby.tv atau The Universe of Wilby mungkin jawapan kepada pencarian anda.
Laman ini diasaskan oleh tiga warga Kanada, David Banford, Jimmy Bouchard dan Rejean Gauthier yang prihatin terhadap keselamatan penggunaan talian atas talian dalam kalangan kanak-kanak di serata dunia pada tahun 2010 melalui penubuhan Wilby Inc.
Ia juga merupakan khidmat sosial dalam talian antarabangsa bagi membantu kanak-kanak berusia seawal tiga tahun ke atas dan keluarga untuk berkembang dan membesar dengan sihat.
Apa yang pasti, The Universe of Wilby menyediakan pembangunan kendiri yang lebih berkesan melalui penggunaan internet sebagai medium yang menyeronokkan dan selamat bagi kanak-kanak.
Avatar sendiri
Pengarah Urusan Wilby Malaysia, Farzad Mojahedi berkata, wilby.tv menawarkan persekitaran positif, hiburan informatif dan berpendidikan bagi kanak-kanak di seluruh dunia.
“Berfungsi seperti laman Facebook, The Universe of Wilby direka khas dengan sokongan ibu bapa bagi memantau pergerakan anak-anak ketika melayari laman tersebut.

ZEN YI (kanan) teruja melayari laman sosial wilby.tv berama ayahnya, Seng Yap.


“Di sini, kanak-kanak yang mendaftar sebagai ahli boleh membuat avatar mereka sendiri, meluahkan perasaan, berkomunikasi, mempelajari bahasa baharu, menonton video dan bermain permainan yang disediakan.
“Secara tidak langsung, mereka dapat menambah ilmu pengetahuan dan seterusnya meningkatkan kecerdasan minda,” jelas Farzad merangkap Pengarah Urusan Happy Boat Sdn. Bhd., syarikat yang bertanggungjawab menguruskan operasi Wilby Malaysia sejak dua tahun lalu.
Permainan tersebut sudah pun digunakan sebagai medium pembelajaran di lebih 20,000 buah sekolah rendah di seluruh dunia.
Laman itu menawarkan animasi seorang budak lelaki, Wilby yang berusia 10 tahun bersama ular peliharaan yang dinamakan Sticky. Mereka akan berkongsi pengalaman hidup seorang kanak-kanak dan berinteraksi dengan ahli secara langsung di alam maya.
Berkomunikasi dengan ibu bapa
Sementara itu, Ketua Lembaga Pembangunan Perniagaan Wilby Malaysia, Ahmad Yazdi memberitahu, secara umum wilby.tv selamat digunakan bagi kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa atau guru yang dikenali sebagai supporter bertanggungjawab mencipta akaun anak mereka yang mahu menyertai dunia Wilby.
“Justeru, mereka akan memainkan peranan untuk memantau dan melihat perkembangan anak masing-masing di dalam talian. Di samping itu, tidak ada ahli dewasa lain, selain supporter utama yang dapat berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut.
“Kesimpulannya, kanak-kanak tidak akan berhubung dengan mana-mana individu yang tidak dikenali sekali gus mengurangkan risiko culik dan terbatas dengan penggunaan bahasa lucah atau maklumat yang tidak sepatutnya,” kata Ahmad sambil menambah bahawa segala maklumat akan disemak, disunting dan diluluskan oleh pihak Wilby Inc. sebelum disiarkan.
Selain itu, wilby.tv telah mencipta satu alternatif bagi menyelesaikan masalah apabila kanak-kanak tidak gemar berkongsi perasaan dengan ibu bapa.
“Sebenarnya, ibu atau bapa yang berperanan sebagai penyokong utama akan menjawab semua mesej anak mereka dalam watak sebagai Wilby tanpa diketahui anak mereka. Maka, dengan cara ini ibu bapa akan lebih tahu kehendak dan perasaan anak mereka dengan lebih mudah,” ungkap Ahmad lagi.

REKA bentuk laman ini yang kemas dan teratur memudahkan kanak-kanak untuk melayarinya.


Bagi Chu Seng Yap pula, sebagai bapa dia mahu memastikan anak lelakinya, Chu Zen Yi, 3, mendapat didikan yang sewajarnya sejak kecil. Oleh itu, kewujudan wilby.tv sangat berguna buat mereka.
“Saya mula mengenali wilby.tv sejak dua bulan lalu melalui satu laman web. Sejak itu, saya terus mendaftarkan Zen Yi sebagai ahli kerana dia gemar bermain permainan di internet.
“Ternyata laman ini amat berguna dan berjaya menarik perhatian Zen Yi untuk melayarinya setiap hari terutama selepas saya pulang dari kerja. Apa yang membuatkan saya gembira, dia akan mengikut contoh baik yang ditunjukkan oleh watak Wilby dalam video yang ditonton.
“Antaranya tidak membazir, menghormati ibu bapa dan berjimat-cermat,” tutur Chu Seng, 28, yang bertugas sebagai pengarah pemasaran di sebuah syarikat swasta di Kepong, Selangor.
Tambahnya, dia turut mempromosi wilby.tv kepada sepupu dan rakan-rakan yang mempunyai anak kecil agar tidak ketinggalan untuk menyertai laman berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: