Sunday, December 2, 2012

Juraidah takut lauk kenduri basi

JURAIDAH sudah terlibat dalam perniagaan katering selama 15 tahun.


RAUT wajah pemilik Ndah Catering & Wedding Planner, Juraidah Asmoni, 40, atau lebih dikenali sebagai Ndah nampak lain daripada biasa kerana mengenakan mekap untuk sesi fotografi di pejabatnya di Shah Alam, Selangor.
Awal-awal lagi dia sudah mengingatkan kru Jurnal supaya tidak mentertawakannya. Apatah lagi dia mengenakan baju korporat berwarna merah dan hitam, memang lain benar penampilannya.
"Inilah kali pertama saya mengenakan mekap selepas sekian lama tidak menggunakannya. Sebab itulah saya nampak lain sedikit daripada hari-hari biasa. Sebenarnya saya jarang bersolek dan lebih gemar keluar dengan wajah semula jadi tanpa mekap tebal.
Sagu gula melaka
"Kerjaya sebagai seorang tauke katering tidak memerlukan saya bergaya secara berlebihan memandangkan banyak tugas dilakukan di dapur," ujarnya sambil mengakui dia seorang yang sensitif dan mudah tersentuh.
Setiap orang pasti mempunyai makanan kegemaran, begitu juga Ndah. Ibu kepada empat orang anak ini sukakan manisan pencuci mulut yang dihidangkan selepas makan.
"Saya amat menggemari manisan sagu gula melaka. Arwah ayah saya, Asmoni Uter, selalu membuat manisan ini untuk kami adik-beradik. Tidak sangka pula, makanan yang dahulu hanya boleh diperoleh di kampung kini menjadi menu pencuci mulut di hotel-hotel.
"Setiap kali melihat hidangan itu saya akan teringat kepada arwah ayah. Ia satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila," jelasnya yang turut menggemari masakan ikan keli goreng berlada hasil air tangan ibunya, Bidah Mat Yasin, 84.

DEWAN SHAH ALAM menjadi pusat operasi Ndah Catering & Wedding Planner.


Bercerita lanjut mengenai perniagaan yang bermula pada tahun 1997 itu, Ndah memberitahu, situasi perniagaan katering pada masa ini berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. Perkhidmatan itu dilihat sebagai satu keperluan berikutan permintaan pelanggan terutama di bandar yang lebih gemar menyerahkan tugas menjamu tetamu mereka kepada pihak katering.
"Namun, tidak dinafikan sesetengah orang Melayu masih berpegang kepada amalan tradisi khususnya rewang untuk majlis utama seperti kenduri kahwin.
"Ada juga pihak katering yang menawarkan harga rendah yang tidak munasabah yang menyebabkan mereka gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan. Mereka lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti. Akibatnya, syarikat katering lain menerima tempiasnya," beritahu beliau.
Petua
Peristiwa lauk kenduri menjadi basi seperti yang terjadi di Pulau Pinang baru-baru ini sememangnya menjadi kebimbangan bagi setiap katerer.
"Alhamdulillah setakat ini, saya tidak pernah berdepan kejadian seperti itu. Sekiranya perkara itu berlaku, katerer perlulah berbincang dengan tuan rumah untuk mengambil tindakan yang sepatutnya seperti menukar lauk yang basi itu dengan yang baharu.
"Sebagai katerer, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan segalanya berjalan lancar," jelasnya.
Mengulas lanjut, Juraidah memberitahu, untuk mengelakkan lauk kenduri menjadi basi, seelok-eloknya ia dibiarkan sejuk selama satu jam selepas dimasak.
"Periuk itu pula mestilah diletakkan di atas alas kayu. Jangan terus letakkan periuk di lantai kerana tindakan itu boleh menyebabkan lauk cepat basi. Selain itu, renggangkan sedikit penutup periuk agar wap panasnya keluar.
"Sebab lain lauk menjadi basi ialah ia tidak betul-betul masak dan tidak dibiarkan sejuk terlebih dulu," tambahnya sambil memberitahu, ada antara rakan kateringnya yang pernah mengalami situasi sebegitu.
Walaupun terpaksa berdepan dengan kerenah orang yang pelbagai ragam, Ndah percaya kesabaran dalam melayani pelanggan pasti berbalas dengan keyakinan dan kepercayaan daripada mereka.
"Saya pernah diherdik dan dimarahi sesuka hati oleh pelanggan tetapi setiap ketidakpuasan hati mereka akan cuba diperbaiki walaupun ada ketikanya saya seakan-akan hilang semangat mendengar kata-kata mereka.

PERISTIWA lauk kenduri basi sebelum habis majlis sering dibimbangi tauke katering.


"Tetapi apabila mengenangkan anak-anak, saya buang jauh-jauh perasaan itu. Sebenarnya pelanggan cerewet juga bersebab," katanya yang pernah menguruskan majlis perkahwinan lapan orang dalam satu keluarga pada tarikh yang berlainan.
Ndah yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor berkata, ucapan terima kasih daripada pelanggan sudah cukup membuatkan dia berasa gembira apabila kerjanya dihargai.
"Pekerja pula merupakan tulang belakang kepada sesebuah perniagaan. Saya tidak dapat lakukan semua kerja seorang diri.
"Justeru saya menjalin hubungan baik dengan pekerja termasuk melakukan aktiviti bersama seperti menonton wayang dan berkelah. Saya juga selalu belanja mereka makan setiap kali selepas habis sesuatu majlis.
"Seringkali saya ingatkan mereka supaya fokus apabila bertugas. Ada masa kita bergurau, tetapi apabila masuk bab kerja, kita mestilah buat dengan sepenuh hati," tuturnya.
Tambah Ndah, perniagaan sudah menjadi darah dagingnya kerana keluarganya pernah menguruskan perniagaan kedai runcit. Ndah sendiri membuka sebuah taman asuhan kanak-kanak pada tahun 1986 yang kemudian ditutup selepas 11 tahun beroperasi.
"Selain itu, saya juga berhasrat untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang ingin membuka perniagaan katering mengenai asas bidang ini daripada menyukat bahan mentah sehinggalah proses memasak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: