Sunday, December 2, 2012

Wajah tampan jadi herot



BIARPUN tidak mengalami palsi Bell yang serius, Tawfiq berusaha untuk pulih agar penyakit itu tidak mengganggu kerjayanya.



BERTUGAS sebagai seorang pembaca berita bukan sahaja memerlukan Tawfiq Isa mengawal intonasi suara, bahkan penting untuk dia bermain dengan mimik wajah.
Namun, insiden diserang penyakit palsi Bell saat ke udara untuk siaran berita saluran Bernama TV baru-baru ini memberi tamparan buat Tawfiq.
Dia yang memulakan tugas pada pukul 12 tengah malam tidak pernah mendapat isyarat mengenai serangan tersebut sehinggalah sebelah mukanya berasa kebas ketika siaran langsung itu masih berbaki 15 minit.
“Sebelum membaca berita saya tidak berasa apa-apa kelainan pada wajah melainkan badan seperti sedikit panas dan tidak selesa. Tetapi apabila sampai di pertengahan siaran, bahagian tengkuk di belakang cuping telinga kiri saya berdenyut-denyut.
“Seterusnya bahagian kiri wajah menjadi kejang dan kebas. Keadaan itu mengganggu pertuturan saya. Banyak perkataan yang terpaksa diulang kerana kerap tersasul.
“Mujurlah saya dapat mengawal situasi itu walaupun sedikit sukar,” tutur jejaka berumur 26 tahun ini.
Pita pelekat
Bagaimanapun, kejadian itu tidak disedari penonton dan kru di studio berita stesen berkenaan kerana serangan itu tidak kuat.
Tawfiq sendiri sekadar menganggap hal tersebut sebagai perkara biasa sehinggalah pada keesokan harinya apabila beliau mengesan simptom lain.
“Air mata saya tidak henti keluar kerana mata tidak dapat ditutup rapat. Deria rasa saya juga terjejas apabila ayam goreng kegemaran saya tidak lagi berasa sedap.
“Untuk tidur pun saya terpaksa memasang pita pelekat pada sebelah mata agar kelopak dapat dikatup rapat. Simptom itu berlaku pada bahagian kiri muka sahaja, seolah-olah lumpuh separuh wajah,” katanya yang tidak mempunyai sejarah penyakit lain selain sinus.
Berjumpa doktor atas nasihat rakan-rakan menjadi tindakan pertama Tawfiq selepas menyedari kelainan tersebut.
Beliau dibekalkan sejenis ubat steroid yang perlu diambil dalam dos enam biji sehari.
Selain pengambilan ubat-ubatan, Tawfiq turut melakukan kajian di internet mengenai masalah itu terutamanya tentang kaedah rawatan sementelah beliau dinasihatkan doktor agar melakukan senaman wajah.
“Doktor menasihatkan saya supaya melakukan senaman dan urutan lembut pada wajah. Saya mempelajari teknik tersebut menerusi laman YouTube.

MASALAH wajah herot sebelah boleh pulih dalam tempoh beberapa minggu.


“Kaedah sebegitu mampu membantu pesakit palsi Bell agar cepat pulih. Selepas lebih seminggu mengambil ubat di samping melakukan senaman wajah, keadaan saya semakin baik,” kata Tawfiq.
Simptom yang menyerang Tawfiq turut menimpa seorang wartawan saluran WIS TV di Columbia, Amerika Syarikat (AS), Mary King, 25.
Sebelah wajah Mary menjadi herot ketika beliau berada dalam sebuah pesawat yang menuju ke Baltimore, AS.
“Sebelah kanan wajah menjadi kaku, mata kanan tidak boleh berkelip dan mulut sebelah kanan tidak boleh dirapatkan. Ia begitu merisaukan kerana pekerjaan saya memerlukan saya berada di hadapan kamera.
“Selepas 15 hari diserang masalah wajah herot barulah saya boleh tersenyum semula. Nasib baik masalah itu tidak kekal,” katanya.
Bukan strok
Pengarah Unit Neuro-Rawatan Rapi Hospital Universiti Emory Midtown di Atlanta, AS, Dr. Wendy Wright, berkata penyakit itu berbeza berbanding serangan strok yang lebih menunjukkan simptom pada tubuh.
“Strok menyebabkan rasa kebas dan lumpuh pada kaki dan tangan. Berbeza dengan palsi Bell yang menyerang sebelah wajah. Tetapi penyebab masalah ini masih tidak diketahui.
“Saya akan menyuruh pesakit menggerakkan keningnya untuk mengesan masalah itu. Mereka yang menghidap strok selalunya akan mempunyai sedikit kedutan pada dahi,” ujar Wendy.
Menurut pakar saraf di Hospital Pertamina, Jakarta, Indonesia, Dr. Iwan Budianto, penyakit yang pernah menyerang pengarah dan pelakon George Clooney itu tidak melibatkan bahagian otak dan sekadar masalah saraf wajah.
“Saraf wajah berpecah pada kelenjar parotid yang membentuk beribu-ribu cabang gentian saraf. Saraf itu semakin kecil pada wajah, leher, kelenjar air liur dan kelenjar air mata. Sebanyak 60 peratus saraf itu terletak pada lidah dan telinga. Apabila berlaku kegagalan saraf, ia akan menyebabkan palsi Bell.
“Masalah itu tidak kekal untuk seumur hidup kerana boleh pulih dalam masa beberapa minggu atau bulan. Ia menyebabkan lumpuh sementara pada sebelah wajah. Dalam keadaan yang lebih teruk, ia juga boleh menyerang di kedua-dua belah,” kata Iwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: