Sunday, December 2, 2012

'Bukan saya tabur paku'

ZULKHAIRI berhasrat memiliki bengkel motosikal pada masa hadapan.


BEBERAPA keping tiub motosikal yang masih baharu sudah siap disusun di dalam kotak simpanan di belakang motosikal. Di situ juga tersisip kemas sebuah pam angin kaki bersaiz kecil. Kemudian, dia meletakkan pula kotak spanar ke dalam raga hadapan.
Tiub, spanar dan pam angin merupakan ‘modal’ Zulkhairi Shuib, 32, untuk mencari rezeki sejak 15 tahun yang lalu.
“Pendapatan saya tidak menentu. Kalau ada pemilik yang mahukan saya menukar tiub motosikal mereka yang bocor, barulah ada wang yang masuk. Kalau tidak, meloponglah jawabnya,” ujar mekanik jalanan yang suka berseloroh ini.
Zulkhairi yang berasal dari Bagan Serai, Perak, menjadikan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur sebagai ‘wilayah’ rezekinya.
Berbekalkan sebuah motosikal Honda model C70, lelaki ini sanggup bekerja siang dan malam demi menyara isteri dan dua orang anaknya.
Gaji mekanik jalanan tidaklah besar, kata Zulkhairi yang sekadar menamatkan persekolahan sehingga tingkatan tiga.
“Saya perlu bersaing dengan mekanik bermotosikal lain yang bekerja secara separuh masa.
“Dahulu pendapatan bulanan saya kadangkala mencecah RM2,500 tetapi sekarang sekitar RM1,500 sahaja,” katanya yang turut menawarkan khidmat menampal tayar tanpa tiub yang bocor.
Di sebalik pelbagai cerita negatif mekanik jalanan termasuk perbuatan mereka yang didakwa akan menabur paku di jalan bagi mendapatkan pelanggan, Zulkhairi berkata dia belum tergamak melakukan tindakan itu.
“Saya mencari rezeki yang halal. Saya percaya wang yang diperoleh dengan cara menganiaya orang lain tidak akan berkat,” ujarnya.
Emosi
Banyak liku hidup telah ditempuh Zulkhairi sepanjang bergelumang dengan pekerjaan itu.
“Dua tahun lalu saya pernah ditumbuk dan ditolak hingga jatuh ke dalam longkang oleh seorang pemilik motosikal hanya kerana saya bertanyakan sama ada dia ingin menukar tiubnya yang bocor.
“Entah mengapa, lelaki itu tiba-tiba menjadi emosi dan bertindak secara fizikal terhadap saya. Dia mungkin menyangka saya yang menjadi punca tayar motosikalnya bocor,” katanya.
Pada tahun yang sama, Zulkhairi nyaris dirompak oleh tiga lelaki di lorong motosikal berhampiran Muzium Negara.
Pada mulanya seorang lelaki menelefon meminta Zulkhairi menukarkan tiub motosikalnya yang bocor.
Mengenangkan tempat yang dimaksudkan lelaki itu gelap dan sunyi, Zulkhairi mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya meninjau tempat itu dari jalan bertentangan. Rupa-rupanya ada dua individu lain yang bersembunyi. Walaupun dalam samar cahaya lampu, saya masih boleh lihat mereka memegang sesuatu seperti pisau, mungkin mereka ada niat untuk merompak saya,” katanya.
Pernah juga ada pelanggan yang tidak membayar kos membaiki motosikal mereka dengan alasan tiada wang.


ZULKHAIRI pernah bekerja selama 18 jam sehari sehingga menyebabkan dia demam teruk selama seminggu.


Ganja
“Mereka cuma memberikan nombor telefon bimbit tetapi apabila dihubungi kemudian, nombor itu tiada dalam perkhidmatan,” ujarnya yang mengenakan bayaran RM15 untuk menukar satu tiub motosikal.
Zulkhairi turut dimaki kerana menampal pelekat kertas yang mengandungi nombor telefon bimbitnya di stesen minyak.
“Bermacam-macam kata-kata kesat dihamburkan kepada saya. Mereka turut meminta saya membuang pelekat kertas itu pada awal pagi. Tetapi bagi saya itulah adat pekerjaan ini,” tutur Zulkhairi.
Sebelum terlibat dalam kerjaya ini, Zulkhairi mempunyai sisi gelap kehidupannya. Dia terlibat dalam gejala pelesit rempit bahkan menghisap ganja.
“Biasalah jiwa muda, semua ingin dicuba. Pada masa itu, saya menunggang Yamaha RXZ, jadi memang mudah menjadi sasaran polis. Tetapi saya hanya bertaruh wang bukannya perempuan jika menang perlumbaan,” ujarnya.
Berkawan dengan ramai pelesit rempit menjadi detik awal dia menghisap ganja.
“Saya hisap ganja kerana ikut kawan-kawan kononnya untuk menghilangkan rasa mengantuk. Malangnya, saya ditahan dalam satu sekatan jalan raya dan gagal dalam ujian air kencing.
“Akhirnya, saya dihantar ke sebuah pusat pemulihan di Raub, Pahang,” ceritanya.
Disebabkan dia berkelakuan baik, tempoh rawatan pemulihan yang sepatutnya dua tahun itu dikurangkan kepada setahun sahaja.
“Selepas peristiwa itu saya menyesal lebih-lebih lagi apabila orang kampung memandang rendah kepada saya. Ibu bapa pula berasa sedih kerana tidak menyangka anak mereka mengambil dadah.
“Ia sememangnya memeritkan. Saya nekad untuk tidak melakukan perkara yang ditegah agama lagi,” jelasnya.
Apa yang menarik mengenai lelaki ini ialah dia tidak memiliki akaun simpanan dan kad bank sepanjang hayatnya.
Katanya, wang lebih mudah untuk digunakan jika disimpan di rumah sahaja.
“Senang nak pusing modal berniaga selain membeli barangan keperluan rumah. Namun, isteri dan anak-anak ada akaun simpanan sendiri,” beritahu Zulkhairi.
Dia berkahwin pada umur 21 tahun tanpa sebarang dulang hantaran dan pelamin. Kenduri kahwinnya cuma diadakan secara kecil-kecilan di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.
“Bernikah itu wajib bagi mengelakkan maksiat. Mengapa perlu berbelanja besar kalau akan menyusahkan hidup kelak,” katanya yang bersyukur dapat membeli sebuah kereta Perodua terpakai berharga RM5,000 hasil wang yang disimpan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: