Saturday, December 1, 2012
Inap ideal saat kenali Melaka
SETIAP kali hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah, Melaka sering menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Seolah-olah sudah menjadi kelaziman, pengunjung yang datang ke negeri itu pasti singgah ke sekitar kawasan Bandar Hilir yang terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan.
Di samping tinggalan sejarah silamnya seperti Kota A' Famosa, makam Hang Jebat, bangunan Stadhuys dan Bukit St. Paul, ia juga terkenal dengan beberapa tarikan baharu seperti Jongker Walk, Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari serta River Cruise.
Bagi yang tidak sempat meneroka kepelbagaian produk pelancongan dalam tempoh lawatan sehari, usah risau kerana terdapat banyak hotel bertaraf tiga hingga lima bintang yang boleh dijadikan pilihan.
Wajah baharu
Salah satunya ialah Hotel Seri Costa yang terletak di Plaza Mahkota di sini.
Mula beroperasi kira-kira 12 tahun lalu, hotel itu kini berwajah baharu selepas diambil alih oleh Felda Travel Sdn. Bhd. awal tahun ini.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam lobi hotel berkonsep kontemporari itu, pengunjung pasti terpesona dengan penampilan ringkas yang ditunjukkan.
Kehadiran kakitangan yang sentiasa peramah dan murah dengan murah dengan senyuman membuatkan sesiapa sahaja tidak sabar untuk menginap.
Bertaraf tiga bintang, ia menawarkan 147 unit bilik secara keseluruhan. Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan iaitu Standard, Superior, Deluxe, Executive, Costa, Family dan Executive Suite.
Bagi yang datang sendirian atau berpasangan, bilik Standard, Superior atau Deluxe mungkin sudah memadai. Namun, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai juga masih boleh berasa selesa kerana terdapat pilihan bilik-bilik Family yang memuatkan tiga hingga enam orang.
Setiap bilik dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, televisyen satelit, telefon, peti ais mini, kemudahan membuat kopi dan teh serta pengering rambut.
Suite berjakuzi
Jika mahu layanan bak seorang raja, bolehlah menginap di salah sebuah daripada dua Executive Suite yang disediakan. Harganya bermula dari RM662 (hari biasa) hingga RM692 (hujung minggu) semalam.
Sesuai dengan harganya, tetamu dipersembahkan dengan rekaan dan dekorasi yang cukup mempesona.
Ruang bilik yang luas memberi lebih keselesaan kepada tetamu yang menghuni. Lebih menarik, ia turut mempunyai dilengkapi jakuzi peribadi dan sebuah televisyen LCD bersaiz 42 inci.
Bagi pengunjung yang ingin menjamu selera, terdapat The Straits Cafe di tingkat bawah hotel ini yang boleh mengisi kira-kira 150 orang pada satu-satu masa.
Dibuka dari 7 pagi hingga 11 malam, ia menawarkan pelbagai pilihan hidangan sama ada ala carte dan bufet bercirikan cita rasa antarabangsa dan Asia.
Selain untuk menginap, Hotel Seri Costa juga sesuai untuk penganjuran acara seminar, majlis korporat dan mesyuarat.
Dewan utamanya, Hang Tuah, mampu memuatkan kira-kira 180 hingga 220 orang dan lengkap dengan kemudahan audio dan visual. Dewan itu sering menjadi pilihan acara keramaian seperti makan malam atau majlis perkahwinan berskala sederhana.
Sementara itu, untuk acara seminar dan mesyuarat pula, terdapat tiga bilik disediakan iaitu Parameswara 1, Parameswara 2 dan Kasturi yang mampu memuatkan 25 hingga 120 orang.
Bagi pengunjung yang ingin memanjakan diri, boleh mendapatkan rawatan kecantikan dan kesihatan di Costa Spa yang disediakan di hotel ini.
Berkonsepkan spa Bali, temu janji rawatan di situ pasti berbaloi apatah lagi selepas seharian berjalan dan melakukan aktiviti di luar hotel.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: