Saturday, December 1, 2012
Bak bulan madu perkahwinan
PERCUTIAN penulis ke Bali, Indonesia pada 6 hingga 9 September lalu bersama suami tercinta, Eric Yap Chee Meng, 30, seumpama menikmati bulan madu perkahwinan.
Sebelum itu, berbulan-bulan kami merancang percutian tersebut dan pada hari berkenaan perasaan teruja untuk menjejak bumi Bali sememangnya tidak dapat dinafikan.
Pesawat kami mendarat di Lapangan Antarabangsa Bali Ngurah Rai Denpasar kira-kira pukul 3.40 petang. Kemudian, kami dibawa ke Hotel Berry, iaitu hotel tiga bintang moden dan terletak di Kuta.
Di hotel, kami sangat berpuas hati dengan bilik yang diberikan. Ini kerana, semasa kami membuat tempahan melalui laman web groupon.com, ia adalah bilik standard. Namun, ia telah ditukarkan dengan bilik yang lebih cantik, besar dan pemandangan menghadap kolam renang.
Rupa-rupanya, bilik kami telah dinaik taraf ke Bilik Suite (Berry Suite Room), iaitu kategori bilik yang paling tinggi di hotel tersebut.
Setelah berehat sebentar di bilik, kami telah menghubungi pemandu (yang dikenali melalui seorang kawan di Malaysia) iaitu Miko Saputra untuk berbincang mengenai program selama dua hari di Bali.
Miko telah mencadangkan banyak tempat dengan kadar upah yang dikenakannya adalah sebanyak RM100 (Rupiah 350,000) sehari. Perjalanan kami adalah dengan menaiki kenderaan Toyota Innova.
Watak bertopeng
Keesokan harinya, selepas sarapan pagi di hotel, Miko telah menyambut kami kira-kira pukul 8.30 pagi. Lokasi pertama adalah menyaksikan persembahan Tarian Barong. Dalam perjalanan itu, Miko banyak bercerita tentang Bali termasuk sejarahnya.
Tiket untuk menyaksikan persembahan tersebut adalah sebanyak RM30 dan ketika sampai kami dapati penonton telah memenuhi dewan tersebut.
Setiap watak memakai topeng dan kostum tertentu. Persembahan tersebut amat menarik dan watak-watak di atas pentas menggambarkan satu sejarah. Persembahan yang mencuit hati kami itu memakan masa selama sejam.
Selepas puas melihat persembahan itu, kami mengambil keputusan untuk singgah di Rumah Batik. Kesempatan itu, saya gunakan untuk membeli beg dan pakaian yang menggunakan fabrik tradisi kebanggaan negara itu.
Kami juga sempat mendekati pekerja yang juga penduduk tempatan di kedai tersebut memproses batik termasuk mencelup warna dan mencanting.
Miko kemudiannya membawa kami ke tempat pembuatan produk berasaskan perak. Di situ kami melihat pekerja-pekerja sedang membuat anting-anting dan rantai perak.
Walaupun tidak membuat sebarang pembelian, kami terpesona dengan layanan mesra pekerja di kedai tersebut hingga sanggup melayan kami sehingga ke pintu kereta.
Lokasi seterusnya ialah Galeri Seni. Di situ, kami disambut pameran lukisan yang sangat cantik dan mempunyai makna-makna tertentu. Ada juga lukisan yang menggambarkan suasana di Bali seperti pemandangan di sawah padi.
Gunung berapi
Setelah puas melihat hasil seni tempatan, kami bergerak pula ke Gunung Batur, Kintamani. Perjalanan tersebut memakan masa selama sejam.
Apabila sampai di kawasan gunung, kami amat terpesona dengan panorama yang sungguh cantik. Dari jauh, kami dapat melihat gunung berapi yang pernah meletus sebelum ini.
Dengan bayaran RM30 seorang, kami dibawa menikmati hidangan makanan tengah hari secara bufet di kawasan tersebut.
Sambil makan, kami tidak melepaskan peluang untuk mengagumi pemandangan Gunung Batur, iaitu gunung berapi yang masih aktif serta tasik yang terbentuk di sekitar gunung tersebut.
Kopi luwak
Dalam perjalanan balik ke hotel, kami singgah di kedai menjual kopi. Kami juga dapat melihat cara-cara mereka menghasilkan kopi.
Kami juga telah mencuba kopi yang sangat istimewa iaitu kopi luwak yang berharga RM16 secawan. Ia diberikan secara pakej iaitu lengkap dengan sembilan lagi jenis kopi atau teh.
Menikmati hidangan kopi yang lazat membuatkan tenaga kami kembali pulih sekali gus bersemangat untuk meneruskan perjalanan bagi melawat kuil.
Oleh kerana, memakai seluar pendek, penulis perlu memakai kain yang dibekalkan sebelum boleh memasuki kawasan suci itu.
Kuil tersebut sangat cantik dan penuh dengan sejarah. Ada juga pengunjung yang bersembahyang di dalam kuil sambil berdoa selain turun ke kolam untuk mandi.
Kolam tersebut dikatakan amat suci di kalangan penganut Hindu dan sangat sesuai untuk orang yang ingin meminta hajat atau memohon doa.
Urut badan
Sepanjang hari berjalan, Miko mencadangkan kami supaya mengunjungi spa.
Oleh itu, kami dibawa ke Abian Spa yang terletak di kota Bali. Dengan harga lebih kurang RM160 seorang selama tiga jam, kami diurut seluruh badan, mandi bunga dan lain-lain. Bukan itu sahaja, kami turut dihidangkan dengan makan malam berupa mi dan nasi goreng.
Keseronokan tersebut berakhir pada pukul 9.30 malam dan kerana terlalu penat, kami memutuskan untuk balik ke hotel.
Hari kedua di Bali, perjalanan kami bermula seawal 8.30 pagi dengan pelan utama untuk ke Tanah Lot.
Di lokasi wajib pergi itu bukan sahaja terdapat kuil yang terletak di tengah laut malah terdapat tempat yang menarik untuk membeli-belah.
Semasa air surut, kuil itu boleh dikunjungi hanya denganberjalan kaki.
Saya dan suami telah membeli banyak cenderamata untuk keluarga dan kawan-kawan seperti baju, kemeja T, dres, rantai kunci dan banyak lagi aksesori lain. Semuanya dijual pada harga yang murah!
Sukar dilupakan
Kami juga telah mengunjungi Pusat Sukan Air Nusa Dua. Saya sememangnya takut dengan air yang dalam tetapi setelah dipujuk suami, akhirnya saya bersetuju untuk turut serta. Aktiviti yang kami pilih adalah menyelam skuba, menaiki rakit ‘ikan terbang’ dan jet ski.
Menyelam merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Saya sangat takut untuk menyelam kerana bimbang tidak boleh bernafas ketika sudah berada di dalam air.
Setelah diajar jurulatih, akhirnya saya menjadi tenang dan berani menyelam di dalam air bersama kelengkapan yang lengkap.
Seperkara yang lucu terjadi. Suami saya yang pada awalnya sangat teruja untuk mencuba aktiviti itu pula gagal bernafas dalam air! Dia kemudiannya segera naik ke atas air, manakala saya pula seronok memberi ikan makan roti.
Bukan itu sahaja, saya sempat membuat rakaman video di dalam laut dan aktiviti itu paling seronok saya lakukan sepanjang dua hari di Bali.
Selepas itu, kami melawat Pantai Kuta dan di situ kami hanya mengambil gambar. Pantai Kuta popular dengan aktiviti luncur ombak.
Puas mengambil gambar dan menikmati suasana pantai, kami kemudiannya menonton persembahan Tarian Kecak di Uluwatu. Kami dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.
Setiap pengunjung yang melawat tempat itu akan diberi sehelai tali yang harus diikat di pinggang untuk menghormati kesucian tempat tersebut.
Tarian kecak itu bermula semasa matahari mulai terbenam. Tarian tersebut penuh bersejarah tetapi pada pandangan saya, watak-watak dan kostum yang dipakai agak mengerikan.
Malam tersebut merupakan malam terakhir kami di Bali dan kami memutuskan untuk menikmati makan malam di Restoran Indonesia..
Keesokan harinya, tiba masa untuk kami berangkat pulang ke ke tanah air. Percutian kami ke Bali memang menyeronokkan dan penuh warna-warni.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: