Saturday, December 1, 2012

Pelayaran mewah redah samudera


BANYAK aktiviti riadah boleh dilakukan di ruang dek terbuka yang menempatkan sebuah kolam renang.


BELAYAR dengan kapal mewah memberikan pengalaman yang berbeza jika dibandingkan dengan menaiki pengangkutan lain seperti kapal terbang dan kereta api.
Penumpang dapat merasai satu perjalanan yang santai serta menikmati hembusan angin laut dan panorama laut yang terbentang luas.
Untuk merasai sendiri pengalaman itu, penumpang boleh menaiki salah sebuah kapal terbesar Star Cruises iaitu SuperStar Libra di pelabuhan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Jeti Swettenham, Pulau Pinang.
Star Cruises bukanlah nama yang asing dalam dunia pelayaran dan kewujudannya selama 20 tahun sudah cukup menjadi kayu pengukur kredibiliti syarikat itu.
Star Cruises yang turut berpangkalan di Kuala Lumpur mendominasi pelayaran percutian di beberapa buah negara seperti China, Hong Kong, Jepun, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam dan juga Malaysia.
Selain SuperStar Libra, Star Cruises memiliki tiga buah kapal lain iaitu SuperStar Virgo, SupeStar Aquarius dan Star Pisces.
Kad akses
Segala urusan di atas kapal agak berlainan kerana mengaplikasikan sistem kad akses yang diguna pakai untuk semua perkara termasuk transaksi jual beli.
Kad akses juga berfungsi sebagai pasport sementara apabila penumpang turun ke destinasi yang dituju. Pasport asal disimpan oleh pihak kapal atas tujuan keselamatan dan hanya dipulangkan kembali setelah berakhirnya pelayaran.
Kapal SuperStar Libra menyediakan kabin penginapan pelbagai kelas daripada ekonomi sehinggalah eksekutif yang mampu memuatkan seramai 1,420 penumpang.

PENGUNJUNG berpeluang memanjakan diri dengan mengurut kaki sambil menikmati keindahan laut.


Terdapat enam jenis kabin yang ditawarkan mengikut cita rasa penumpang iaitu Executive Suite, Junior Suite, Deluxe Oceanview Stateroom, Oceanview Stateroom dan Inside Stateroom.
Belayar dengan SuperStar Libra seberat 42,285 tan itu sememangnya tenang dan tidak terasa seperti berada di permukaan laut yang bergelora. Sebab itulah pelbagai aktiviti riadah dapat dilakukan dengan penuh keselesaan.
Kapal sepanjang 216 meter dengan lebar 28.4 meter itu memiliki pelbagai kemudahan seperti restoran, gimnasium, pusat penjagaan kanak-kanak, pusat kesihatan dan kedai cenderamata.
Turut disediakan di atas kapal itu, salun kecantikan dan sauna yang dibuka dari pukul 11 pagi hingga tengah malam.
Urutan kaki
Penumpang juga boleh memanjakan diri dengan menerima urutan kaki di dek aras sembilan sambil menikmati pemandangan lautan yang terbentang luas.
Ports O' Call atau kedai cenderamata turut menjual pelbagai barangan lain seperti pakaian pantai, beg, makanan ringan dan permainan.
Antara hiburan yang ditawarkan ialah persembahan muzik secara langsung, pertunjukan silap mata, persembahan nyanyian dan tarian serta permainan yang menyeronokkan.
Kapal SuperStar Libra itu bagaikan sebuah resort eksklusif yang merentas laut kerana menyediakan pelbagai hiburan serta aktiviti rekreasi.
SuperStar Libra turut menyediakan pakej penginapan berserta set makanan empat kali sehari di restoran tertentu iaitu Mariners Buffer, Ocean Palace dan Four Season.

SELERA untuk menikmati hidangan lazat bakal disambut di Restoran Four Seasons.


Eksekutif Chef, Saifol Iskandar Ikhsan berkata, SuperStar Libra menyediakan sebuah restoran khas yang menyediakan makanan halal kepada penumpang beragama Islam yang mengikuti pelayaran itu.
Chef warganegara Malaysia itu menambah, perkakasan yang digunakan di restoran itu juga berbeza berbanding restoran yang menyediakan makanan Barat dan Cina.
Menyentuh mengenai faktor keselamatan, Kapten Lennart Jegerfalk berkata, kapal tersebut dilengkapi sistem kemudi tercanggih dalam memastikan kelancaran perjalanan.
Tambahnya, demi meningkatkan aspek keselamatan, SuperStar Libra turut dilengkapi kemudahan sistem penggera bencana alam seperti taufan, ribut, gempa bumi dan juga tsunami.
Untuk maklumat lanjut, laman web www.starcruises.com boleh dilayari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: