Saturday, December 15, 2012

Persaingan S1K bermula



SELEPAS berbulan-bulan dihabiskan untuk melakukan pengubahsuaian, segala kerja keras itu akhirnya teruji di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Perlumbaan Sepang 1,000 Kilometer Endurance Race atau lebih dikenali sebagai S1K bukan sekadar menguji kelajuan jentera, tetapi lebih kepada aspek ketahanan kereta lumba, pemandu dan strategi pasukan untuk berlumba dalam satu tempoh yang lama.
Sudah memasuki edisi keempat, S1K bukan sahaja popular dalam kalangan peminat sukan bermotor tempatan. Malah ia menjadi medan terbaik buat pengeluar kenderaan dan pasukan bertanding untuk menunjukkan kemampuan, kepakaran serta teknologi jentera masing-masing.
Bagi mereka yang biasa menonton perlumbaan S1K, kereta-kereta jalanan seperti Proton Satria Neo dan Suzuki Swift merupakan antara model popular untuk dijadikan jentera lumba.
Namun kali ini, keterujaan pasti bertambah apabila ada pasukan yang menampilkan kereta keluaran massa mereka untuk bersaing dalam S1K.
Sebagai contoh, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) menerusi pasukan perlumbaannya, Honda Malaysia Racing Team (HMRT) mempertaruhkan model kompak lima pintu popular, Jazz.
Sudah menerima talaan ekstensif sejak hampir lima bulan lalu, Jazz berwarna merah dan putih itu nampaknya bersedia untuk menyahut cabaran dan mencipta kejayaan di podium.
Jazz dipilih kerana model berkuasa tinggi, Civic Type-R tidak lagi diproduksi. Lagi pun, Jazz bersesaran 1.5 liter dilihat selari dengan kelayakan S1K. Pastinya ini bukan Jazz biasa. Ia telah menjalani proses pengubahsuaian menyeluruh melibatkan hampir semua komponen terutama enjin dan suspensi.
Pengurus Pasukan HMRT, Kumar Thayalakumaran memberitahu, pihaknya masih menggunakan enjin aspirasi biasa L15A, tetapi telah ditingkatkan sesarannya menjadi 1.6 liter. Enjin itu juga menerima banyak alat ganti berprestasi tinggi terutama daripada Mugen untuk meningkatkan lagi kuasa dan ketahanannya.

BARISAN kakitangan Honda Malaysia yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan HMRT.


“Modifikasi paling sukar adalah pada sistem suspensi. Sebabnya, Jazz menggunakan suspensi H-Beam untuk roda belakang. Dalam perlumbaan sebegini, penekanan lebih diberikan terhadap aspek pengendalian dan bukannya kuasa enjin semata-mata,” jelas Kumar.
Kenyataan itu dipersetujui oleh dua orang pelumba pasukan HMRT, Tengku Ezan Ley dan Farriz Fauzy. Selepas beberapa hari berkampung dan membuat ujian di SIC, Tengku Ezan menyatakan bahawa kebanyakan kelemahan jentera lumba itu sudah berjaya diatasi.
“Impak paling besar adalah talaan suspensi serta pemetaan semula kotak elektronik ECU, selain daripada aplikasi nisbah gear dan perendam baharu. Jazz kini dapat mengambil selekoh dengan lebih baik. Malah perbezaan catatan masa juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu sebanyak empat hingga lima saat,” kata Tengku Ezan.
Berdiri sendiri
Mengulas mengenai karekter pengendalian Jazz, Farriz dan Tengku Ezan mengakui bahawa Jazz ialah jentera yang lincah dan senang dikendalikan walaupun ketika di selekoh.
Sebuah lagi Jazz dipandu oleh dua orang pelumba berpengalaman, Eddie Lew dan Aaron Lim. Ditanya apakah perbezaan utama antara Civic Type-R dengan Jazz, Eddie pantas menjawab, pecutan dan kelajuan.
Harus tahu bahawa HMRT berdiri sendiri dalam pembinaan kereta lumba tersebut. Ia tidak mendapat apa-apa bantuan daripada luar (kecuali alat ganti), walaupun daripada Honda Jepun. Pendek kata, khidmat nasihat teknikal, koordinasi pasukan, pembangunan R&D atau kejuruteraan dilakukan sepenuhnya oleh HMRT.

Jazz ini telah menjalani proses pengubahsuaian ekstensif sejak beberapa bulan lalu.


Pemilihan pemandu dan anggota pasukan HMRT juga dibuat dalam kalangan kakitangan Honda Malaysia. Pastinya mereka yang mempunyai pengalaman diberi keutamaan.
Satu lagi perkembangan menarik yang perlu diketahui, HMRT menyimpan hasrat untuk menganjurkan siri perlumbaan melibatkan satu model kenderaan dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam kes ini, Jazz merupakan calon paling sesuai kerana kosnya lebih munasabah berbanding Civic Type-R.
Nampaknya, Honda Malaysia tidak keseorangan. Kem Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz Motor) yang merupakan pengedar dan pemasang kenderaan jenama Mazda di Malaysia tampil dengan model Mazda3 untuk bersaing dalam perlumbaan sejauh 1,000 kilometer tersebut.
Mazda kembali berlumba
Mazda3 untuk litar itu adalah hasil kerjasama antara Bermaz Motor dan Fawster Motorsports. Kedua-dua belah pihak dilihat komited untuk membangunkan sebuah pasukan lumba dengan hasrat menyertai semua perlumbaan dalam negara bermula dengan S1K.
Lebih menarik lagi, Mazda3 itu telah berjaya mencatatkan beberapa sejarah. Pertama, jentera tersebut ialah kereta lumba Mazda3 bersesaran 1.6 yang pertama dibangunkan di dunia! Jangan main-main.
Kedua, pelancaran kereta lumba Fawster Mazda3 menandakan bahawa Mazda kini kembali ke dalam arena sukan pemotoran tempatan selepas menyepikan diri selama lebih 20 tahun.
Mazda3 dipilih kerana ia model yang memiliki karekter perlumbaan dan sporty. S1K juga dilihat boleh menjadi platform untuk mempopularkan Mazda3 dan menguar-uarkan kepada pengguna tempatan bahawa ia sebuah jentera yang bagus.
Cabaran Fawster Mazda3 dibawakan oleh tiga orang pelumba berpengalaman yang juga merupakan adik-beradik iaitu Nazir, Ridzuan dan Khairul Anwar Nor. Menggelarkan diri mereka sebagai Brothers in Racing, masing-masing memiliki pengalaman lebih sepuluh tahun di atas litar lumba.
Pasukan itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran pelumba terkenal, Faidzil Alang. Menjadi individu penting kepada penubuhan nama FA Racing, Faidzil bertindak selaku Jurutera Perlumbaan.
“Kelebihan Mazda3 terletak pada aspek pengendalian, setting suspensi dan reka bentuknya yang aerodinamik. Jentera ini mampu mengambil selekoh dengan cemerlang dan tidak memerlukan pengubahsuaian yang terlalu kompleks atau ekstrem.
“Walaupun hanya mengambil masa kurang sebulan untuk membina jentera lumba ini, kami tetap optimis dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mampu menamatkan perlumbaan. Kalau boleh naik podium, itu satu bonus,” kata Faidzil.

WALAUPUN pertama kali digunakan sebagai jentera lumba, Jazz tetap mampu menggugat pesaingnya.


Keyakinan itu hadir kerana pasukan tersebut mendapat sokongan padu daripada Mazda Amerika Syarikat dan Mazda Jepun. Bukan sekadar daripada segi kereta dan alat ganti, malah data serta nasihat teknikal berkaitan Mazda3 turut dikongsi bagi membolehkan sebuah jentera lumba yang kompetitif dapat dihasilkan dalam tempoh singkat.
Pengarah Fawster Motorsport dan pelumba pasukan terbabit, Ridzuan memberitahu, S1K akan memberi peluang kepada pihaknya untuk mengumpul sebanyak mungkin data, sebelum kembali dengan jentera lebih bagus untuk perlumbaan tahun depan.
Jadi, agak-agaknya siapa yang akan menakluk podium? Tunggu keputusannya pada malam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: