Wednesday, November 21, 2012

Tempahan Almera catat 7,000 unit


SEORANG model bergaya di sisi kereta baharu Nissan Almera selepas majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Nissan Almera, sedan global Nissan paling laris keluaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), yang baru dilancarkan akhir bulan Oktober lalu telah menerima lebih 7,000 tempahan daripada pelanggan.
Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng berkata, antara faktor tarikan bagi pencapaian memberangsangkan itu ialah ia ditawarkan pada harga mampu milik daripada serendah RM66,800 seunit serta memiliki ciri-ciri, teknologi dan keluasan mengagumkan yang lazimnya hanya ditemui pada kenderaan-kenderaan lebih premium.
Nissan Almera juga menawarkan penggunaan minyak yang menjimatkan, alat ganti mampu milik dan senang diperoleh membuatkan kos keseluruhan bagi pemilikan model itu begitu menarik.
"Sejak ditubuhkan pada tahun 1957, Tan Chong dan Nissan telah menawarkan rakyat Malaysia kereta-kereta ikonik yang sememangnya tidak dimakan masa. Bermula dengan generasi Sunny diikuti oleh Sentra dan kini, kami meneruskan warisan itu menerusi sedan segmen B serba baharu iaitu Almera.
"Penerimaan positif terhadap model baharu ini menjadi penunjuk kukuh mengenai kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia ke atas kenderaan, produk serta perkhidmatan kami," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Bon Beng menerangkan, Tan Chong kini sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya berkaitan saluran pengeluaran di kilang bagi memenuhi permintaan tinggi dan memastikan bekalan yang berterusan.
Menurutnya, sehingga kini Tan Chong Motor Group telah mengembangkan operasi di kilangnya di Serendah, Selangor dengan lebih banyak syif pengeluaran dan tenaga kerja tambahan.
Dalam usaha mempromosikan model menarik itu, syarikat tersebut telah menganjurkan program jelajah di beberapa lokasi menarik untuk membolehkan orang ramai melihat dengan lebih dekat kereta baharu itu.
Siri jelajah itu bakal diadakan di AEON, Seberang Prai, Pulau Pinang pada 20 hingga 25 November; One Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah (30 November hingga 2 Disember) dan di One Utama, Petaling Jaya, Selangor (26 Disember hingga 1 Januari 2013)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: