
KERIS Tempa Melaka antara artifak
berusia lebih 500 tahun yang dipamerkan di PNM, Kuala Lumpur mulai
semalam sehingga 24 November ini.
KUALA LUMPUR – Sebilah keris kesayangan pahlawan Melaka, Hang Tuah bernama Keris Tempa Melaka antara artifak yang dipertontonkan sempena Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu Menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini semalam.
Selain itu, pameran sehingga 24 November secara percuma itu juga turut melibatkan sesetengah artifak yang berusia lebih 500 tahun.
Presiden Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (KeMUDA), Noor Azhar Mohamad berkata, sebanyak 17 artifak dan 11 naskhah lama dipamerkan untuk tatapan pengunjung.
“Selain keris Tempa Melaka yang dibuat daripada 21 jenis logam itu, pengunjung juga dapat melihat Rentaka iaitu meriam mudah alih pada zaman dahulu,” katanya di sini semalam.
Menurut Noor Azhar, selepas pameran di PNM, KeMUDA akan meneruskan program yang sama di negeri-negeri dengan membawa kira-kira 200 artifak.
“Penjelajahan itu bermula Januari tahun depan dan setiap negeri akan disajikan dengan artifak yang berbeza mengikut tema seperti Panglima Awang dan Puteri Hang Li Po,” katanya.
Ujar Noor Azhar, artifak menarik seperti alat muzik Puteri Hang Li Po yang dikenali Chi Pau Pen turut dipamerkan.
“Alat muzik unik yang diisi dengan air laut itu dihadiahkan oleh Hang Li Po kepada Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah.
“Ia memerlukan tenaga getaran bagi menghasilkan bunyi yang merdu dan menghasilkan buih sebesar bola ping pong,” katanya.
Menurut Azhar, program wacana ilmu juga akan diadakan pukul 9 pagi pada 24 November dan dipengerusikan oleh Presiden Akademi Nusantara, Datuk Dr. Syed Ahmad Syed Shamsuddin Al-Sagof.
Selain itu, Timbalan Pengarah Bahagian Manuskrip PNM, Faizal Hilmi, Pensyarah Bahagian Persuratan Melayu Universiti Perguruan Sultan Idris, Prof. Dr. Talib Samad dan pemegang amanah khazanah, Zainal Johan diundang selaku panel jemputan.
Bagi maklumat lanjut boleh menghubungi Normaliah di talian 012-639 9372 atau 012-640 1797.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: