Omar yang tinggal di Kampung Tampok Laut, Benut, dekat sini mendakwa memiliki wang lama yang berusia 300 tahun dan dipercayai mempunyai nilai yang cukup tinggi.
Menurutnya, dia memiliki syiling lama lima sen yang tertera perkataan 'Celria' yang didakwa berasal dari Sepanyol selain koleksi syiling berusia lebih 200 tahun yang tertera perkataan ‘United State Of Amerika dan 'Liberty'.
Katanya, terdapat banyak lagi syiling lama yang disimpan termasuk satu syiling dari Palestin pada 1937.
“Walaupun tidak dapat memastikan nilai syiling tersebut, tetapi dia percaya ia mempunyai nilai tersendiri dan merupakan barangan antik yang sukar untuk ditemui,” katanya.
Tertarik dengan syiling lama
Omar berkata, dia mula tertarik untuk menyimpan syiling lama sebagai koleksi peribadinya selepas mendapat syiling pertama ketika berusia 10 tahun.
“Saya masih ingat ketika itu di zaman sekolah, saya dan rakan-rakan menziarahi kematian seorang penduduk kampung di sini, ada seorang penduduk yang memberikan kepada kami syiling 20 sen.
“Itulah pertama kali saya memegang wang syiling, bukan main seronok ketika itu, kerana pada zaman itu bukan mudah untuk jumpa wang,” katanya sambil tersenyum.
Katanya, sejak dari itu, dia mula jatuh hati kepada wang syiling kerana mempunyai ukiran nombor dan gambar yang begitu menarik di atasnya.
Koleksi dari pelbagai negara
Sebut sahaja nama negara, Australia, Afrika, Eropah dan Belanda, Omar pasti memiliki syiling lama dari negara tersebut.
Ketika ditanya dari mana dia mendapatkan syiling itu katanya, kerjaya sebagai tukang paip di Johor Bahru pada awal 80an ketika muda memudahkan dia memperoleh syiling lama tersebut.
“Perkenalan dengan anak-anak kapal yang berlabuh di Singapura ketika itu membolehkan saya mendapatkan wang syiling dari serata pelosok dunia,” katanya.
Katanya, minat yang begitu mendalam terhadap syiling lama membuatkannya sanggup mengeluarkan belanja yang agak besar untuk memiliki syiling-syiling tersebut .
“Alhamdulillah, keluarga amat memahami minat saya, malah adik saya turut berkongsi minat bersama mengumpul syiling lama ini.
“Saya juga ada simpan wang kertas lama sebagai koleksi sampingan,” katanya.
Omar berkata, dia amat mengalu-alukan kehadiran pihak berkaitan seperti Jabatan Kesenian Warisan bagi mengkaji nilai wang tersebut kini.
“Saya ada lihat di Internet mengenai syiling lama ini, dan harganya mencecah hampir jutaan ringgit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: