MINAT...Latifah Amzah (tengah) mengendalikan kelas bonsai di bengkel Kelab Keluarga Daya Budi.
Belitan dawainya saja sudah menampakkan betapa terseksanya jari-jemari tuan punya badan memulas dawai menjadi ranting dan pohon, menyulam manik sebagai kelopak, kuntuman bunga dan juraian daun.
Bukan calang-calang orang yang sanggup ‘mengulit dan menyulam’ manik halus itu dengan begitu kreatif sekali sehingga mampu menggoda banyak pihak terutama wanita memilikinya untuk dijadikan hiasan kediaman.
Begitupun kerana minat, semua kesakitan ditolak tepi malah luka di jari yang kekal berbekas meninggalkan kenangan manis apabila bonsai manik yang dihasilkan dibeli kenalan.
Mendekati sekumpulan isteri kakitangan dan pekerja Kilang Sawit Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang, penulis terharu dan teruja melihat ketekunan mereka menyusun manik, melilit wayar dan membentuk pelbagai bonsai manik warna-warni yang sungguh menarik.
Berkat kesungguhan mereka, produk yang mulanya dihasilkan untuk menghiasi ruang tamu kediaman kini sudah bertukar kepada bisnes kecil-kecilan yang mula mendapat sambutan ramai kalangan kenalan dan ahli keluarga.
“Seronok membuat bonsai ini kerana kita boleh menggubahnya mengikut kreativiti dan cita rasa sendiri tanpa dipengaruhi rakan lain,” begitu jawapan jujur Sabariah Omar, 43.
Dia ditemui sewaktu menghadiri kelas Seni Kraftangan di Kelab Keluarga Daya Budi (KKD) di tanah rancangan berkenaan, baru-baru ini.
Menurutnya, minat mendalam terhadap seni kraftangan bonsai manik itu memberi peluang kepadanya memperoleh pendapatan sendiri.
“Daripada hobi, ia bertukar kepada menjana pendapatan sampingan. Saya bersyukur kerana berkesempatan mempelajari seni kreatif ini daripada tenaga pengajar Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta buku rujukan dan hasilnya dibeli kenalan dan ahli keluarga.
“Alhamdulillah, pada Hari Raya lalu, saya memperoleh hampir RM500 apabila ramai kenalan dan ahli keluarga membelinya,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, suaminya, Baharom Mustaffa, 50, memberi galakan kepadanya untuk mengusahakan kraftangan itu dengan lebih serius.
“Suami tidak menghalang kerana hasilnya memang cantik dan berseni serta boleh dijual bagi membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya yang sudah menghasilkan lebih 200 produk bonsai manik.
Nor Azizah Wan Hamzah, 40, pula berkata membuat bonsai memerlukan tahap kesabaran yang cukup tinggi dan kreativiti yang bagus.
“Ia bukan sekadar hobi semata-mata tetapi boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan jika diusahakan secara lebih serius,” katanya.
Nor Azizah berkata, pada peringkat awal mengikuti kelas kraftangan itu, dia hampir berputus asa kerana sukar untuk menghasilkan bonsai yang cantik gara-gara tidak mahir melilit dawai dan mencantum manik.
“Ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan dengan sokongan rakan, akhirnya saya berjaya membentuk bonsai manik bentuk tanaman bunga,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Projek penambahan pendapatan keluarga yang diselia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu wajar diteruskan kerana ia secara tidak langsung membentuk budaya sihat dalam membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung suami masing-masing.
“Suri rumah sepenuh masa elok mempelajari seni kraftangan ini kerana ia sebenarnya mempunyai pasaran yang baik.
“Apabila kami membawa ke ekspo pameran dan jualan anjuran Felda atau program komuniti, ramai yang berminat membelinya,” katanya.
Ibu kepada empat anak, Nor Azlina Roslan, 32, berkata seni kraftangan bonsai adalah sesuatu yang unik kerana mudah menghasilkannya.
“Minat dan mempunyai idea kreatif menjadikan penghasilannya lebih mudah. Jika tiada kesinambungan antara kedua-dua elemen itu, sudah pasti hasilnya tidak menjadi sebagaimana yang diharapkan.
“Justeru, jika sudah berminat tetapi tidak mempunyai pengetahuan mendalam untuk mencorakkannya, bergurulah terlebih dulu dengan sesiapa yang mempunyai kemahiran ini,” katanya.
Baginya, kelas seni kraftangan yang dihadirinya itu memberi manfaat kerana dapat bertukar fikiran dan mencari idea baru untuk menambah baik penghasilan bonsai.
“Bonsai manik kalau dilihat pada pandangan mata kasar seperti tiada nilai sama seperti ‘pokok palsu’ yang lain tetapi seni menghasilkannya daripada segi gabungan warna dan bentuknya itu yang bernilai.
“Bukan senang hendak membentuk dan melilit dawai jika tiada kesungguhan dan sanggup menahan sakit kerana luka di jari selain jemu membuatnya,” katanya yang turut menjual produk kepada kenalan.
Hasnah Aksah, 42, pula berpendapat seni kraftangan bonsai itu sangat unik dan mempunyai nilai tersendiri.
“Hanya orang yang berminat saja boleh menghasilkan bonsai manik yang cantik dan berseni tetapi mereka yang tidak berminat tidak perlu mencubanya.
“Saya sendiri ketika mula-mula diajak rakan untuk menghadiri kelas ini tidak yakin dapat menghasilkan produk yang berkualiti.
“Bagaimanapun selepas beberapa kali mencuba, minat itu datang sendiri dan lebih seronok apabila rakan memuji malah saudara-mara yang bertandang ke rumah turut meminatinya dan membeli bonsai yang dihasilkan,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, pada pandangan mata kasar bonsai manik nampak mudah dibuat tetapi sebenarnya memerlukan ketelitian dan tumpuan sepenuhnya.
“Kreativiti perlu ada untuk menampakkan hasil berbeza. Gabungan bentuk manik dan pemilihan warna memainkan peranan penting dan perlu sesuai dengan jenis bonsai yang hendak dibuat.
“Bonsai manik juga perlu penjagaan rapi kerana jika dibiarkan dan terdedah, habuk akan melekat dan menjadikannya kotor dan berdebu. Bagi mengelakkan perkara itu berlaku, lebih baik ia disimpan di dalam almari,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: