Suami isteri didakwa merompak
Pasangan suami isteri ini dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berasingan.
KUALA TERENGGANU –  Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merompak seorang warga emas di Jalan Pasir Panjang di sini, bulan lalu dan melupuskan harta curi berkenaan.

Mohd Nazri Othman, 35, berdepan tuduhan merompak dua utas rantai emas milik Mariam@Kuntum Awang, 63, pada 19 Oktober lalu, kira-kira jam 2.30 pagi.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Mohd Nazri mengaku bersalah di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi.

Hakim Wan Fadhilah Nor menetapkan 11 November ini untuk keputusan hukuman.

Sementara isteri Mohd Nazri, Sakinah Salleh, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan menjual dan melupuskan barangan hasil rompakan berkenaan.

Sakinah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Dalam rayuannya, Sakinah berkata, dia dan suaminya terpaksa melakukan perbuatan itu disebabkan desakan hidup untuk menyara keluarga kerana mempunyai tujuh anak dan hanya bergantung hidup dengan menjual kuih, sementara Mohd Nazri tidak mempunyai kerja tetap.

Majistret Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Sakinah diikat jamin RM2,800.