Sunday, November 4, 2012

Dugaan datang bertimpa-timpa

SIMPATI...pelarian Rohingya menyambut sukarelawan KP1M dengan tangisan.
SIMPATI...pelarian Rohingya menyambut sukarelawan KP1M dengan tangisan.
BUKAN senang menjadi orang terbuang tanpa mendapat pembelaan kerajaan sendiri sehingga membuatkan pelarian Islam Rohingya di Sittwe, Myanmar merasakan kehidupan mereka tidak bermakna dan seolah-olah berada dalam fasa menghabiskan sisa-sisa hidup.
Terkurung jauh daripada kepesatan kemajuan, tanpa peralatan memasak serta sumber air bersih memang memeritkan.
   
  • Foto
  • Foto
Itu bukan sekadar retorik, malah jelas dapat dilihat ketika kunjungan wartawan ke empat kem penempatan sementara penduduk tempatan (IDPs) pelarian Islam Rohingya.

Memasuki tiga kem serta empat kampung pelarian Islam Rohingya yang sukar ditembusi mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan KP1M bersama media menitiskan air mata melihat penderitaan ditanggung pelarian.

Walaupun kerajaan negeri Rakhine membuat pelbagai helah dengan cuba mengalihkan pandangan KP1M ke kem penempatan sementara penduduk Rakhine, namun misi diketuai Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berjaya memasuki kem pelarian Rohingya.

Berbeza dengan kem penempatan sementara untuk penduduk Rakhine yang dilihat lebih sempurna, hidup pelarian Rohingya jauh terperosok di celah kampung dengan kawalan ketenteraan seolah-olah mereka penjenayah berbahaya.

Memasuki kem Thekebyin yang menempatkan hampir 6,000 pelarian Rohingya, hati pilu melihat kanak-kanak berebut-rebut untuk menarik perhatian sukarelawan dan ada antara mereka meronta-ronta meminta pertolongan supaya bebas daripada belenggu terbabit.

Wajah penduduk Rohingya, sama ada tua, muda, kanak-kanak, lelaki atau perempuan tampak masih sugul biarpun melihat beberapa lori membawa bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan memasuki kem untuk diagihkan kepada mereka.

Bacaan doa Ustaz Rusdin Mahamud disambut tangisan oleh pelarian Rohingya di kem terbabit yang jelas tidak tahan dengan penderitaan akibat kebencian meluap-luap terhadap mereka.

Kebanyakan mereka fasih berbahasa Melayu kerana pernah bekerja di Malaysia dan seorang daripada mereka, Muhammad Ali Bashir, 42, pernah bertugas di Pelabuhan Klang pada 2007.

Menurut Ali, kehidupan mereka di situ semakin hari semakin tersepit kerana pelbagai dugaan bertimpa disebabkan penduduk Rakhine masih berdendam dengan etnik Rohingya hinggakan mereka langsung tidak dapat memasuki kawasan pekan Sittwe.

Katanya, jika keluar dari kawasan itu, mereka dibunuh dan ada yang lenyap tanpa berita serta belum ditemui sehingga kini.

Ali berkata, bekalan perubatan juga tidak disalurkan, menyebabkan ramai daripada mereka mengalami penyakit berjangkit seperti malaria dan tibi.

“Kami memang sangat memerlukan bantuan, dan bantuan yang lebih bermakna ialah keluar daripada masalah ini serta mendapat kewarganegaraan kerana tiada makna hidup ini tanpa mempunyai negara dan kami tahu memang sukar untuk selesaikan masalah ini.

“Kalau penderitaan kami berlarutan, kami lebih rela mati daripada melihat anak kami menanggung penderitaan dan kami sudah tiada air mata lagi untuk menangis kerana diketepikan daripada mendapat hak sepatutnya,” katanya.

Ketika berbual panjang dengan Ali, tiba-tiba wartawan didekati seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Hussain Ali Ahmad, 50, sambil melutut meminta dibawa bersama pulang ke Malaysia.

Titisan air mata di pipinya jelas menggambarkan perasaannya yang tidak dapat lagi menyembunyikan kesedihan akibat disingkirkan penduduk Rakhine hingga menderita di kem yang tiada kemudahan sepenuhnya.

Katanya, dia lebih sanggup dicampak ke tengah pulau yang tiada berpenghuni daripada hidup menderita serta tidak tahu nasib hari mendatang kerana setiap hari pasti ada cara digunakan untuk mengusir mereka dari Rakhine.

“Kami bukan haiwan yang boleh dibiarkan hidup tanpa perhatian. Haiwan pun dijaga, inikan pula manusia yang ada hati dan perasaan. Kami sangat tertekan dan tidak tahu ke mana patut diadukan masalah kami.

“Kerajaan negeri Rakhine bagaikan cuba menyembunyikan penderitaan yang kami tanggung dan itu yang menjadi masalah kerana negara luar melihat kami di sini selamat walaupun tidak diberikan kerakyatan oleh Myanmar dan Bangladesh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: