MAJLIS anugerah hiburan di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat (AS) sebenarnya tidak banyak beza dengan majlis anugerah di negara kita.
Realitinya, penganjuran majlis anugerah hiburan di mana-mana negara sekali pun, akan ada acara berbentuk formal atau berprestij dan ada juga hanya untuk memeriahkan industri di negara berkenaan.
Seperti Academy Awards di AS atau Festival Filem Cannes di Perancis ia lebih untuk mengangkat sesuatu karya dan anak seni setelah dinilai oleh juri profesional.
Berlainan dengan anugerah yang hanya untuk memenuhkan acara pada kalendar dan bagi menghargai peminat seperti Kids'Choice Awards yang lebih santai atau ‘gila-gila'.
Academy Awards boleh dikatakan ada persamaan dengan Festival Filem Malaysia, manakala Anugerah Grammy yang mengangkat karya komposer atau individu belakang tabir yang berkaitan muzik pula seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) di negara ini.
Bagi karya muzik dan persembahan penyanyi pula, MTV Video Music Awards mempunyai francais di seluruh negara turut memberi pengiktirafan terhadap pembikinan lagu dan muzik video.
Manakala Shout! Award pula seperti Kids'Choice Awards yang berlangsung di AS dalam suasana santai dan penontonnya merupakan kalangan anak muda dan kanak-kanak, selain persembahan yang lebih urban.
Academy Awards yang pertama kali diadakan di AS pada tahun 1929 telah berjaya mengangkat nama besar Hollywood seperti pelakon Denzel Washington, Angelina Jolie, Hilary Swank, Halle Berry dan Morgan Freeman.
Ketika majlis itu diadakan, ia akan mencuri perhatian di seluruh dunia termasuk di negara ini yang turut mengadakan siaran langsung bermula dari acara karpet merah hingga ke penganugerahan pemenang.
Kategori pelakon wanita dan lelaki terbaik yang akan memenangi anugerah Oscar itu akan mendapat perhatian berbulan lamanya selepas majlis itu berlangsung dan menjadi perhatian lebih banyak walaupun mereka telah terkenal sebelum ini.
|
|
Bagi Anugerah Grammy dan Anugerah MTV pula yang mengangkat penyanyi dan karyawan dalam bidang muzik penganjurannya tidak kurang hebat dengan Academy Awards.
Di negara ini turut mengadakan siaran langsung dan kadang kala turut diadakan majlis yang dihadiri oleh artis tempatan untuk menyaksikan acara itu secara langsung.
Berlainan dengan Kids'Choice Awards yang sinonim dengan tradisinya menyimbah cecair hijau kepada selebriti terpilih ia disebabkan acara itu lebih ranggi dan urban serta pemenangnya adalah pilihan peminat dan bukan daripada juri profesional.
Acara ini telah mengangkat dan mengiktiraf nama-nama besar antaranya Taylor Swift, Justin Bieber, Selena Gomez, Taylor Lautner dan beberapa watak kartun seperti SpongeBob SquarePants dan Alvin and the Chipmunks.
Secara amnya, walaupun setiap negara itu mempunyai pelbagai jenis corak anugerah dan bentuk pengiktirafan, ia tetap menjadi perhatian dalam kalangan peminat seni kerana telah dianggap sebagai acara tahunan industri hiburan.
Bagi penggiat seni pula, apabila mereka memenangi anugerah, ia satu pengiktirafan terhadap mereka setelah penat menyanyi dan berlakon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: