|
BULAN November ini merupakan bulan yang paling sibuk buat artis dan selebriti negara ini apabila hampir setiap minggu mereka terpaksa mencari busana untuk diperaga pada majlis anugerah.
Jumaat lepas, Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) telah melabuhkan tirainya. Sabtu ini pula akan berlangsung Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM) di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor dan minggu berikutnya iaitu 23 November, Shout! Awards 2012 bakal mengambil tempat di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.
Ini tidak termasuk lagi dengan Anugerah Blokbuster yang julung kali diadakan pada 6 Oktober lalu di Stadium Malawati yang dianjurkan oleh Penerbit Filem Malaysia (PFM).
Anugerah di negara ini tidak habis begitu sahaja kerana sebelum hujung tahun ini, Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 30 Disember pula.
Lambakan anugerah yang menanti giliran untuk dianjurkan menyaksikan betapa banyak usaha beberapa pihak yang prihatin mencari jalan untuk mengiktiraf karyawan seni tempatan. Namun, ada juga anugerah yang sekadar bersifat hiburan.
Malah bagi artis yang memenangi mana-mana anugerah dalam majlis terbabit, ada yang begitu menonjol selepas itu sehingga boleh menaikkan harga jika ditawarkan menyanyi atau berlakon.
Ada juga artis yang terus ‘lenyap’ namanya selepas memenangi sesebuah anugerah. Ia bergantung kepada faktor nasib.
Bagaimanapun, tidak kurang juga ada artis yang memonopoli sesuatu anugerah sehingga memerlukan tuan punya badan sendiri menarik diri bagi memberi peluang kepada bakat seni lain pula.
Individu tersebut ialah Datuk Siti Nurhaliza. Dalam sejarah penganjuran majlis anugerah di negara ini, penyanyi tersohor negara tersebut merupakan artis paling banyak diumumkan sebagai pemenang.
|
|
Ia membuatkan namanya telah tercatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai Anugerah Terbanyak Dimenangi Seorang Penghibur.
Contohnya, dalam Anugerah Bintang Popular sahaja, Siti telah berjaya menggondol Anugerah Bintang Paling Popular sejak 1996 hingga 2009, sehingga dia menarik diri daripada anugerah tersebut, tetapi tetap menenangi Anugerah Seri Perak dalam kategori khas pada tahun lepas.
Kemenangan Siti dan memonopoli anugerah bukan sahaja dalam acara di negara ini, tetapi di luar negara juga seperti Anugerah MTV Asia apabila memenangi Anugerah Artis Malaysia sejak tahun 2002 hingga 2005 dan juga Anugerah Muzik Indonesia.
Siti juga merupakan satu-satunya contoh artis yang konsisten apabila kerjaya seninya berkembang seiring dengan kemenangan.
Dari segi penganjuran anugerah pula, anugerah berprestij AIM paling banyak menimbulkan kontroversi, termasuk yang paling teruk pada tahun lalu apabila penyanyi Yuna yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu Penakut terpaksa memberikan anugerah itu kepada penyanyi Anuar Zain disebabkan kesilapan audit beberapa hari selepas majlis itu.
Persoalannya sekarang, adakah penganjuran anugerah yang begitu banyak pada akhir-akhir tahun ini dapat memartabatkan karya seni atau nilai artis itu sendiri? Atau ia juga hanya menjadi medan kebanyakan anak seni memperaga fesyen serta sekadar pelengkap diari tahunan dunia seni tempatan.
Kemenangan adalah bonus
Bagi pemenang Aktres Terbaik Festival Filem ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004, Maya Karin, 33, menganggap ada sesetengah anugerah di negara ini tiada hala tuju dan hanya mengacau industri.
Tanpa menyebut anugerah tersebut, dia mengambil pendekatan memilih untuk hadir ke majlis anugerah yang dirasakan bersesuaian jika dijemput.
“Banyak anugerah baharu yang muncul akhir-akhir ini dan tak nampak hala tuju, siapa yang ingin diangkat serta tiada fokus penganjurannya itu perkara yang tidak patut berlaku,” ujarnya yang baru sahaja memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik dalam ASK 2012 kepada Kosmo!.
Tambah Maya yang banyak memenangi anugerah menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan terbaharu, Ombak Rindu, baginya tidak perlu terlalu banyak majlis anugerah dan cukup beberapa anugerah prestij untuk menaikkan nama anak seni.
|
|
Lagipun, ujar pelakon filem Anak Halal ini, penggiat seni dan industri dalam negara ini tidak terlalu besar dan tidak perlu terlalu banyak anugerah.
Bercerita mengenai dirinya pula apabila menjadi antara artis yang banyak memenangi anugerah sejak akhir-akhir ini menerusi watak Izzah dalam filem Ombak Rindu, dia berkata: “Saya ada prinsip. Jangan terlalu sedih bila kalah dan jangan gembira sangat bila menang. Bagi saya kemenangan adalah bonus, saya perlu meningkatkan mutu kerja dan bekerja keras walaupun tiada anugerah,” ujarnya.
Jelasnya lagi, sikap sesetengah artis yang menaikkan harga setelah memenangi sesuatu anugerah adalah disebabkan mengagung-agungkan anugerah yang diterima.
“Apabila artis anggap dia yang paling hebat selepas menang anugerah dan menaikkan harga, itu sikap yang tidak patut ada bagi anak seni yang ingin bertapak lama,” katanya yang tetap kekal dengan sikap merendah diri sejak mula dikenali pada 2001.
Hanya acara hiburan
Pengarah terkenal Michael Ang pula berpendapat, dalam industri ini ada beberapa anugerah yang sekadar hiburan sahaja bagi merancakkan industri dalam negara ini.
“Bagi saya majlis anugerah yang ada sudah cukup memadai untuk industri ini dan tidak perlu ditambah lagi pada masa hadapan,” kata pengarah filem Qada yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Tambah pengarah drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini juga, anugerah yang sedia ada sudah cukup untuk mengangkat karya seni dan seniman dalam bidang masing-masing.
“Kita sudah ada anugerah drama, penyanyi, pelakon dan penulis lagu, itu sudah cukup, kalau ada anugerah baharu pula nanti akan sebabkan ia jadi merepek pula,” jelasnya.
Pendapat yang sama turut diberikan oleh orang kuat Metrowealth iaitu David Teo, dia beranggapan penganjuran anugerah dalam negara ini adalah seperti satu pesta yang mengumpulkan anak seni.
“Anugerah di negara ini tidak sama di luar negara, di sini lebih kepada berjumpa kawan lama dan berpesta, ia untuk merapatkan hubungan sesama karyawan seni selepas penat berada di lokasi,” ujarnya.
Wakil penggiat seni
Walaupun banyak anugerah di negara ini, penggiat seni yang pernah mengemudi AIM selama beberapa tahun, Jennifer Thompson beranggapan ia sebagai simbol untuk mewakili anak seni yang telah bertungkus-lumus dalam industri.
Misalnya, Anugerah Juara Lagu diadakan bagi mengangkat komposer dan penulis lirik, Shout! Award pula mengetengahkan artis muda yang jarang dikenali manakala Bintang Popular atas pilihan peminat.
“Semua anugerah itu perlu ada bagi mewakili penggiat seni, bukan hanya penyanyi tetapi pihak di sebalik tabir juga perlu diiktiraf.
“Setiap anugerah ada kelainan, tetapi penampilannya tidak nampak sama,” jelasnya yang menyokong Shout! Awards diadakan kerana ia lebih segar dan santai untuk anak muda.
Jennifer yang juga juri Shout! Award kali ini berkata, tidak timbul isu sama ada banyak anugerah dalam industri ini kerana selagi ia disokong dan diiktiraf oleh penggiat seni, ia akan kekal relevan untuk dianjurkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: